Budaya politik narsistik perlu ditolak, sebaliknya politik seharusnya melahirkan negarawan bukan selebriti politik.

Kita selalu mendengar perkataan narsistik. Lazimnya istilah ini dikaitkan dengan dunia psikologi dan kesihatan mental. Ia merujuk kepada seseorang yang terlalu mencintai dirinya sendiri, terlalu dahagakan pujian, sukar menerima kritikan dan sentiasa mahu menjadi pusat perhatian. Bagaimanapun, kita bukan hendak membincangkan tentangnya tetapi membuka mata melihat bagaimana sifat-sifat yang menghampiri narsistik semakin membudaya dalam politik kita.
Politik kita hari ini bukan lagi tentang pertandingan idealisme. Bukan juga tentang bekerja demi rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Ia semakin berubah menjadi pertandingan perhatian. Ahli politik bukan setakat bekerja, tetapi perlu memastikan rakyat melihat bahawa dia sedang bekerja dan berjasa. Buat longkang, turap jalan mesti ada gambar dia sedang bercekak pinggang. Turun padang, jumpa masyarakat mesti ada konten di media sosial. Ke tapak program, mesti ada liputan live. Masuk kampung, pergi kenduri kahwin mesti masuk Instagram. Malaysia mesti tahu aku sedang berkhidmat. Malaysia mesti tahu aku sedang merakyat. Malaysia mesti tahu akulah hero.
Di zaman media sosial ini, itu tidak sepenuhnya salah. Media sosial juga diakui memang telah mengubah budaya komunikasi pemimpin dengan rakyat. Namun, kejutan budaya telah mengubah politik hari ini sehingga membuatkan imej menjadi lebih penting daripada isi. Hasil kerja menjadi nombor dua, yang diutamakan ialah perhatian orang ramai. Populariti telah dijadikan alat mengukur keupayaan. Video dikerumuni rakyat, dipeluk masyarakat lebih penting meskipun dalam sidang dewan dia lebih banyak diam. Yang penting, glamor dan ada peminat.
Daripada situlah saya melihat sedikit sifat narsistik menyerap dalam politik. Semua kejayaan mahu dikaitkan dengan dirinya. Pujian dan penghargaan hanyalah untuk dirinya. Kejayaan pihak lain adalah kerana usaha dirinya juga. Tetap mahukan kredit. Tapi paling teruk, segala kegagalan dikaitkan dengan orang lain. Jika ekonomi merosot, salah kerajaan terdahulu. Kalau parti kalah, salah jentera. Jika kenyataan mengundang kontroversi, media dikatakan memutarbelitkan fakta. Kekalahan di dalam pilihan raya misalnya, rakyat dikatakan terpengaruh dengan fitnah lawan. Pendek kata, semua pihak dipersalahkan kecuali dirinya sendiri. Dia tidak pernah salah. Kalau rakyat menolak, rakyat pula dianggap tidak memahami. Kalau kalah, pasti ada konspirasi. Kalau gagal, pasti orang lain menjadi puncanya.
Inilah antara ciri budaya politik yang semakin narsistik. Semakin berpusat kepada diri sendiri sama ada diri ataupun parti. Seorang pemimpin politik atau ketua masyarakat harus tawaduk. Mengakui kelemahan diri memerlukan jiwa yang besar sedangkan menyalahkan orang lain itu petanda ego sendiri yang besar. Ego yang besar memang pantang mengaku salah kerana bagi mereka itu menghina diri sendiri.
Politik narsistik akan mencipta naratif bahawa pihaknya tetap betul tetapi telah menjadi mangsa keadaan. Dia cuba meyakinkan penyokongnya dengan naratif itu. Akhirnya dia sendiri turut mempercayai naratif yang dibinanya. Sedikit demi sedikit dia mula yakin bahawa apa sahaja yang dilakukannya sentiasa betul walaupun hakikat sebenarnya tidak begitu.
Politik narsistik menuntut ahli politik menjadi diva. Politiknya berubah menjadi industri membina jenama diri. Populariti akan mencipta peminat. Peminat akan memuja. Dikelilingi pemuja memang menyeronokkan. Pengkritik dianggap musuh walaupun yang mengkritik itu adalah kawan baik yang telah dikenali bertahun-tahun. Selalunya begitulah. Kawan setia yang ikhlas ditendang, yang menempek ketika pemimpin ada kuasa itulah yang dilayan. Bila dah jatuh barulah tahu siapa kawan, siapa musuh.
Bukan kita tidak pernah melihat ramai pemimpin hebat akhirnya jatuh bukan kerana musuh di luar, tetapi dari dalam. Ini kerana terlalu lama dikelilingi puji dan puja tanpa sedar kedudukannya makin lama makin tergugat.
Penyakit politik ini akhirnya merebak pula ke dalam masyarakat. Anak-anak muda yang memerhati mula melihat politik bukan lagi sebagai ruang untuk berkhidmat, sebaliknya jalan paling pantas untuk menjadi figura yang dikenali, dipuja dan disanjung. Yang dipelajari bukan lagi seni mentadbir negara, tetapi seni menjadi terkenal. Kepintaran tidak lagi diraikan. Kemahiran menjadi nombor dua. Yang penting glamor. Populariti mengatasi kompetensi. Integriti pula semakin dipinggirkan.
Inilah bahayanya budaya politik narsistik.
Semuanya tentang diri sendiri. Dia hanya mahu dipuji. Apabila berjaya dia mendabik dada, tetapi ghaib apabila gagal. Politik narsistik akan mengaku kejayaan orang lain pun adalah kerana dirinya, tetapi kesilapan dirinya sentiasa berpunca daripada orang lain. Dia tidak pernah salah.
Budaya politik narsistik perlu ditolak. Sebaliknya, politik seharusnya melahirkan negarawan, bukan selebriti politik. Seorang negarawan tidak takut dikritik sekiranya dasar yang dibuat olehnya tidak popular kerana dia yakin hasil kerjanya akan menjawab segala kritikan itu. Seorang negarawan juga tidak akan takut mengaku silap kerana dia tahu daripada kesilapanlah akan ada pelajaran menuju kesempurnaan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.