`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 4, 2024

Tak adil pengusaha tuntut pampasan besar di tanah milik MB Inc, kata Saarani

 

Saarani Mohamad, berkata MB Inc hanya bersetuju bayaran ex-gratia RM2,000 bagi 0.4 hektar kepada pengusaha tanpa kebenaran di tanah seluas 324.15 hektar.

PETALING JAYA: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) tidak dapat melayan tuntutan tidak munasabah pengusaha pertanian di tanah milik agensi itu sendiri, kata Saarani Mohamad.

Menteri besar Perak merujuk kepada dakwaan MB Inc melakukan penganiayaan dan pengusiran secara paksa terhadap pengusaha pertanian kawasan Mukim Pasir Panjang Ulu, Daerah Perak Tengah.

Beliau mendedahkan pengusaha pertanian tanpa kebenaran itu meminta pampasan RM100,000 bagi 0.4 hektar jika mahu mereka keluar dari tanah diusahakan itu.

“MB Inc tidak bersetuju dengan permintaan itu dan hanya bersetuju memberikan bayaran ex-gratia sebanyak RM2,000 bagi 0.4 hektar kepada pengusaha-pengusaha tanpa kebenaran di tanah seluas 324.15 hektar,” katanya menurut Bernama pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1/2024, di Ipoh.

Saarani berkata, pihak MB Inc telah mengadakan beberapa siri rundingan secara langsung bersama pengusaha terbabit sejak 2021, selain menawarkan ex-gratia dengan kadar munasabah.

Katanya, kadar pampasan dituntut sangat tidak adil kepada MB Inc kerana selaku tuan rumah, badan itu perlu membayar kepada pengusaha dengan jumlah besar untuk mengusahakan tanah milik MB Inc sendiri.

Beliau berkata, operasi Pembersihan Fasa 1 pada 29 Dis tahun lalu melibatkan sebahagian kecil kawasan tanaman sawit seluas 8.09 hektar daripada keseluruhan tanah pajakan melombong MB Inc seluas 324.15 hektar.

“Operasi terbabit dilakukan untuk membangunkan projek perlombongan bijih timah yang masih mempunyai potensi mineral untuk dimajukan dan bakal menyumbang hasil kepada kerajaan negeri,” katanya.

Saarani berkata, pihaknya tidak mahu isu dibangkitkan itu menjadi modal pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengeruhkan lagi keadaan.

“Kita sentiasa komited mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu seperti ini terutamanya melibatkan pengambilan semula tanah milik kerajaan negeri.

“Begitu juga tindakan yang kita ambil terhadap peneroka tanah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Silver Valley Technology Park di Chemor dan Kanthan yang kita uruskan mengikut lunas undang-undang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.