Datuk Seri Syed Ali AlHabsee mencadangkan agar Akta Hasutan 1948 yang dicadangkan untuk dimansuhkan kerajaan pada 2002 dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno bulan hadapan.
Ketua Umno Bahagian Cheras itu berkata akta berkenaan masih relevan terutamanya dalam memastikan semua pihak berhati-hati dalam melontarkan pandangan berkenaan isu perkauman dan agama.
“Kalau lebih banyak yang baik melalui akta seumpama ini maka kerajaan diharapkan berfikir semasak-masaknya sama ada untuk mansuh atau teruskannya.
“Sekarang ini saya melihat kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia sudah banyak disalahgunakan dalam laman sosial dan terbuka sehingga sampai peringkat mencabar perlembagaan negara, institusi istana dan keistimewaan Melayu,” katanya menerusi blog Umno bahagian itu.
Media semalam melaporkan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan menyifatkan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan tidak semestinya ditunaikan jika ia hanya akan menyebabkan keselamatan negara terancam.
Katanya, undang-undang berkenaan masih diperlukan dan majoriti rakyat Malaysia belum bersedia untuk dimansuhkan akta berkenaan.
“Janji tidak semestinya ditepati jika ia boleh memudaratkan keselamatan dan keamanan negara.
“Maka pelaksanaannya boleh ditangguhkan sehingga dirasakan pemikiran rakyat sudah ke arah itu,” katanya pada satu forum yang dilaporkan Sinar Harian.
Syed Ali berkata pihaknya menerima pelbagai respons dan reaksi orang ramai berkenaan ura-ura kerajaan mahu memansuhkan Akta Hasutan.
Katanya, Akta Hasutan perlu dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap pemansuhannya selain kerajaan disaran memikirkan kebaikan akta ini dalam memelihara perpaduan rakyat.
“Bagi saya, kebebasan bersuara dalam sebuah negara yang merdeka seperti Malaysia ada had dan batasnya.
“Kalau sudah sampai peringkat mengancam keselamatan awam, boleh mewujudkan ketegangan kaum dan pecah belah di kalangan rakyat maka wajar dicegah," katanya.
- TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.