
Sekian lama, pelantikan pemimpin universiti awam dibayangi satu tanggapan yang sudah lama disuarakan oleh para akademik bahawa prosesnya dipengaruhi faktor politik di mana kedekatan dengan kuasa atau kecenderungan politik menjadi pemberat lebih kuat atau penentu akhir berbanding kewibawaan ilmu, pengalaman dan daya kepimpinan. Sejauh mana ia benar-benar berlaku terbuka kepada perdebatan. Tetapi tanggapan itu sendiri sudah cukup membangkitkan isu kepercayaan dan kewibawaan institusi pengajian tinggi.
Maka cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) wajar disambut sebagai ruang untuk melihat penambahbaikan. Namun peluang yang paling besar dan sudah lama dinantikan ialah kesempatan untuk menetapkan semula hubungan antara kerajaan dan universiti, daripada pengawasan kepada kepercayaan. Ini seharusnya bermula dengan proses pemilihan pemimpinnya. Ini bukan soal prestasi, kerana di bawah Auku pun universiti kita tetap menaik dalam pemeringkatan dan membina penyelidikan. Ini soal bagaimana universiti boleh dipimpin dengan lebih baik pada dekad mendatang. Untuk tujuan itu tiada yang lebih menentukan sesebuah universiti selain siapa yang menerajuinya. Justeru, cadangan pemansuhan ini menjadi ruang terbaik untuk memastikan perubahan yang benar-benar perlu dilakukan terhadapnya.
Bebaskan pemilihan pemimpin daripada politiking
Dalam proses pemilihan pemimpin universiti, terutamanya jawatan naib canselor, kita bukannya tidak mempunyai proses yang jelas dan kukuh. Pemilihan naib canselor dipilih menerusi carian terbuka, saringan, jawatankuasa penilai dan temu duga. Ianya satu proses panjang yang sepatutnya tidak berakhir dengan mengetengahkan calon belum cukup matang atau belum bersedia menerajui sebuah universiti. Apabila hal ini tetap berlaku, kecacatannya bukan pada proses, tetapi pada sistem yang mendasarinya. Selama ini, kata putusnya terletak di luar universiti, dalam ruang yang terdedah kepada pengaruh politik, bukan pada golongan akademik dan warga universiti yang akan bekerja dengan pilihan itu.
Penulis pernah terlibat dan menyaksikan proses itu dari dalam, ketika turut menyumbang input dalam pemilihan pemimpin universiti dan melihat sendiri bagaimana satu proses carian yang teliti mengenal pasti calon yang benar-benar berwibawa. Tiada keraguan dalam tatacaranya. Yang membangkitkan persoalannnya ialah langkah terakhirnya, yang kadangkala menuruti logik berbeza daripada keputusan berdasarkan pertimbangan keilmuan dan keupayaan kepimpinan seperti syor jawatankuasa sendiri. Maksudnya, masalahnya bukan kerana proses yang gagal menemukan calon baik, tetapi di mana keputusan itu akhirnya berlabuh.
Ini bukan soal menuding jari. Menurut Auku, kata putus terakhir di tangan menteri dan seorang menteri pasti mempertimbangkan perkara yang mungkin tidak terlihat oleh jawatankuasa pemilih, termasuklah siapa yang dirasakan ‘sehaluan’, siapa yang boleh dipercayai, atau siapa yang sudah tiba gilirannya. Inilah antara soalan yang biasa sebagai pihak bertanggungjawab untuk memilih mereka yang boleh kerja bersama. Apabila pertimbangan sebegini menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan, jawatan itu boleh terjatuh kepada calon yang bijak berpolitik berbanding yang paling layak mengikut susunan syor jawatankuasa. Akibatnya, yang dilantik mungkin terhutang budi, dan ini akan mempengaruhi tindak-tanduk kepimpinannya.
Pandangan ini pasti ada bangkangan. Bukankah pelantikan itu berdasarkan syor sebuah jawatankuasa? Pada dasarnya, benar. Pada realitinya, tidak semua pelantikan menuruti apa yang disyorkan, dan penyimpangannya dipertahankan atas alasan “maklumat terperingkat” yang berada di luar jangkauan jawatankuasa. Di sinilah kelemahannya di mana syor menjadi nasihat pada namanya sahaja, dan “maklumat terperingkat” bertukar menjadi kuasa mengatasi syor. Lebih sukar ianya tidak dapat diperiksa atau diaudit oleh sesiapa. Ini kecacatannya pada reka bentuk, bukan pada pemegang jawatan. Sejarah Auku sendiri membuktikannya apabila status autonomi diberikan kepada 17 daripada 20 universiti awam mulai 2012. Namun kuasa pelantikan tetap kekal di tangan menteri. Maka yang berubah hanya labelnya, bukan sistemnya. Menariknya, dalam sejarah Auku, kuasa muktamad pelantikan itu asalnya bukan di tangan menteri, tetapi Yang di-Pertuan Agong, sehingga pindaan 1996. Jadi, apa yang pernah dipinda tidak mustahil boleh diubah semula demi penambahbaikan.
