`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, June 26, 2026

Melayu ‘teraba-raba’

 Setelah puluhan tahun membina kesetiaan bersama Umno, memilih satu wakil tunggal bagi orang Melayu adalah sukar buat masa ini.

Prk Kelantan

Masyarakat Melayu sehingga ke sekian waktu, corak hidup mereka terutama sekali pola pengundian itu cukup mudah, pangkah saja logo ‘dacing’. Setidak-tidaknya jika bukan di Kelantan, Terengganu atau Kedah yang turut ada saingan daripada logo ‘bulan’.

Walaupun Malaysia dilanda pelbagai jenis skandal kepimpinan, andai dalam ketidaktentuan, orang Melayu tetap memilih cap ‘dacing’. Sudah pasti bukan revolusi yang didambakan tetapi lebih kepada kestabilan politik negara yang diketuai oleh pemimpin Melayu.

Namun, sejak dua pilihan raya umum lalu, trend politik tersebut sudah berubah.

Barisan Nasional nyata bukan lagi pilihan tunggal orang Melayu. Pakatan Harapan apatah lagi, tetapi Perikatan Nasional pula yang mempunyai dua parti Melayu, PAS dan Bersatu menjadi pilihan utama tanpa mengira umur.


Antara 2022 hingga 2023, undi Melayu ternyata berpihak kepada PN dengan anggaran sekitar 60% berbanding gabunga lain.

Namun, adakah kesetiaan ini akan terus kekal menjelang beberapa pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang?

Jawapannya tidak semestinya.

Mengapa begitu? Mudah, setelah puluhan tahun membina kesetiaan bersama Umno, memilih satu wakil tunggal bagi orang Melayu adalah sukar buat masa ini.

Kepercayaan yang mereka telah curahkan kepada Umno selama ini, telah habis dirobek sejak 2018 dengan skandal 1MDB yang menyaksikan bekas perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak disumbat ke dalam penjara.

Menyokong PH sudah tentu lebih sukar, prestasi pentadbiran kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim pula bercampur-baur dan jangan dilupakan DAP yang sering dijadikan ‘punching bag’ parti Melayu berada dalam koalisi itu.

Bagaimana pula dengan BN yang dahulunya pilihan utama mereka? Umno yang menjadi harapan orang Melayu sehinggalah 2018, kekal diharapkan cumanya tidak lagi dipercayai seperti dulu. Luka 1MDB masih terasa sehingga kini dengan Najib masih berada dalam penjara.

Apabila mana-mana hulubalang Umno seperti Dr Akmal Saleh bersuara kononnya soal Melayu dan Islam, pasti ada Melayu yang menyokong aspirasi beliau, tetapi untuk kembali setia kepada Umno mungkin belum tiba masanya lagi.

Berbalik kepada PN yang terasnya PAS dan Bersatu, walau menjadi pilihan utama orang Melayu pada pilihan raya umum dan negeri yang lalu, nampak mudah untuk terus mengatakan bahawa gabungan ini akan kekal ‘merajai’ sokongan orang Melayu terutama sekali menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Namun, melihat perseteruan antara PAS dan Bersatu ketika ini, kestabilan yang dahulunya dibawa oleh Umno untuk orang Melayu nampaknya sukar dibawa oleh PN.

Jika berada dalam pembangkang yang masih lagi jauh daripada koridor kuasa pun sudah penuh ketidakstabilan, apakah yang boleh memungkinkan apabila sudah berkuasa kelak, kestabilan dan keharmonian dapat mereka bawa?

Justeru, adakah parti yang lebih muda seperti Bersama, Muda dan lain-lain mampu menjadi ‘rumah bangsa’ kepada orang Melayu? Mungkin. Tapi setidak-tidaknya bukan untuk hari ini.

Jelas, pada hari ini orang Melayu sudah hilang kompas politik mereka, masih lagi tercari-cari hala tuju dan cahaya yang benar untuk memimpin. Kestabilan yang dicari ini penting bagi memberikan ketenangan orang Melayu bagi isu-isu lain dalam hidup mereka sama ada ekonomi, sosial dan lain-lain.

Sebelum ini, dengan kawalan media dan kekuasaan BN yang ampuh, orang Melayu bagaikan ‘ditutup mata’ dengan kain dan sentiasa dipimpin oleh Umno tapi setidak-tidaknya tidaklah perlu risau akan urusan harian mereka.

Selepas tahun 2018, orang Melayu berjaya membuka ikatan di mata mereka, namun setelah dibuka, barulah mereka sedar bahawa mereka sedang berada dalam sebuah bilik yang gelap.

Hasilnya, sehingga hari ini, orang Melayu bagaikan ‘teraba-raba’ di dalam gelap mencari pintu keluar daripada ‘gelita’ itu.

Akhirnya, adakah pada PRN dan PRU akan datang orang Melayu akan berjaya keluar daripada kegelapan ini? Atau ‘kegelapan’ ini bakal dimanipulasi oleh parti Melayu bagi menjadi tangan yang menyambut sokongan orang Melayu? Sama-sama kita nantikan. - FMT

Penulis ialah lulusan sains politik dan pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT,

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.