`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Thursday, August 20, 2026

Bertemu pengundi pilihan raya Negeri Sembilan

 Pengalaman bertemu pengundi Negeri Sembilan sepanjang kajian lapangan kami sememangnya menunjukkan ia adalah satu pengalaman yang sureal.

faisal tehrani

Ketika kempen pilihan raya Negeri Sembilan memuncak sebelum 1 Ogos yang lalu, saya bersama-sama sekumpulan siswa UPM, UKM dan UIA turun ke lapangan melakukan temu bual berstruktur dan diskusi tertumpu secara berkumpulan. Seperti mana yang kita tahu, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional membentuk kerajaan, dan blok ini berjaya mengalahkan Pakatan Harapan (PH) termasuklah Menteri Besar Aminuddin Harun di Linggi dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di Chennah.

Lima kali ‘focus group discussions’ dilakukan antara 15 Jun sehingga 30 Julai 2026. Pelajar saya memberikan tumpuan kepada pengundi muda di bawah usia 30 tahun memandangkan hampir separuh dari pengundi di Negeri Sembilan tempoh hari terdiri dari mereka yang masih baharu dan belum mengenal sepak terajang dan kerancuan naratif politik. Saya pula tidak memberikan tumpuan kepada aspek umur ini. Kajian ini dilakukan untuk Iseas-Yusof Ishak Singapura dan akan diterbitkan hasilnya sedikit masa lagi.

Dengan mengambil kira kempen PRN tersebut turut mengheret sama isu krisis kepimpinan dalam Adat Perpatih, soalan kami turut merangkumi pertelingkahan melibatkan mantan Undang Berempat (seorang lagi, iaitu Undang Johol masih berfungsi) dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; isu kerugian Tabung Haji dan soalan-soalan melibatkan politik identiti dan keislaman. Kajian lapangan kami dilakukan di Tampin, Port Dickson, Seremban, Labu, Senawang, Repah, Gemas, Paroi, Seri Menanti, Sikamat, Lenggeng, Seremban Jaya, Repah, Rantau dan Linggi.

Terdapat banyak faktor kecil yang membawa kepada kejayaan BN dan PN di Negeri Sembilan, seperti antara lain komunikasi yang jelas dengan pengundi menerusi media sosial (terdapat lagu dalam dialek Negeri Sembilan di TikTok misalnya), atau penggunaan artis dan selebriti seperti Anne Ngasri di Labu atau Asma Harun di Lenggeng; saya menyimpulkan kekalahan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan kepada tiga poin besar.

Pertama, politik fitnah oleh lawan Pakatan Harapan. Saya ada banyak cerita mengenai poin ini tetapi memadai saya menyampaikan satu sahaja kisah. Di Bandar Enstek; saya masuk sekejap berehat di sebuah kafe atau restoran, sementara pelajar saya berkeliaran melakukan kerja lapangan. Masuk dua orang lelaki agak berumur yang kedua-duanya saya percaya adalah pesara. Mereka memesan makanan, tidak berbual tetapi menghabiskan masa menonton video pendek di platform TikTok, atau mungkin YouTube, atau Instagram. Suara dari video itu agak hingar dan kedua-duanya perlu bersuara lebih keras untuk berinteraksi sesama mereka. Justeru, saya yang berada tidak jauh dari meja mereka dapat mendengar dengan jelas inti pati perbualan kedua-duanya.

Lelaki A: “Ini kau tengok ini. Video ini… “

(Tidak dapat dipastikan apakah video yang sedang ditonton, tetapi kedengaran suara Perdana Menteri Anwar Ibrahim tenggelam timbul)

Lelaki B: “Video apa?”

Lelaki A: “Ini budak ini, lawa budaknya. Menteri ni, muda-muda dah jadi menteri. Apalah yang dia tahu. Ini anak Johari.”

Lelaki B: “Johari mana?”

Lelaki A: “Speaker.”

(Mereka merenung telefon bimbit yang sama buat seketika, dan perbualan disambung)

Lelaki A: Komen ini sebut budak ni ada simpan duit banyak di Amerika. FBI pun cari.

Lelaki B: Duit bapak dia ke, duit Bang Non tu…

Perbualan kedua-dua lelaki berusia ini merujuk kepada ‘komen’ di bawah sebuah status video. Kedua-duanya kelihatan mempercayai dan membincangkan ‘komen’ yang diturunkan, dan secara permukaan, saya mendapati tidak ada satu analisis, pemikiran kritis atau capaian kognitif yang paling teras dilakukan oleh mereka untuk menyanggah ‘komen’ yang sudah tentu sahaja liar itu.

Itu hanyalah satu contoh. Kami menemukan bermacam bentuk lagi fitnah yang membuatkan kami tersenyum, terbelalak mata, dan terkesima sepanjang kerja lapangan. Namun, untuk memastikan data yang kami perolehi adalah objektif kami tidak mencelah atau membantah mana-mana tanggapan atau pendapat pengundi yang kami temui.

Akan tetapi memadailah saya sebutkan PH kalah di Negeri Sembilan dan kelak di medan lebih luas dengan cara fitnah begini. Dapatlah dikatakan PH kehilangan langsung kemudi dalam memahamkan rakyat atau pengundi mengenai prestasi mereka. Sentimen dan fitnah menguasai sepenuhnya minda pengundi secara sedar atau di bawah sedar. Fitnah ini dilakukan secara conditioning, satu istilah psikologi di mana jika ia diulang-ulang akan membuatkan orang percaya.

Inilah yang dilakukan oleh PAS untuk merosakkan imej dan prestasi PH, iaitu secara konsisten menumbuk DAP kiri kanan sehingga lunyai dan tanpa perasaan. Fitnah yang dilancarkan tersebut tidak pun diperkirakan apakah ia Islami atau tidak.

