`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, April 16, 2025

Elak guru terbeban, KPM disaran sedia garis panduan jamuan raya di sekolah

 

jamuan raya sekolah
Ahli akademik dari UKM Anuar Ahmad berkata kejelasan dasar dan panduan rasmi KPM amat penting supaya setiap sekolah dapat merancang sambutan raya dengan seimbang tanpa membebankan guru sehingga hilang fokus mengajar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menyediakan garis panduan khusus berhubung penganjuran jamuan atau sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah agar tidak membebankan guru serta mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Anuar Ahmad, berkata walaupun sambutan Aidilfitri di sekolah mampu memupuk semangat perpaduan, pelaksanaannya perlu berpada-pada.

“Seorang guru berkongsi rasa tentang beban kerja bukan berkaitan pengajaran yang perlu ditanggung, termasuk penyediaan sambutan raya secara besar-besaran.

“Saya berpandangan, walaupun sambutan sebegini memberi nilai murni, jangan sampai mengganggu waktu pembelajaran dan tumpuan guru untuk mengajar,” katanya di Facebook.

Antara luahan yang dimuat naik adalah: “Assalamualaikum boleh tak kongsi sikit pasal jamuan raya sekolah tolong la KPM beri garis panduan. Guru besar nak buat kenduri raya besar-besaran sampai nak suruh cikgu-cikgu merewang. Nak buat majlis makan malam jemput ibu bapa bagai. Tolong la ni dah jauh sangat, kami guru penat la camni.”

Menurut Anuar, kejelasan dasar dan panduan rasmi KPM amat penting supaya setiap sekolah dapat merancang aktiviti sambutan dengan seimbang, tanpa menjejaskan tugasan utama guru dan pencapaian murid di dalam kelas.

Beliau berkata, segala aktiviti di sekolah wajar menitikberatkan keutamaan kepada pembelajaran, selain memastikan guru tidak dipaksa mengurus hal di luar skop secara berlebihan yang akhirnya boleh menjejaskan motivasi dan prestasi kerja mereka.

“Kita tidak mahu guru terbeban dengan urusan jamuan hingga hilang fokus kepada tugas utama mereka iaitu mendidik.

“Elok juga jika ada garis panduan yang jelas daripada pihak kementerian untuk pastikan keseimbangan antara sambutan perayaan dan tanggungjawab akademik.”

Isu beban tugas guru berkaitan aktiviti luar bilik darjah seperti jamuan dan sambutan perayaan sering menjadi perbincangan dalam kalangan warga pendidik, terutama apabila ia melibatkan kos, masa dan tenaga kerja ramai tanpa sokongan mencukupi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.