Maka cadangan pemansuhan ini sebenarnya membuka ruang keemasan untuk kita bertanya semula soalan asas – bagaimana dan oleh siapa sepatutnya pemimpin sebuah universiti dipilih? Tiada jawapan tunggal yang boleh disalin bulat-bulat daripada mana-mana negara, tetapi prinsipnya jelas. Pilihan itu wajar berada lebih dekat kepada institusi berbanding pihak kementerian kerana mereka yang akan bekerja di bawah pemimpin itu dan menanggung akibat andai tersilap pilih. Ia juga mengurangkan risiko krisis dalam apabila silih bergantinya kerajaan. Pendekatan begini bukanlah gagasan yang radikal. Di Indonesia, universiti memilih rektornya sendiri dan menteri sekadar mengesahkan. Di Britain, Majlis Universiti melantik menerusi jawatankuasa carian, tanpa peranan menteri. Di Amerika Syarikat dan Australia pula, Lembaga atau Majlis Universiti yang memutuskan. Prinsip asasnya satu – kementerian boleh membiayai dan mengesahkan, tetapi tidak wajar diserahkan kuasa memilih muktamad.
Bekas naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuwar Ali, yang pernah menganggotai panel sebegini di Indonesia, apabila memberi komen tentang isu pemansuhan Auku, mengingatkan bahawa memberi tumpuan hanya kepada soal kebebasan mahasiswa bererti kita terlepas pandang persoalan tadbir urus yang lebih dalam, iaitu keperluan kepada proses terbuka dan berteraskan merit. Ini amat penting untuk menarik ilmuwan terbaik tampil kerana proses yang berakhir pada budi bicara politik akan membuka laluan kepada yang mahir melobi. Harganya bukan sekadar kerisauan tentang hala tuju universiti, tetapi universiti boleh berakhir dipimpin oleh seseorang yang tidak mempunyai pengalaman secukupnya kerana tidak pernah dipertanggungjawabkan dengan jawatan besar sebelumnya. Maka yang terlantik perlu belajar mengukur beban jawatannya di depan mata umum. Akibatnya, institusinya menanggung kerumitan yang sepatutnya tidak wujud.
Berikan universiti autonomi kewangan penuh
Kepimpinan bukan satu-satunya tuas. Sebuah universiti yang terpaksa kembali kepada kementerian bagi setiap peruntukan tidak boleh menyimpan apa yang diperolehnya, tidak akan mampu menentukan haluannya sendiri. Kajian Chang-Da Wan dan Morshidi Sirat mendapati walaupun status autonomi diberikan sejak 2012, universiti masih perlu memohon kelulusan daripada Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam – satu bentuk autonomi yang mereka sifatkan “terpandu”, umpama dibebaskan sedangkan tangan masih terikat di belakang. Selagi kerajaan memegang tali kewangan, autonomi hanyalah separuh. Autonomi yang sebenar membolehkan institusi menjana, menyimpan dan menggunakan sumbernya sendiri di bawah akaun yang telus dan diaudit. Namun syarat yang sentiasa menyusul – autonomi tanpa mengabaikan akauntabiliti – boleh menjadi pintu masuk bagi campur tangan kembali ke dalam urusan kewangan universiti. Perlu diakui juga bahawa sebahagian besar tali itu tidak pernah pun terletak dalam Auku, tetapi dalam jentera kewangan awam. Maka memansuhkan akta sahaja tidak akan menyelesaikannya.
Longgarkan, bukan runtuhkan
Di sebalik kedua-dua hal ini, ada satu lagi genggaman yang lebih senyap iaitu kelulusan, laporan dan pengawasan harian yang menjadikan universiti seolah-olah sebuah agensi bawahan yang terpaksa menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menjawabnya, padahal ia sebuah institusi ilmu dengan segala kepakarannya. Pemansuhan sewajarnya menjadi titik tolak untuk beralih daripada mengawal sebelum sesuatu berlaku kepada menilai hasil selepasnya. Namun, melonggarkan tidak bererti meruntuhkan segalanya. Rangka dan peraturan yang benar-benar diperlukan seperti peraturan penubuhan universiti yang sah, kuasa menganugerahkan ijazah, penyusunan akademik oleh senat boleh dikekalkan, tanpa perlu melalui pusingan perbincangan yang akan merencatkan pengurusan semasa universiti. Ukuran reformasi bukan sejauh mana Auku diruntuhkan, tetapi sejauh mana sistem diperbetulkan pada perkara yang paling menentukan arah dan peranan universiti, yakni pemilihan pemimpin dan penguasaan ke atas sumbernya sendiri.
Sebagai rumusan, seperti yang ditegaskan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Osman Bakar, bahawa kerangka baharu Auku mesti progresif, adil dan memelihara integriti institusi. Malah, katanya, ia bukan sekadar soal mengawal selia aktiviti dan penyertaan mahasiswa, sebaliknya turut merangkumi penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti. Peranan sesebuah universiti bermula pada satu titik, iaitu ia harus menjawab kepada ilmu, bukan kepada kuasa dan memberdayakan dasar bagi pengejaran ilmu, pembentukan insan dan pembinaan umran, seperti kata Ibn Khaldun – apabila ilmu tunduk sepenuhnya kepada kuasa, bukan ilmu sahaja yang merosot, tetapi tamadun itu sendiri. Maka, inilah peluang sebenar untuk kerangka pengganti, bukan sekadar statut yang lebih kemas, tetapi sistem yang membebaskan universiti dari politicking dalam memilih pemimpinnya dan seterusnya menentukan haluannya sendiri. - FMT
Penulis, Zainal Abidin Sanusi ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pengerusi teras politik di Musyawarah Nasional.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.