`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, August 27, 2024

Frankie, Denti kembali beraksi, bantu cari mangsa tanah jerlus

 

Free Malaysia Today
Frankie dan Denti dari Unit Pengesan K9 bomba pernah menyertai misi tanah runtuh di Batang Kali dan gempa bumi Turkiye.

KUALA LUMPUR
Frankie dan Denti, dua anjing dari Unit Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kembali beraksi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini.

Sumber JBPM memaklumkan kedua-dua anjing baka English Springer Spaniel itu, dibawa ke lubang jerlus pada 5 petang bagi membantu pasukan SAR melakukan pengesanan mangsa, Vijayaletchumi, seorang wanita warga India.

Tinjauan Bernama mendapati kehadiran Frankie dan Denti menarik perhatian orang awam dan petugas media yang berada di lokasi kejadian.

Denti dan Frankie kemudiannya dibawa masuk ke lubang jerlus bersama pengendali mereka dan melakukan pengesanan kira-kira 10 hingga 15 minit.

Dua ekor anjing itu pernah menambat hati rakyat Malaysia ketika terlibat dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor, akhir tahun lepas.

Beberapa bulan selepas itu, Denti dan Frenkie yang sudah tujuh tahun berkhidmat diterbangkan ke bumi Turkiye selama 14 hari, bagi membantu operasi khas SAR gempa bumi yang meragut kira-kira 50,000 nyawa pada Februari tahun ini.

Pada Jumaat lepas, pasukan SAR sudah menggunakan khidmat unit anjing pengesan itu, namun tidak mendapat sebarang petunjuk.

Hari ini merupakan hari kelima operasi SAR dalam usaha mengesan mangsa berusia 48 tahun itu yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.22 pagi, Jumaat lepas.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.