Kedua, segmen pengundi wanita Gen Z yang terbiar. 36 dari 60 responden kami adalah wanita. Dapat dikatakan hanya seorang sahaja pengundi wanita benar-benar memahami isu-isu politik yang diketengahkan ketika kempen.

Satu hal yang menarik di Negeri Sembilan ialah isu-isu nasional lebih menguasai isu lokal atau setempat. Ini tidak terjadi di Johor, ketika kempen PPRN Johor. Ini mungkin kerana Negeri Sembilan lebih hampir dengan Lembah Kelang dan mendapat tempias segala isu nasional. Malah di kawasan seperti Labu, atau Senawang kita akan mendapati terdapat pengundi adalah penjawat awam yang bertugas di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

Kami juga mendapati mudah untuk menemukan pengundi Negeri Sembilan di mana rata-rata bekerja di Seremban, Nilai atau Senawang tetapi datang dari daerah atau bandar di negeri yang sama. Sebagai contoh, pekerja di Aeon Seremban 2 ada yang berasal dari Pilah, atau Repah dan berulang-alik hari. Ini menunjukkan peluang pekerjaan di Negeri Sembilan agak meluas, dan jarang ada ‘orang luar’ yang kami temui.

Di sebalik dua fenomena di atas, pengundi wanita khusus Gen Z yang kami temui boleh dikatakan terlalu jahil dengan isu semasa. Semua, kecuali seorang mengetahui bahawa PRN terjadi kerana BN menarik balik sokongan kepada kerajaan perpaduan kerana kononnya tidak berpuas hati dengan cara Aminuddin mengendalikan ‘krisis adat’. Rata-rata pengundi wanita tidak mengenal pemimpin di peringkat negeri mahupun persekutuan dan sama sekali terabai serta tidak peduli dengan isu-isu nasional. Mereka juga keliru mengapa parti-parti yang berlawanan di Negeri Sembilan adalah juga parti yang membentuk kerajaan di peringkat persekutuan. Semua, kecuali seorang dari 36 responden wanita memahami isu Adat Perpatih dan boleh menjelaskan kembali kepada kami dengan baik. Ia juga menunjukkan ketidakpedulian generasi baharu dalam kalangan wanita terhadap Adat Perpatih. Hal ini agak menyedihkan memandangkan Adat Perpatih adalah ‘semuanya mengenai perempuan’ atau berteraskan matrilineal.

Terdapat di antara mereka yang tidak dapat menjelaskan soal-soal teras melibatkan polisi kerajaan menunjukkan komunikasi kerajaan atau kesungguhan di pihak PH dalam hal ini amat lemah. Pengundi wanita Gen Z yang kurang berpendidikan juga menunjukkan kelemahan atau kejahilan lebih ketara berbanding yang lebih berpendidikan atau sedang menuntut di pengajian tinggi.

Ketiga, pengundi lelaki muda yang kami temui menyatakan kerajaan Negeri Sembilan dan blok Pakatan Harapan di peringkat persekutuan gagal menjaga ‘kemuliaan’ agama Islam. Apabila kami bertanyakan apakah contoh yang boleh disebutkan untuk menguatkan dakwaan itu, ada pengundi yang memberitahu bahawa di Pulau Pinang yang dikuasai oleh PH, laungan azan tidak dibenarkan.

Di hari lain, seorang pengundi muda menyatakan beliau tidak akan mengundi calon Amanah di DUN tempat pengundiannya kerana kerajaan negeri telah bertindak menekan seorang pempengaruh TikTok terkenal yang dirujuk sebagai Azri Faris Nakal. Apabila minta dijelaskan apakah bentuk tekanan yang diberikan terhadap TikToker ini, beliau menyatakan Azri Faris Nakal yang menjual baju t-shirt aneka desain dan digemari dalam kalangan penunggang motorsikal ini dinafikan hak untuk berniaga di sebuah pesta anjuran kerajaan negeri di Seremban.

Alasan-alasan aneh begini kami temui secara meluas. Terdapat pengundi muda lelaki sekitar umur 20-an menuntut agar subsidi minyak dihapuskan. Terdapat juga peniaga jalanan yang menegaskan PH gagal menjaga kebajikan peniaga kecil semata-mata kerana beliau kini tidak dibenarkan berniaga di atas petak parkir kenderaan berhampiran sebuah pasar raya di Senawang. Beliau merungut peniaga Cina dibenarkan berniaga di dalam kedai dan beliau tidak diberi peluang untuk melakukan hal yang sama.

Pengalaman bertemu pengundi Negeri Sembilan sepanjang kajian lapangan kami sememangnya menunjukkan ia adalah satu pengalaman yang sureal. Bukan sahaja program Undi 18 yang diharapkan akan melibat dan mematangkan anak muda dalam proses bernegara runtuh sama sekali matlamatnya, kami juga mendapati pengundi senior turut terlacur sama dalam budaya politik fitnah.

Penemuan saya dan pelajar-pelajar ini dapat dikatakan agak menggerunkan dan tidaklah menghairankan Hadi Awang dalam tahun 2022 pernah mengatakan PAS memang mensasarkan pengundi muda jahil untuk berkuasa kelak.

Dalam satu ucapan di muktamar PAS, presiden PAS itu menyatakan, “Undi penentu daripada kalangan anak muda lelaki dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat.”

Di kala musuh PH mengeksploitasi kejahilan pengundi, PH pula terkial-kial ingin membijakkan pengundi dengan fakta dan prestasi, sesuatu yang dikesampingkan terus, dan tenggelam oleh sentimen. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.