`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 24, 2015

PAS Cawangan & Kawasan Ternanti-nanti Kemunculan Parti Baharu...


Ayah sokong parti baharu jika masih hidup, kata anak Fadzil Noor

Anak kepada bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil yakin jika bapanya Datuk Fadzil Mohd Noor masih hidup, beliau akan menyokong parti baharu yang sedang dalam proses pembentukan.

Faiz mengulas video Youtube yang disebarkan di laman sosial bagi menunjukkan Fadzil akan menentang penubuhan parti baharu sekiranya masih hidup.

"Anda mungkin tak setuju dengan saya, tapi saya percaya Ustaz Fadzil Noor (UFN) pasti menyokong parti baharu yang didokongi oleh pemimpin yang dilahirkannya yang banyak berjasa kepada karier perjuangannya,” tulis Faiz dalam laman Facebooknya hari ini.

"Parti baharu adalah meneruskan perjuangan UFN walau berlainan.”

Menurut Faiz, ayahnya satu-satunya pemimpin zaman 70-an yang menentang kemasukan PAS ke dalam Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahan perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya, Fadzil pada ketika itu beralih untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk menjadikan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kumpulan pendesak Islam yang kuat di negara ini.

"Dia kembali aktif bersama PAS setelah PAS ditendang keluar daripada BN dan sertai PRU 1978 sehingga sanggup dibuang kerja dari UTM. Jelas perjuangan UFN istiqamah menentang Umno-BN dan mahu tubuhkan kerajaan.

“Sebab itu UFN merencana pelbagai strategi politik termasuk menarik golongan profesional menyertai PAS, memadamkan fahaman ahli terhadap Amanat Hadi dan Tahaluf dengan Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif," katanya merujuk kerjasama PAS dengan parti politik lain sebelum ini.

Menurut Faiz, video yeng disebarkan mengenai Fadzil menyebut pemimpin yang gilakan jawatan sampai sanggup tubuh parti baru, menjelaskan keadaan ketika itu.

"Itu keadaan ketika itu. Tapi keadaan sekarang lain. Ahli dan rakyat yang nakkan parti baru kerana PAS sekarang sudah terpesong daripada peta perjuangan menentang Umno-BN.

“Dalam keadaan rakyat dahagakan sebuah pemerintahan baru yang bersih adil dan berkebajikan melibatkan penyertaan semua kaum, maka parti baru yang memperjuangkan semua prinsip Islam ini dan aspirasi rakyat adalah menjadi wajib," katanya.

Beliau yakin parti baharu yang bakal dipimpin G-18, kumpulan yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini, akan terus mendaulatkan Islam.

"Insya Allah parti baru ini akan terus menentang Umno-BN, mendaulatkan Islam dan akhirnya menyelamatkan ahli PAS yang masih keliru dengan halatuju politik PAS sekarang," katanya. – TMI


Hanipa: Senario politik dulu, kini berbeza

Sekalipun Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi amaran bahawa mereka yang meninggalkan perjuangan PAS akan 'tenggelam', namun pemimpin progresif yang kalah dalam pemilihan parti menegaskan mereka boleh kekal bertahan.

Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat Hanipa Maidin memberitahu Malaysiakini bahawa senario politik sekarang berbeza berbanding senario yang dinyatakan Hadi.

"Sekiranya kita cuba membandingkan keadaan sebelum ini, biasanya mereka yang meninggalkan PAS tak kemana. Tapi senario politik berbeza sekarang.

"Saya percaya terdapat ramai ahli PAS yang waras, mahu PAS untuk mengambil peranan utama dalam politik Malaysia dan bersama dengan Pakatan (Rakyat)," katanya, mempertahankan pembentukan kumpulan baru dalam parti itu, yang digelar G18.

Kumpulan G18 dibentuk oleh pemimpin yang disingkirkan dalam kepimpinan PAS dalam muktamar PAS sesi ini.

Salah seorang daripada mereka MP Khalid Samad yang berkongsi sentimen dengan Hanipa.

"Sebelum ini (serpihan PAS) Berjasa dan Hamim berkait rapat dengan Umno dan BN, sebab itu mengapa mereka berakhir dengan kegoyahan.

"Tetapi kami mahu lawan BN dan Umno, dan memperkukuhkan Pakatan, ini bukan hanya perjuangan semata-mata.

"Saya tidak fikir apa (Hadi) cakap ada kaitan dengan kami," katanya kepada Malaysiakini. 
-mk


ULASAN GB

Kegusaran golongan ulama terhadap kemunculan sebuah parti baharu begitu ketara. Bermacam-macam kenyataan dibuat untuk menggambarkan keresahan dan ketakutan mereka, kononnya parti baharu itu tidak tahan lama, kononnya parti baharu itu akan mengikuti jejak langkah BERJASA, HAMIM dan seangkatannya, kononnya ahli-ahli PAS akan tolak menyertai parti baharu, kononnya parti baharu akan tenggelam... dan bermacam-macam lagi.

