`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 6, 2024

TH jamin 31,600 jemaah haji berpeluang ziarah Raudah

 

Mengikut rekod Tabung Haji daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji tahun ini, 36% berusia 60 tahun ke atas manakala bakinya 60 tahun ke bawah. (Gambar AP)

MADINAH: Tabung Haji (TH) memberi jaminan akan memastikan semua 31,600 jemaah haji bagi musim 1445H/2024 akan mendapat peluang melakukan ziarah Raudah iaitu satu daripada pengisian ketika mereka berada di sini selama enam hari lima malam.

Naib konsul haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin, berkata permohonan untuk aktiviti itu akan dilakukan oleh pihak TH sendiri menerusi aplikasi Nusuk mengikut kumpulan KT atau kumpulan penerbangan dan disusun mengikut tarikh ketibaan.

“Insya-Allah, Tabung Haji akan membuat permohonan secara rasmi menerusi aplikasi nusuk untuk kesemua 31,600 jemaah haji melakukan ziarah Raudah. Bagaimanapun kelulusan bergantung kepada pihak pengurusan Masjid Nabawi.

“Jadual ziarah akan diberikan oleh pihak zon iaitu tempat jemaah haji menginap bagi membuat aturan pergerakan kerana kita mengetahui bahawa pergerakan jemaah haji untuk memasuki raudah ini adalah dikawal dan disusun oleh pihak pengurusan Masjid Nabawi,” katanya dalam sidang media di pejabat operasi TH.

Ashrof berkata, terdapat perbezaan pergerakan antara jemaah haji wanita dan lelaki selain perbezaan masa untuk melakukan ziarah.

Kataya, kumpulan jemaah haji akan dipimpin pembimbing ibadah haji Tanah Suci TH yang akan membawa jemaah ke kawasan Raudah dan permit kemasukan itu akan diberikan kepada penjaga pintu masuk Raudah untuk membolehkan mereka beribadat dalam tempoh tertentu.

Sementara itu, untuk jemaah haji yang berusia, TH akan mengenal pasti keupayaan kesihatan mereka dan waris sebelum menawarkan bantuan pergerakan untuk mengunjungi Raudah.

“Jika tidak ada waris, petugas akan membantu pergerakan jemaah yang berusia ini dari tempat penginapan ke Masjid Nabawi atau sekiranya tidak boleh berjalan tetapi sihat untuk bergerak ke Masjid Nabawi, TH juga ada menyediakan bantuan kerusi roda untuk membawa jemaah ini ke Raudah,” katanya.

Mengikut rekod TH, daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji tahun ini, 36% berusia 60 tahun ke atas, manakala bakinya 60 tahun ke bawah.

Aktiviti ziarah Raudah merupakan sebahagian daripada pengisian program ziarah dalam yang diatur oleh pihak TH untuk semua jemaah haji sepanjang enam hari lima malam di Madinah selain ziarah luar.

Mengulas kepentingan melakukan aktiviti ziarah sepanjang berada di Madinah, Ashrof berkata TH mengharapkan jemaah mendapat pelbagai kebaikan dan iktibar daripada kisah sejarah di tempat dilawati.

Antara tempat ziarah luar yang diatur untuk jemaah haji termasuk masjid pertama yang dibina Rasulullah, Masjid Quba dan Masjid Qiblatain iaitu masjid yang mempunyai dua arah kiblat.

Masjid berkenaan yang mulanya dikenali Masjid Bani Salamah, mempunyai arah kiblat menghadap Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis sebelum turun wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhamad untuk menukar arah kiblat ke Masjidil Haram semasa baginda sedang solat Zuhur di masjid itu.

Selain itu, jemaah haji juga akan dibawa ziarah secara kumpulan dengan menaiki bas ke Masjid Tujuh, Bukit Uhud serta ke ladang kurma. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.