`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 17, 2022

Politik Melaka kembali tak stabil?

 

Ahad, 15 Mei 2022, Umno meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, kita tahu menyangkal dakwaan dalam kalangan pemimpin parti sendiri, pindaan itu adalah bagi menyelamatkan kedudukannya sebagai presiden Umno. Lantas mengingatkan semua bahawa pindaan berkenaan adalah kemahuan akar umbi.

Lalu, beliau berkata, Umno utamakan soal keharmonian, kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan – agenda yang menurutnya “tidak pernah luput daripada kamus perjuangan Umno”.

Sebut sahaja “kestabilan”, teringat saya kepada pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu. Anda juga tentu ingat akan ketidakstabilan politik apabila empat ADUN Umno/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali (orang Umno).

Apa yang dijanjikan pemimpin tertinggi Umno, termasuk Zahid ketika itu? Mengembalikan kestabilan politik di Melaka. Betul tak? Bagaimana? Presiden parti mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRN “bagi membolehkan mandat diberi semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang terbaik untuk mentadbir negeri”.

Jelas rakyat mahu kestabilan politik. Lantas, apabila PRN Melaka diadakan pada 20 Nov 2021, rakyat negeri itu memberi kemenangan majoriti 2/3 kepada BN yang diterajui Umno. Dalam erti kata lain, rakyat Melaka percaya Umno boleh mengembalikan kestabilan politik di negeri mereka. Rakyat percaya janji pemimpin Umno, maka mereka mengundi Umno.

Adakah politik Melaka stabil dengan kemenangan itu? Mungkin ya. Stabil, aman damai buat seketika. Saya kata “mungkin buat seketika” kerana sekarang kita dengar cakap-cakap politik atau dakwaan Sulaiman akan letak jawatan ketua menteri atau dipaksa menandatangani surat meletak jawatan. Maksudnya, jika ada kestabilan politik sebelum ini, ia sudah tidak ada lagi. Dah kembali tak stabil.

Dakwaan “Sulaiman dipaksa atau terpaksa” bagaimanapun dinafikan Sulaiman dan sekutunya. Namun, ia tidak meredakan keadaan. Cakap-cakap Sulaiman akan digantikan masih bertebaran.

Timbul maklumat (yang bukan perkara baharu sebenarnya) bahawa Sulaiman bukan ketua Umno negeri. Malah, bukan ketua Umno bahagian pun. Jika ikut “tradisi”, kedua-dua ciri itu “wajib” untuk seseorang ketua menteri. Dalam pentadbiran Umno/BN sebelum ini, orang yang menjadi ketua menteri adalah ketua Umno negeri.

Sekarang, ketua menteri orang lain, ketua Umno negeri orang lain (macam perdana menteri orang lain, presiden Umno orang lain). Sekarang, penyokong Sulaiman dalam Umno mula bercakap untuk menjadikan beliau sekurang-kurangnya ketua bahagian terlebih dahulu, diikuti pelantikan sebagai ketua Umno Melaka.

Bagaimana ini mahu dilakukan? Yang boleh melakukannya ialah pucuk pimpinan paling atas parti, yakni presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Adakah mereka akan akur? Jika ya, ketua Umno negeri sedia ada hendak ditempatkan di mana? Tidakkah ini akan mencetuskan krisis dalaman? Bukankah itu bererti ketidakstabilan politik untuk Melaka? Semua persoalan penting lagi kritikal.

Bagi saya, status Sulaiman bukan ketua Umno Melaka, bukan ketua Umno bahagian, bukan sesuatu yang baharu. Semua pihak dalam Umno, terutama MKT tahu keadaannya. Namun, MKT lah yang bersetuju beliau dipilih ke jawatan ketua menteri.

Perlu diingat, dua kali beliau angkat sumpah sebagai ketua menteri. Pada November 2021, apabila BN/Umno menang PRN dan sebelum itu pada Mac 2020 apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang. Beliau dipilih menggantikan Adly Zahari.

Maksudnya, bukan sesuatu yang mengejutkan pimpinan Umno berkait status Sulaiman. Seperti dikatakan tadi, mereka pilih beliau juga. Sulaiman tidak boleh dipersalahkan. Begitu juga pihak yang mengetengahkan status beliau dan menyuarakan rasa tidak puas hati.

Secara “kasar”, pucuk pimpinan Umno dilihat “mengizinkan” keadaan ini berterusan. Mereka tidak membuat apa-apa. Lantas, berlakulah apa yang berlaku.

Dengan “kegagalan” mengurus baik isu ini, Umno boleh dituduh membiarkan kestabilan politik tercetus semula di Melaka, jika dakwaan Sulaiman akan “digantikan” terbukti benar. Dan bolehkah Umno dituduh mengingkari janji kepada rakyat Melaka bahawa mereka akan mewujudkan kestabilan politik?

Adakah Umno telah lupa janji mereka? Janji yang telah memenangkan mereka pada PRN Melaka tahun lalu dengan bergaya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.