Diputarkan video lama Ustadz Fadzil Noor kononnya Ustadz Fadzil Noor menyebut pemimpin yang gilakan jawatan sampai sanggup tubuh parti baru, sedangkan senario pada masa itu amat berlainan dan berbeza. Yang gila jawatan pada ketika ini bukan mereka yang nak tubuh parti baharu, tetapi yang gila jawatan dan gila kuasa pada masa ini ialah ulamak-ulamak yang sanggup menggunakan apa cara dan kaedah sekalipun termasuk memfitnah, mencaci, memaki, menggunakan cai untuk menang jawatan dan menyingkirkan golongan profesional di dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Dikatakan kononnya ahli PAS tidak akan memberi sambutan terhadap parti baharu. Sedangkan hakikatnya, ahli-ahli PAS peringkat akar umbi di seluruh negara sekarang ini begitu ternanti-nanti dan mendoakan kemunculan parti baharu dan jika hari ini diedarkan borang keahlian parti baharu itu, nescaya banyak cawangan-cawangan dan kawasan-kawasan PAS yang akan "bertukar" menjadi cangan-cawangan dan kawasan-kawasan parti baharu.

Sambutan ke atas G-18 di Muar beberapa hari lalu amat luarbiasa. Di himpunan "perjuangan baru bermula" itu, ahli-ahli PAS sendiri meminta-minta dan menjerit-jerit supaya parti baharu segera ditubuhkan. Ia diulangi di dalam satu forum di Seremban dimana akar umbi terus-terusan meminta supaya parti baharu menggantikan PAS segera ditubuhkan.

Kemenangan besar hampir 100% golongan ulama di dalam pemilihan PAS baru-baru ini sebenarnya bersamanya adalah "malapetaka" buat PAS sendiri mereka dari kumpulan profesional yang selama ini telah menjulang PAS ke aras yang ada kini telah disingkirkan seperti pembersihan etnik Rohingya.

Masyarakat Cina telah terang-terangan menyatakan tidak akan mengundi PAS lagi walaupun selama dua pilihanraya sebelum ini masyarakat Cina inilah yang telah banyak memberikan undinya kepada calon-calon PAS. Tanpa undi dari masyarakat Cina, PAS akan menjadi parti kampungan semula. PAS bakal kehilangan banyak kerusi di Parlimen dan DUN di dalam pilihanraya akan datang. Itu pasti.



Malah pertama kali berlaku di dalam sejarah, ahli-ahli PAS cawangan Telok Bachok Kelantan telah bertindak merobohkan markas dan membakar bendera-bendera PAS.


GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Haji Hadi sebagai Presiden dan Mustafa Ali sebelum ini sebagai Setiausaha Agung membiarkan fenomena buruk dan jahiliyah itu berlaku di dalam parti untuk memberi kemenangan kepada golongan ulama. Oleh itu kemenangan golongan ulama adalah dengan cara yang begitu keji dan hina, yang mana sudah pasti tiada keredhaan dan keberkatan dariNya.

Jika bukan Islam sudah tidak sokong PAS lagi, hendak diharap daripada siapa lagi yang menyokong PAS? Malah separuh dari akar umbi PAS pun sudah tidak akan menyokong PAS lagi. Mereka bersimpati dengan golongan profesional yang disingkirkan di dalam muktamar lalu sedangkan golongan profesional inilah yang telah mengangkat martabat PAS ke aras yang ada sekarang ini.

Dengan ketiadaan sokongan bukan Islam, ketiadaan separuh akar umbi PAS, kat siapa lagi PAS nak raih undi? Raih daripada UMNO... mungkin... tetapi mahukah UMNO memberi undi kepada mereka sedangkan dalam UMNO sendiri sudah ramai calon yang perlu mereka fikirkan?

Siapa yang mahu sokong PAS di bawah ulama yang suka maki hamun?

Sebagai seorang Islam, kita dilarang mengambil pemimpin yang tidak berakhlak Islam seperti memaki-hamun dan memfitnah walaupun ia seorang ulama. Akhlak sedemikian tidak selaras dengan hukum hudud yang diperjuangkan. Kelak kita akan ditanya oleh Allah swt mengapa kalian memilih pemimpin yang tidak mempunyai akhlak Islam? Nak jawab apa?


Sebenarnya ulama PAS inilah yang sedang menghantar PAS ke liang lahad.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.