Pengundi kaum India dilihat lebih cenderung kepada BN, kata Budiman
SUNGAI BESAR: Seorang pegawai khas daripada masyarakat India akan dilantik sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar, 18 Jun ini.
Itu merupakan janji calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu, Budiman Mohd Zohdi dalam memastikan kepentingan kaum India yang merupakan golongan minoriti di kawasan itu tidak terabai.
“Sebenarnya (pelantikan pegawai khas) di sini (Parlimen Sungai Besar) belum pernah berlaku. Jadi (jika BN menang) akan ada seorang pegawai khas daripada kaum India walaupun tidak ramai pengundi India di Parlimen ini,” katanya.
Mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi India di Sungai Besar berjumlah 827, iaitu 461 pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang dan DUN Sekinchan (366 pengundi).
Budiman, 44, yang ditemui pemberita pada Program Keusahawanan Sahabat India Amanah Ikhtiar Malaysia di sini, yakin setelah kempen memasuki minggu terakhir, pengundi kaum India juga dilihat lebih cenderung kepada BN.
“Alhamdulillah, kempen masuk hari kesembilan hari ini sangat positif dengan sambutan dan sokongan pada BN daripada segenap lapisan masyarakat semakin meningkat hasil program dan pertemuan bersama masyarakat setempat,” katanya.
Anak jati Sungai Limau itu yang bekerja keras turun padang untuk menemui masyarakat dalam Parlimen Sungai Besar juga mengakui sudah menyantuni lebih 65 peratus daripada sasaran 3,000 pengundi untuk ditemui setiap hari.
“Daripada minggu lepas nampaknya ‘feel good factor’ itu meningkat. Kita bekerja sebagai satu pasukan dan kemudian ‘branding’ pun rakyat boleh terima secara perlahan-lahan,” katanya yang menyasarkan untuk menemui kesemua pengundi akan dicapai tidak lama lagi.
Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar dan kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
-BERNAMA


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.