Pakar perlembagaan Aziz Bari berkata tindakan Ahmad Maslan di Dewan Rakyat melanggar prinsip tanggungjawab bersama Kabinet yang menjadi asas sistem pentadbiran negara.

Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi berkata permohonan maaf itu tidak memadai kerana tindakan Ahmad membabitkan pelanggaran prinsip tanggungjawab bersama Kabinet seperti diperuntukkan dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Ahli Parlimen Pontian itu bukan sahaja gagal menjalankan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran, malah bertindak seolah-olah wakil pembangkang apabila menggunakan pentas Parlimen untuk mengejek kerajaan dan berkempen bagi pihak pembangkang.
“Walaupun PMX (Anwar) menerima permohonan maaf daripada Ahmad Maslan, ini bukan kesalahan peribadi dengan PMX.
“Ini soal pelanggaran prinsip perlembagaan yang menjadi tunjang kepada sistem kerajaan berkabinet di bawah sistem Westminster,” katanya dalam kenyataan.
Aziz berkata, meskipun ada anggota pentadbiran lain daripada Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang didakwanya turut melanggar prinsip tanggungjawab bersama Kabinet, tindakan Ahmad dianggap lebih serius.
Katanya, Ahmad yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan sejak era Barisan Nasional (BN) sepatutnya memahami prinsip berkenaan serta implikasi jika melanggarnya.
Beliau turut menegaskan kedudukan perdana menteri dalam sistem Westminster hanyalah sebagai first among equals atau yang pertama dalam kalangan yang setara, dan bukan seperti seorang presiden dalam sistem berpresiden.
“Kemaafan oleh PMX tidak membersihkan kesalahan Ahmad Maslan,” katanya sambil mendakwa Ahmad juga tidak menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat.
Aziz turut berpandangan tindakan Ahmad mempunyai implikasi terhadap penghormatan kepada institusi beraja, memandangkan pembentukan kerajaan perpaduan dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, beliau menggesa Anwar bertegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil tindakan terhadap Ahmad.
“Ahmad Maslan wajar dikorbankan sebagai peringatan kepada Umno bahawa kerajaan perpaduan ditubuhkan atas titah Yang di-Pertuan Agong dan dibina berdasarkan peruntukan perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara,” katanya.
Ahmad pada Isnin mencetuskan kontroversi ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat apabila menyatakan janji menghapuskan tol dibuat Pakatan Harapan (PH), bukannya BN.
Ahmad kemudian menyampaikan pantun mengajak orang ramai menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) serta menggunakan ungkapan ‘kena kencing’ yang mencetuskan bantahan beberapa Ahli Parlimen PH.
Ahmad kemudiannya memohon maaf secara rasmi kepada Anwar menerusi surat bertarikh 17 Nov, selain memaklumkan beliau sudah menarik balik perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan.
Semalam, Anwar menerima permohonan maaf Ahmad, namun mengingatkan mana-mana anggota pentadbiran yang mengulangi tindakan tidak wajar dalam urusan rasmi kerajaan selepas ini patut meletakkan jawatan atau dinasihatkan berbuat demikian. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.