PONTIAN- Dalam kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina, empat keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah kayu sederet yang didiami terbakar di Lorong Ciku, Batu 36, Jalan Johor Bahru-Pontian di sini, semalam. Salah seorang mangsa, Low Siew Lian,57, berkata dia bersama anak dan menantu tiada di rumah ketika kebakaran berlaku kira-kira jam 9.00 malam itu, kerana beraya di rumah adiknya.
Jelasnya, sebaik sahaja tiba di rumah adiknya itu dia dikejutkan dengan panggilan telefon dari seorang lagi anaknya memberitahu rumah mereka telah musnah dijilat api.
“Saya bergegas balik ke rumah, api sudah marak tiada apa yang dapat diselamatkan,”katanya.
Dia yang sudah tinggal di rumah tersebut lebih 30 tahun memberitahu wang tunai RM10,000 hasil simpanan dan pemberian dari anak serta saudara mara sempena Tahun Baru Cina musnah dalam kebakaran itu.
Jelasnya, dia kini sehelai sepinggang selepas segala dokumen perkenanan diri, pakaian dan juga barang-barang kemas habis terbakar.
Sangka percikan mercun
Sementara itu, bagi seorang lagi mangsa kebakaran, Zainuddin Ahmad, 55 tidak menyangka bunyi bising yang didengar rupanya api yang sedang marak di sebelah rumah jirannya.
“Saya sangka bunyi bunga api dan mercun dari jira-jiran yang menyambut Tahun Baharu Cina, rupanya api sedang marak membakar rumah sebelah.
“Ketika itu saya sedang menonton televisyen, mujur anak saya sempat memberitahu tentang kebakaran itu.
“Selepas melihat api mula marak dari rumah sebelah saya pun menyuruh anak-anak saya keluar dan segera mencapai beberapa dokumen pengenalan diri,“ katanya.
Dia yang baru empat tahun menyewa rumah terbabit mempunyai 10 orang anak berusia dari 9 hingga 26 tahun termasuk dua orang anak angkat.
Katanya, sebelum kejadian dia sudah merasa tidak sedap hati dan membayangkan ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Saya tidak sangka perasaan tidak sedap hati sejak beberapa hari lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila rumah sewa rumah kami terbakar di depan mata.
“ Kami sekeluarga begitu sedih melihat rumah kami dijilat api dalam sekelip mata, malah wang tunai RM 1 ribu ringgit untuk perbelanjaan harian keluarga turut menjadi abu,” katanya.
Katanya, kebakaran itu juga telah memusnahkan salah satu punca sumber pendapatannya yang bergantung kepada upah menyewa set karaoke untuk majlis perkahwinan.
“Barang-barang set karaoke bernilai hampir RM20 ribu juga habis musnah tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Dia memberitahu buat sementara waktu dia sekeluarga akan menumpang di rumah saudaranya di Kayu Ara Pasong, sementara untuk mencari rumah sewa yang lain.
Seorang lagi jiran yang turut musnah di kenali sebagai Tan Yok Mee, 60 difahamkan tiada di rumah kerana sedang beraya di rumah anaknya di Johor Bahru.
Manakala sebuah lagi keluarga tidak dapat dikenal pasti identiti kerana difahamkan berada di rumah anaknya ketika kejadian.
Rumah pusaka musnah
Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II, Khairuddin Atan, berkata sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian api sudah marak memandangkan kebanyakan rumah di situ dibina dari kayu.
Jelasnya, pihkanya bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak di rumah berhampiran yang terletak dalam jarak beberapa meter sahaja.
“Kami menerima panggilan kira-kira jam 9.02 malam dan sampai di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.
“Sebanyak tiga jentera Bomba masing-masing dari Balai Bomba Pontian Baru, Balai Bomba Jalan Alsagoff dan Bomba Sukarela Benut dengan kekuatan 18 anggota bergegas ke tempat kejadian,”
katanya.
katanya.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan, punca serta kerugian masih dalam siasatan.
Manakala di Muar, seorang lelaki hilang tempat tinggal apabila rumah pusaka berusia lebih 50 tahun yang didiaminya di Kampung Parit Tengah dekat Parit Jawa, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Sabtu Hasnan, 40an, yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jirannya, Rosnan Buang, 51, berkata, kejadian itu disedarinya apabila dikejutkan dengan bunyi letupan berulang kali seperti mercun ketika tidur disusuli cahaya terang dari arah rumah jiran.
Menurutnya, tanpa berlengah dia melihat arah cahaya itu dan terkejut api sedang membakar rumah jirannya seterusnya segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
“Ketika itu separuh bahagian rumah sudah terbakar dengan keadaan api yang menjulang tinggi menyamai ketinggian pokok kelapa sawit 20 meter.
“Sekelip mata sahaja rumah itu hangus dan runtuh berikutan api marak terlalu cepat, manakala barangan berharga tidak dapat diselamatkan,” katanya, di sini.
Rosnan berkata, mujur insiden berkenaan disedari awal dan dengan kepantasan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter daripada tempat kejadian.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.