`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 28, 2024

Cantik pun kena belasah

 

Mohsin Abdullah

Semalam, sempena pembukaan Olimpik Paris 2024, kontinjen negara mengenakan busana digelar ‘The Malaya’ hasil ciptaan pereka Rizman Ruzaini. Ditayangkan di seluruh dunia dan diberitakan mendapat pujian ramai.

Namun lain pula bunyinya di Malaysia. Ada respon negatif apabila dipertontonkan kepada khalayak. Cantik tapi macam baju raya kata pengkritik termasuk beberapa kenalan saya. Disusuli komen sinis dan lawak seperti ‘bestlah Aidilfitri depan dah ada baju raya’.

Ok saya akui memang pakaian rasmi atlet Olimpik negara ada raya vibes. Pakai ke majlis perkahwinan pun ngam kerana ia cantik dan menarik.

Tak sesuai untuk ahli sukan kata pengkritik. Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, ketua pemuda Bersatu dan Ahli Parlimen Machang mengambil peranan ‘fashion critic’ buat seketika dengan mendakwa pakaian itu tidak menyuntik semangat untuk acara sukan berprestij seperti Olimpik.

Ia tidak menampilkan ‘Olympic atmosphere’, katanya lagi. Sambil mendakwa beliau tidak mengkritik pereka namun berpendapat ‘we can do better’. Namun Wan Fayhsal tidak pula menyatakan apa ciri sukan Olimpik dan semangatnya dimaksudkan.

Tidak dinyatakan juga bagaimana si pereka harus memasukkan elemen tersebut. Atau adakah beliau maksudkan atlet mesti berpakaian track suit dan track shoes untuk tunjuk semangat sukan?

Peguam Siti Kasim juga tampil dan berkata bagi beliau rekaan pakaian kontinjen Malaysia agak hambar. 

Maaf saya rasa ada yang tak kena. Saya mahu lihat Batik, real Baju Kurung, Kebaya, Cheongsam, Sari, pakaian tradisi kawan-kawan kita dari Borneo, warna warni bagi melambangkan kepelbagaian Malaysia,
 katanya.

Mungkin bagi pereka budaya Melayu menggambarkan Malaysia. Menurut si pereka, persalinan baju teluk belanga dan baju kurung berwarna keemasan yang dinamakan The Malaya didedikasikan kepada wira kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut dan Datuk Bahaman.

Imbau kembali kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney, 2004 Athens, 2012 London, 2016 Rio De Janeiro, Tokyo 2020 (diadakan pada 2021 sebab pandemik Covid-19)– semuanya memperagakan pakaian Melayu.

Yang lelaki siap bertanjak bagai pahlawan dan wanita kebaya labuh.Tidak ada elemen komuniti lain Malaysia tetapi tiada siapa bising.

Cuma warnanya ketika itu mungkin dilihat lebih garang berbanding yang sekarang dengan penampilan warna Jalur Gemilang atau jalur harimau.

Tidak dinafikan ada juga yang berpendapat warna itu agak kelakar kerana kata mereka bendera tidak sesuai dibaju Melayukan.

Berbalik kepada aspek kepelbagaian rakyat Malaysia yakni berbilang kaum. Pada pendapat saya yang bukan seorang pereka fesyen mungkin beberapa atlet boleh berpakaian tradisi bangsa masing-masing dan yang lainnya mengenakan pakaian rasmi kontinjen.

Atau beberapa atlet termasuk yang berbangsa Melayu mengenakan pakaian tradisi masing ‘while the rest’ pakai blazer, seluar dan skirt panjang buat wanita untuk menjaga sensitiviti orang Melayu Islam.

Pada perasmian semalam kontinjen Indonesia memperagakan baju adat Jawa walaupun rakyat republik itu berbilang keturunan. Kontinjen Indonesia berbaju adat Jawa tidak dijadikan isu di negara itu. Tidak ada yang menuduh ia tidak menggambarkan unsur  Indonesia.

Seorang lagi pengkrtik busana The Malaya ialah Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon yang menuduh pakaian itu mengabaikan elemen masyarakat Cina dan India serta masyarakat Sabah dan Sarawak. Mana elemen diversiti tanya beliau.

Saya pula tidak dapat elak bertanya (kepada diri sendiri) adakah kritikan itu sebenarnya berbaur politik yang menyerang DAP iaitu musuh MCA?.

Perhatikan apa kata Chong seperti dilapor Malaysiakini 

Is this the official attire for the Malaysian delegation to the Paris Olympics that DAP Youth and Sports Minister Hannah Yeoh is so proud of ?
.

Perlu ditegaskan Yeoh selaku menteri hanya memperkenalkan pakaian itu kepada media. Soal pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke temasya sukan adalah tanggungjawab Majlis Olimpik Malaysia atau MOM.

Beginilah sebagai kesimpulan. Bagi saya kalau di Kuala Lumpur nasi kandar paling sedap ialah Kudu Abdul. Mungkin bagi anda Yaseem. Di Petaling Jaya bagi saya Zainul. Bagi anda Bilal (saya pun dah mula sukakan Bilal nasi kandar).

Di Pulau Pinang saya suka Deen Maju. Mungkin anda suka nasi kandar Imigresen atau nasi kandar celah babi. Macam itu lah soal pakaian atlet negara ke Sukan Olimpik Paris.

Sepatutnya yang menjadi fokus kita semua ialah kemampuan atlet negara mengutip pingat di Paris. Dan paling penting adakah Malaysia akan memenangi pingat emas Sukan Olimpik pertama setelah sekian lama mengambil bahagian dalam temasya sukan hebat itu. - FMT

Menang pingat emas orang akan lupa baju cantik atau buruk.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.