`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 16, 2018

Duduk semeja di kedai kopi, resepi perpaduan

Soal berbeza etnik tidak sepatutnya menjadi isu selain perbezaan bangsa serta ‘warna kulit’ juga bukanlah penghalang.
“Kalau di kedai kopi, semua boleh duduk semeja. Tidak kiralah Bajau, Kadazandusun, Murut atau sesiapa sahaja, kami sudah biasa, tidak pilih bangsa (etnik).
“Jadi, mungkin itulah ‘resepi’ kami. Tidak hidup berpuak-puak, dengki-mendengki, tindas-menindas antara satu sama lain walaupun kami di sini pelbagai etnik,” demikian menurut Ebin Adim, 78, membuka bicara ketika ditemu bual.
Penulis berkesempatan menemui Ebin sewaktu mengikuti program anjuran Kraftangan Malaysia ke Kota Belud, Sabah baru-baru ini.
Tinggal berdua bersama isterinya, Alam Sadun, 74, di Kampung Siasai Kumpang yang terletak kira-kira 15 minit dari Kota Belud, warga emas dari suku kaum Bajau itu cukup berbesar hati menyambut kedatangan rombongan media dari Semenanjung ke kediamannya.
Rumah kampung 2 tingkat milik pengusaha kraf yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Ulung-Pandai Besi oleh Kraftangan Malaysia pada 2012 itu kelihatan begitu unik dengan memaparkan ciri tradisional Bajau Asli.
Terdapat ruang beranda yang luas, amat sesuai untuk bersantai dan digunakan antaranya untuk meraikan tetamu.
Elak jurang
Usai temuramah mengenai pembuatan parang Bajau yang diusahakan sejak usia 18 tahun di bengkel miliknya, kami dijemput naik ke rumah dan dijamu dengan mi goreng serta nescafe panas yang disediakan oleh anak saudara beliau yang tinggal berhampiran.
Sambil ‘makan-makan’ itulah saya mengambil kesempatan bertanya kepada Ebin mengenai Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada 31 Ogos nanti.
Mana tahu, ada yang istimewa dari sudut pandang pengusaha kraf yang lebih lama ‘makan garam’ itu.
“Orang Sabah, Sarawak dan Semenanjung tidak sepatutnya berpisah (jangan rasa ada jurang). Semua perlu bersatu dan bekerjasama sebab kita orang Malaysia, perlu sayang pada negara. Dulu-dulu kita susah sangat, tetapi sekarang Alhamdulillah semua baik, negara pun makin baik (maju), syukur.
“Saya sudah tua. Saya cuma harap kita semua lebih-lebih lagi anak muda terus hidup dalam keadaan aman damai antara satu sama lain. Janganlah sengaja dicetuskan huru-hara sebab keadaan itu akan hanya menjadikan rakyat susah. Sekarang sudah maju, sudah senang, jadi hargailah,” katanya.
Kata-kata beliau itu turut disokong isterinya, Alam.
Berharap agar ‘Negeri di Bawah Bayu’ itu tidak terkecuali daripada menikmati limpahan kemakmuran serta nikmat pembangunan seperti yang terdapat di Semenanjung.
Menurut Ebin berkata, perkara itu secara langsung dapat memupuk rasa cinta setiap peringkat masyarakat kepada negara kerana tidak berasa terpinggir di tanah air sendiri.
Warna-warni budaya
“Semangat’ yang sama dikongsi pengusaha kraf anyaman rotan Empin Galing, 58, yang saya temui di Kampung Gansurai, yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kota Belud.
Meletakkan rasa cinta kepada negara sebagai yang utama, beliau yang berasal dari suku kaum Kadazandusun berkata, soal berbeza etnik tidak sepatutnya menjadi isu selain perbezaan bangsa serta ‘warna kulit’ juga bukanlah penghalang.
Ia sebaliknya perlu dirai dan diterima sebagai kelebihan yang ada di negara ini, kata Empin yang juga ketua kampung berkenaan.
