
Sehubungan itu, mereka memberitahu FMT setakat ini tidak timbul keperluan bagi PAS menyediakan calon jawatan berkenaan dengan membenarkan pertandingan jawatan tertinggi sekurang-kurangnya timbalan presiden.
Kali terakhir jawatan itu dipertandingkan pada 10 tahun lalu menyaksikan penyandang sekarang Tuan Ibrahim Tuan Man merampas kerusi berkenaan daripada Mohamad Sabu yang kini mengetuai Amanah.
Timbalan Ketua Pilihan Raya DUN Kuang, Fauzan Madzlan, mendakwa PAS tidak mempunyai masalah melantik sesiapa dalam kalangan pemimpinnya untuk menjadi ‘poster boy’ PN yang pada PRU15 menyaksikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ditampilkan untuk menarik pengundi.

“Bagi saya dalam PAS tiada masalah lantik sesiapa pun jadi perdana menteri, malah PAS bersedia melantik naib presiden atau AJK pusat yang lain untuk ke jawatan itu,” katanya yang berpendapat Tuan Ibrahim perlu dikekalkan di kerusi nombor dua parti.
Semalam, FMT melaporkan penganalisis Syaza Shukri berpendapat ada keperluan bagi PAS mempertandingkan kerusi timbalan presiden untuk menyediakan pelapis pimpinan atau calon perdana menteri menjelang PRU16.
Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar antara disebut-sebut berpotensi mengisi kedudukan itu jika ada pertandingan dan seterusnya diangkat calon perdana menteri daripada PAS.
Bulan lalu, sebuah media menyiarkan komen penganalisis yang Hadi Awang mungkin tidak lagi sesuai mengetuai PAS, termasuk berdepan cabaran besar terutama menghadapi PRU16 kerana keadaan kesihatan Ahli Parlimen Marang itu.

Namun, ramai menjangkakan kedudukan Hadi sebagai presiden PAS sejak 2002 tidak akan dicabar pada pemilihan dijadualkan tahun ini.
Yang Dipertua PAS Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, turut mengakui partinya mempunyai calon berkaliber dan berkemampuan untuk dinamakan sebagai perdana menteri mewakili PN.
“Pasti (calon PM) diterima rakyat apabila tiba masanya,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.