`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, June 15, 2015

[TERKINI] Mazlan Aliman Letak Jawatan AJK PAS Pusat


Mazlan Aliman letak jawatan AJK Pusat PAS

Mazlan Aliman, satu-satunya calon pro-Pakatan Rakyat yang terpilih sebagai ahli Jawatankuasa PAS meletak jawatan tersebut serta merta hari ini.

Bagaimanapun beliau tetap akan bersama PAS sebagai anggota parti.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti itu, Mazlan berkata beliau meletakkan jawatan itu kerana mahu memberikan tumpuan kepada NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang diketuainya.

Beliau yang sebelum ini mempertimbangkan akan meletakkan jawatannya itu, mendapat sebanyak 593 undi dan berada ditangga ke 14 daripada 18 jawatan dalam pemilihan parti itu minggu lalu.

Menurutnya lagi, beliau turut terkesan dengan krisis yang dihadapi PAS pada ketika ini yang dianggapnya sangat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi.

Sebagai pemantau kepada kegiatan Felda, Mazlan turut sedih apabila ramai rakan seperjuangannya tewas dalam pemilihan yang menyaksikan kumpulan proulama menyapu bersih jawatan dalam kepimpinan parti. -mk


Mazlan Aliman umum lepaskan jawatan AJK PAS Pusat

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman hari ini membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Mazlan berkata, rakan-rakannya yang tidak terpilih dalam AJK PAS Pusat bukanlah satu-satunya sebab peletakan jawatannya tetapi untuk membuka lebih ruang dalam penglibatannya dalam Anak.

"Saya mengambil keputusan meletak jawatan serta merta bermula hari ini. Saya memohon maaf atas keputusan ini.

"Saya tetap bersama PAS walaupun ahli biasa. Saya tetap akan menegakkan kebenaran," katanya pada satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS hari ini.

Mazlan berkata sama ada golongan yang berjaya dalam pemilihan PAS atau mereka yang kecundang, kesemuanya merupakan rakan dalam meneruskan perjuangan.

Katanya, tidak adil melabelkan dirinya sebagai pemimpin PAS yang pro Pakatan Rakyat (PR) kerana beliau sudah bersama parti Islam itu sejak 30 tahun lalu.

"Kalau nak kata tak ada kena mengena langsung, mungkin tidak tepat, tetapi tentulah sepanjang persahabatan, ukhuwah dan kebersamaan saya bersama rakan-rakan yang kalah, ia sedikit sebanyak satu titik hitam dalam hidup saya.

"Apabila polemik ini tidak berkesudahan, ia memberi luka yang amat dalam kepada saya dan sekiranya sebarang dakwaan mengatakan pemilihan kali ini ditentukan melalui proses ‘cai’, tentu sekali ia sangat memilukan dan kita tak lagi berada atas landasan yang pemimpin dipilih melalui prestasi atau kerja mereka," katanya.

Ditanya sama ada akan meninggalkan PAS dan menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Mazlan berkata beliau tiada kaitan dengan NGO itu.

"Saya tidak ada kaitan dengan PasMa. Itu saya boleh katakan. Apa pun yang mereka nak buat, itu tiada kaitan dengan saya," katanya.

Mazlan berkata Anak kini tidak lagi diletakkan di bawah PAS selepas ia mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) empat bulan lalu.

Katanya, Anak akan meneruskan misinya membela peneroka Felda, dan dengan tidak lagi menganggotai AJK PAS Pusat, usaha berkenaan akan menjadi lebih mudah.

"Apabila dapat kelulusan (RoS), Anak lebih bebas kerana Anak dianggotai bukan sahaja ahli PAS, tetapi ahli Umno. Maknanya kita bebas," katanya.

Sebelum ini, Mazlan membuat kenyataan menyatakan beliau sedang menimbangkan sama ada kekal atau melepaskan jawatan itu, mengatakan pengumuman akan dibuat pada masa yang sesuai.

Katanya, sungguh pun komitmen terhadap Anak akan diteruskan, kemelut dalaman PAS memberi kesan mendalam terhadap dirinya. 
-TMI



SURAT PERLETAKAN JAWATAN AJK PAS PUSAT

15 Jun 2015 (Isnin)

Kepada:
YB DATO’ SERI TUAN GURU HJ.ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Tkt.4, Pejabat Agung PAS Pusat
318 A, Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur

YB Dato’ Seri Tuan Guru,
PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI AHLI JAWATANKUASA KERJA (AJK)

Perkara diatas adalah dirujuk.

Setelah mengambil masa dan pertimbangan, saya membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai AJK berkuatkuasa serta merta (hari ini).

Saya amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh para perwakilan dalam pemilihan di Muktamar PAS Kali ke 61 baru-baru ini. Namun saya memohon maaf diatas keputusan yang saya ambil walaupun ianya amat sukar dan menyedihkan.

Sudah sampai masanya saya mesti memberikan lebih tumpuan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang saya ketuai iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan beberapa NGO lain antaranya Badan Prihatin Orang Asal (BATIN), Pertubuhan Kebajikan Anak Penoreh Getah (PETAH) dan Pertubuhan Kampung Tradisi Dan Warisan Bangsa Malaysia (ANAK WARISAN) dimana saya adalah penasihat kepada NGO tersebut. Kesemua NGO ini telah mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Saya tetap bersama PAS walaupun sebagai ahli biasa dan akan terus memberikan sumbangan dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya ingin memanfaatkan masa dan ruang untuk mengambil inisiatif menggabungkan NGO-NGO bagi menangani isu-isu kritikal seperti FGV, GST, kos sara hidup rakyat dan lain-lain dengan mekanisma yang lebih berkesan.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru yang telah memberi kepercayaan, tunjuk ajar dan sokongan yang tidak berbelah bagi sepanjang saya menjadi AJK. Saya memohon maaf diatas segala kesalahan, kelemahan dan keterlanjuran dalam tempoh saya menjadi AJK.

Sekian.

Yang Benar;


...........................
Mazlan Aliman

s.k : Setiausaha Agung

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.