“Corak dan warna-warni budaya inilah yang menjadikan kita unik dan berbeza dengan negara lain. Saya suka mengingatkan ‘seburuk-buruk negara kita itulah tanah air sendiri dan sebaik-baik negara orang, tetapi ia bukan tempat tumpah darah kita’.
“Setiap orang perlu ada rasa cinta kepada negara tidak kiralah bagaimana cara mereka mahu menterjemah rasa cinta itu,” katanya.
Menyentuh mengenai harapan dalam melihat transisi Malaysia yang lebih baik untuk negeri itu khususnya di kampung berkenaan beliau berkata, “Kami di sini meletakkan harapan setinggi gunung agar akan ada perubahan lebih-lebih lagi dari aspek pembangunan infrastruktur seperti jalan raya berturap dan lampu jalan.
“Harap-harap kerajaan yang baharu ini akan dapat melakukan yang lebih baik agar semua peringkat rakyat termasuk kami yang tinggal di pedalaman dapat merasai nikmat pembangunan yang sewajarnya,” katanya.
Perubahan besar
Berkongsi pandangan, Profesor Politik dan Kerajaan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Jayum Anak Jawan berkata, proses integrasi kaum yang berlaku hari ini adalah manfaat daripada Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada 1971.
Bukan sahaja berjaya mencetuskan perubahan aspek sosial dan geografi masyarakat Sabah, Sarawak dan Semenanjung kerana berpeluang bekerjasama dalam pelbagai lapangan ia bahkan membantu memupuk sikap saling hormat-menghormati dan menghargai antara satu sama lain.
Tambah beliau, dengan persekitaran sosio-politik melalui pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini menanam impian untuk melihat tahap integrasi dan perpaduan terus subur.
“Dalam tempoh 100 hari pemerintahan, kerajaan sudah melakukan beberapa perubahan besar ke arah mewujudkan Malaysia Baharu dan ini dapat dilihat sebagai inisiatif yang lebih inklusif serta mempunyai nilai perkongsian. Contohnya, kaum Cina sekali lagi dilantik sebagai Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) selepas tempoh yang panjang. Bukan Melayu buat pertama kalinya dilantik sebagai Peguam Negara (Tommy Thomas,India-Kristian) dan Ketua Hakim Negara (Tan Sri Richard Malanjum, Kadazandusun-Kristian) . Ini sebenarnya adalah isyarat (perubahan) yang besar.
“Namun begitu, banyak lagi yang perlu dilakukan kerajaan dalam meneruskan usaha penyatuan kaum. Kejayaan mewujudkan Malaysia Baharu juga sebenarnya amat memerlukan elemen terangkum, perkongsian antara masyarakat yang rencam serta kerjasama antara pemimpin politik dan penjawat awam selaku pelaksana dasar kerajaan,” katanya sambil menambah kerajaan boleh mewujudkan pelbagai dasar dan inisiatif tetapi kejayaan ‘membaharukan Malaysia’ terutama di jabatan dan agensi kerajaan bergantung kepada kumpulan pelaksananya.
Berasal dari kaum Dayak Iban dari rumah panjang di Sungai Assan, Sibu, Sarawak, Jayum pada masa sama turut menyifatkan PRU14 sebagai pilihan raya paling bersejarah yang memberi gambaran langsung kepada banyak perkara termasuk penyatuan majoriti rakyat dalam memilih pemimpin negara.
Ujarnya, kemenangan besar parti pembangkang (kini kerajaan) serta proses peralihan kuasa yang berlaku dalam keadaan tenang dan lancar membuktikan kematangan rakyat Malaysia dalam berpolitik sekaligus menyantuni proses demokrasi.
Ia kemudian diteruskan dengan kelangsungan kerajaan ‘menyuntik’ harapan baru untuk membangunkan rakyat dan negara secara holistik seperti yang terkandung di dalam manifesto pada PRU14. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.