Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dengan mengangkat warisan tempatan ke pentas antarabangsa, ia akan memberi nilai tambah kepada usaha memperkasa sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 dari 4 hingga 6 Sept ini akan menampilkan keunikan Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan pesisir air yang dinamik, selain mengetengahkan warisan maritim, budaya dan kehidupan masyarakat pesisir yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri itu.
Baginda bertitah penganjuran pesta tahunan itu mampu terus membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan produk budaya, makanan, kraftangan dan hasil tempatan kepada pengunjung yang akan memberi nilai tambah kepada usaha memperkasa sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
“Antara tarikan utama yang bakal mewarnai pesta itu termasuk Pertandingan Perahu Naga dan Perahu Tradisional, Acara Sukan Rakyat Pesisir, Pesta Gastronomi serta Ekspo Kraf Tempatan,” titah baginda sempena Prapelancaran Promosi Masakan Perlis di Roti Bar, Melbourne, Australia, baru-baru ini.
Turut berangkat ke sesi simbolik anjuran restoran itu dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail serta puteri baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Sementara itu, Promosi Masakan Perlis selama sebulan yang akan bermula 1 Sept ini turut menjadi platform memperkenalkan keunikan warisan kulinari negeri itu kepada masyarakat antarabangsa menerusi diplomasi makanan.
Selain memperkenalkan makanan tradisional, promosi itu akan menjadi medium memartabatkan kebudayaan dan seni kulinari Perlis di pentas antarabangsa, membuka ruang kepada masyarakat Australia dan komuniti antarabangsa untuk mengenali kepelbagaian warisan makanan negeri itu.
Promosi Masakan Perlis itu mendapat sokongan pengusaha tempatan di Melbourne menerusi Roti Bar, restoran popular diusahakan Chef Ray Ulaganathan dan Julin Tan yang beroperasi sejak sembilan tahun lalu.
“Penglibatan pengusaha tempatan dalam menjayakan Promosi Masakan Perlis dilihat mampu memperluaskan lagi pengenalan terhadap warisan kulinari Perlis dalam kalangan masyarakat antarabangsa, selain memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Australia melalui pendekatan diplomasi makanan,” titah baginda. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.