`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 25, 2022

Bakal jemaah haji positif Covid-19 masih berpeluang ke Tanah Suci, kata pengarah eksekutif haji

 

Pengarah Eksekutif Haji, Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sebanyak 48 penerbangan jemaah haji tahun ini dengan penerbangan pertama akan bermula 4 Jun ini.

KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji yang positif Covid-19 masih berpeluang ke Tanah Suci sekiranya mereka sembuh sebelum tarikh jadual penerbangan terakhir.

Pengarah Eksekutif Haji, Syed Saleh Syed Abdul Rahman bagaimanapun berkata, mereka perlu mendapat kebenaran pelepasan daripada pegawai perubatan sebelum dibolehkan meneruskan penerbangan.

“Perlu faham kalau positif memang tak dapat meneruskan penerbangan kerana sampai di sana nanti kerajaan Arab Saudi tidak benarkan masuk. Kedua kita kena ikut SOP Kementerian Kesihatan (KKM) bila positif perlu kuarantin.

“Kalau mereka positif untuk kumpulan penerbangan terakhir, tiada lagi penerbangan, maka tidak boleh pergi.

“Kalau positif pada peringkat awal dan telah sembuh serta dibenarkan pegawai perubatan setelah didapati negatif (ujian Covid-19) dan jika ada kosong, mereka boleh pergi,” katanya semasa sidang media sempena operasi haji tahun 2022 di Menara TH Jalan Tun Razak.

Syed Saleh turut memaklumkan bahawa Tabung Haji juga menyediakan pegawai dan pakar perubatan khas dari KKM untuk merawat jemaah yang positif Covid-19 selepas tiba di Tanah Suci.

“Kita juga menyediakan prasarana kepada mereka yang positif Covid-19, antaranya pusat isolasi di bilik hotel dan wad khusus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Saleh turut memaklumkan terdapat sebanyak 48 penerbangan jemaah haji tahun ini dengan menggunakan dua syarikat penerbangan, iaitu Malaysia Airlines dan Saudi Arabia Airlines dengan penerbangan pertama akan bermula 4 Jun ini.

Katanya, bakal jemaah haji juga akan mula menerima surat jadual penerbangan mulai minggu depan secara berperingkat.

Beliau berkata, seramai 14,306 individu terpilih untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini dan mereka diwajibkan melakukan ujian saringan PCR Covid-19 sebelum melaporkan diri.

Dalam pada itu katanya, suhu di Tanah Suci kali ini agak tinggi, iaitu melebihi 50 darjah Celsius.

“Ia boleh mengakibatkan strok haba akibat dehidrasi. Setelah dua tahun tak dapat jalani ibadah haji, jemaah kena buat terbaik, persiapkan diri dengan ilmu, mental dan fizikal,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.