`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, April 19, 2025

Insentif CEMI, Garis Panduan Puspal 6.0 bantu perkukuh industri hiburan

Pengerusi Music Malaysia Freddie Fernandez berkata inisiatif diperkenalkan kerajaan itu dijangka memanfaatkan pelbagai pihak dalam industri seni.

Concert konsert
Semalam, Fahmi Fadzil mengumumkan inisiatif baharu dinamakan Concert and Event in Malaysia Incentives termasuk menambah baik GPP 6.0 bagi memperkukuh pengurusan acara. (Gambar Fail)

PETALING JAYA
Pengumuman Kementerian Komunikasi berhubung inisiatif baharu Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) dan Garis Panduan Puspal (GPP) versi baharu (GPP 6.0) dilihat sebagai langkah strategik ke arah memperkukuh keseluruhan ekosistem industri hiburan negara.

Pengerusi Music Malaysia, Freddie Fernandez, berkata peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta di bawah program CEMI akan menjadi dorongan besar kepada penganjuran konsert dan acara berskala besar.

Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat meningkatkan imej Malaysia sebagai hab hiburan serantau, malah turut merangsang sektor pelancongan melalui peningkatan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

Freddie Fernandez
Freddie Fernandez.

“Untuk makluman, Music Malaysia dianggotai oleh 15 persatuan utama dalam industri muzik negara, merangkumi penganjur konsert, syarikat rakaman, persatuan artis serta pertubuhan seni kreatif — termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Inisiatif ini dijangka memberikan manfaat langsung kepada pelbagai pihak dalam industri,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, langkah itu juga akan memberi lebih banyak peluang kepada artis dan pemuzik tempatan untuk membuat persembahan dan mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Kakitangan teknikal seperti juruteknik bunyi, kru pencahayaan dan produksi dijangka mendapat lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan inisiatif baharu dinamakan CEMI, sebuah insentif berbentuk rebat kewangan untuk menyokong penganjuran konsert dan acara berskala besar di Malaysia.

Menurutnya, sebanyak RM10 juta diperuntukkan setahun dan pelaksanaannya akan berkuat kuasa bermula pada 15 Mei ini.

Fahmi berkata kementerian juga akan menambahbaik GPP 6.0 bagi memperkukuh pengurusan acara termasuk memastikan proses permohonan lebih mesra industri, telus, dan efisien.

Mengulas lanjut, Fernandez berkata pengenalan GPP 6.0 berkuatkuasa 1 Mei ini juga dijangka mempercepatkan proses permohonan kelulusan acara, sekali gus amat membantu persembahan berskala kecil dan acara promosi.

Katanya, tempoh pemprosesan yang dipendekkan daripada 14 hari kepada hanya tujuh hari akan memudahkan urusan penganjur serta memastikan kelancaran acara.

“Kami turut menyokong penekanan terhadap aspek pengurusan insiden seperti yang terkandung dalam GPP 6.0, termasuk pelaksanaan ‘kill switch’ yang membolehkan sesuatu persembahan dihentikan serta-merta apabila perlu.

“Ia adalah langkah penting bagi menjamin keselamatan dan kelancaran setiap acara. Ia adalah tindakan yang tepat susulan beberapa insiden tidak diingini sebelum ini.

“Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, kita yakin industri hiburan negara akan terus berkembang pesat, seterusnya memberi impak positif kepada ekonomi negara dan meningkatkan imej Malaysia di persada dunia,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.