`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 3, 2018

Kepelbagaian agama menyatupadukan rakyat Malaysia



Elemen agama sememangnya memainkan peranan penting bagi membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Semua agama amat menitikberatkan toleransi, persaudaraan dan nilai moral yang tinggi dalam kehidupan seharian.
Malah, unsur kepelbagaian itu dinyatakan di dalam kitab suci Al-Quran melalui Surah Al-Hujraat Ayat 13 yang menyatakan penciptaan manusia dalam pelbagai bangsa dan suku bertujuan supaya mereka dapat saling mengenali antara satu sama lain.
Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan Profesor Datuk Dr. Siddiq Fadzil menjelaskan konsep yang diperkenalkan melalui ayat itu merupakan suatu elemen (lita’ arafu) iaitu saling mengenali lalu seterusnya membentuk perpaduan.
“Menurut perspektif Islam, kepelbagaian (bangsa dan agama) wujud dengan kehendak Tuhan untuk membina kesilangan bermula dengan saling mengenali, saling menghormati, saling bertukar manfaat, saling memperkaya dan saling bekerjasama,” katanya.
Amalan dialog
Semasa menyampaikan syarahan ‘Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpaduan Nasional’ pada Seminar Kebangsaan: Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpaduan Nasional baru-baru ini, beliau menyarankan platform dialog digunakan sepenuhnya sebagai landasan bagi memupuk perpaduan serta kefahaman lebih erat antara pelbagai kelompok masyarakat.
Sempena era Malaysia Baharu, katanya, rakyat perlu membuktikan perbezaan anutan agama bukanlah faktor yang menghalang kesatuan masyarakat sebaliknya, ia elemen yang mendorong penyatuan dan pembentukan kehidupan harmoni.
“Agama bukan pemecah tetapi kekuatan untuk mempersatu. Sejak sekian lama, tamadun besar dunia seperti Islam, Barat dan Timur bertemu dan berdialog di tanah air sehingga kita boleh berbangga negara kita kaya dengan dialog ketamadunan,” katanya.
Menurutnya siri dialog antara agama harus diteruskan ke tahap membina bangsa yang menjunjung tinggi elemen perpaduan berasaskan formula ‘kepelbagaian dalam satu bingkai kesatuan’.
Apabila warga masyarakat berbilang-bilang agama sanggup meraikan kepelbagaian dengan matang dan bijaksana, ia akan melahirkan kesatuan yang kompak dan membuahkan sebuah tamadun yang kaya.
“Sebuah pasukan yang baik adalah pasukan yang terdiri daripada anggota yang beragam dan pelbagai keahlian (kepakaran). Ini bererti kepelbagaian adalah satu bentuk kekuatan,”katanya.
Piagam Madinah
Dalam pada itu, katanya, konsep siyasiyyah dan Piagam Madinah boleh dijadikan acuan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat di Malaysia.
Kira-kira 1,400 tahun lepas di Kota Madinah, Nabi Muhammad S.A.W mempersatukan 2 umat iaitu ‘ummah islamiyyah’ (umat Islam) yang terdiri daripada kaum Mukmin dengan ‘ummah diniyyah’ (umat keagamaan) yang datang daripada golongan Yahudi.
Gabungan 2 umat itu membentuk ummah siyasiyyah (umat politik) sebagai komponen utama yang membentuk negara Madinah.
“Setiap kepelbagaian kaum, agama dan budaya harus terus diraikan dengan mengizinkan setiap bangsa kekal dengan jati diri masing-masing.
“Di Malaysia, kepebagaian umat dipersatukan dalam satu ikatan berteraskan identiti negara seperti Rukunegara, penggunaan bahasa kebangsaan, lagu rakyat, sistem demokrasi, raja berperlembagaan, dasar ekonomi dan lain-lain bentuk kesepakatan,” katanya.
Setiap agama perlu berusaha memanfaatkan kekuatan nilai agama masing-masing secara maksimum untuk mendokong dalam menegakkan integriti pembinaan bangsa.
Umat Islam sebagai peneraju
Sehubungan itu, Siddiq meminta umat Islam negara ini supaya terus memainkan peranan dalam menerajui usaha memperkasa perpaduan masyarakat kerana ia antara tanggungjawab yang dituntut agama.
Sebagai ‘khayra ummah’, umat Islam mempunyai peranan untuk memberi sumbangan khidmat yang memanfaat seluruh manusia.
Istilah ‘seluruh manusia’ tidak terhad kepada masyarakat Muslim sahaja tetapi meliputi masyarakat Muslim dan bukan Muslim.
Untuk itu, umat Islam haruslah memberi komitmen penuh bagi menegakkan nilai-nilai kemakrufan serta melawan nilai-nilai buruk dan mungkar. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.