
Sejak 1986 atau hampir empat dekad lamanya, pengundi DUN Ayer Kuning hanya mengiktiraf calon Barisan Nasional (BN) selaku wakil mereka. Selepas Azman Mahalan (1986-2004) dan Samsudin Abu Hassan (2004-2022), ‘legasi’ itu diteruskan oleh Ishsam Shahruddin sehingga beliau meninggal dunia pada usia 58 tahun 22 Feb lalu.
Lantas, ia akan memerlukan suatu keajaiban untuk dominasi BN berakhir pada PRK Ayer Kuning 26 April ini atau meminjam istilah pihak lawan, ia perlu tertulis sebagai suratan takdir.
Pengundi yang sudah terbiasa dengan rekod perkhidmatan baik BN di kawasan mereka selama ini akan mendapati sukar untuk mengubah pilihan melainkan mereka mempunyai sebab-sebab teramat kuat untuk mendorong pertukaran – sama ada akan dinikmati atau dideritai mereka untuk lebih sedikit daripada dua tahun berikut ini sehingga PRU16.
Dalam mengajak pemilih di Ayer Kuning melakukan perubahan itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor ketika melancarkan jentera pilihan raya PN bagi PRK itu 15 Mac lalu menyeru mereka agar menjadi ‘Si Pitung’ dengan bangkit mengalahkan kerajaan Madani yang didakwanya kerap berbohong dan tidak melaksanakan pelbagai janji pembaharuan demi kemaslahatan rakyat.
Jelas menteri besar Kedah itu terkeliru fakta sejarah kerana pembunuh residen pertama British JWW Birch di Pasir Salak pada 1875 sebenarnya adalah orang suruhan Datuk Maharaja Lela yang digelar Siputum sedangkan Si Pitung adalah seorang pejuang bangsa Indonesia yang menentang Belanda pada abad ke-19.
Mungkin bukan fakta itu saja yang Sanusi terkeliru kerana beranggapan PRK Ayer Kuning sebagai satu lagi kesempatan buat pemilih menyatakan kemarahan dan hilang kepercayaan kepada kerajaan gara-gara kesusahan ditanggung rakyat dengan peningkatan kos sara hidup – suatu ‘referendum’ yang tidak menjadi dalam PRK Nenggiri (17 Ogos) dan Mahkota (28 Sept).
“Kemenangan PN akan menunjukkan rasa tidak puas hati yang kuat terhadap pentadbiran ketika ini,” kata Presiden Gerakan Dominic Lau merujuk kepada tugas partinya untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu – Cina (21.99%), India (14.3%) dan kumpulan lain (8.07%) – di samping pengundi Melayu yang membentuk majoriti (55.64%) daripada 31,897 pengundi berdaftar.
Seperkara lagi yang tidak memihak mereka ialah gabungan undi milik calon BN Ishsam (9,088) dan Mohd Nazri Hashim dari Pakatan Harapan (6,875) pada PRU15 jauh mengatasi undi calon PAS Noor Farid Zainal (6,812) sewaktu berlaku perebutan lima penjuru yang dimenangi Ishsam dengan majoriti 2,213. Pendek kata jika tidak berlaku peralihan undi yang besar, BN boleh meraih lebih 15,000 undi kali ini.
Pada Isnin, BN mengumumkan Setiausaha Umno Tapah Mohamad Yusri Bakir, 54, sebagai calonnya. Memiliki latar belakang agama dan berkelulusan doktor falsafah (PhD) dengan jawatan terakhirnya sebagai ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh, beliau turut aktif sebagai pengerusi Pertubuhan Pendidikan Kanak-kanak Tapah.
Diputuskan selepas saringan ketat daripada enam nama yang disenarai pendekkan, Pengerusi BN Zahid Hamidi percaya Yusri tampil sebagai satu pakej yang boleh diyakini pemilih untuk mereka mendapat perkhidmatan terbaik.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Selasa mengumumkan Timbalan Setiausaha Agungnya Bawani KS sebagai calon. Peguam hak asasi manusia itu yang juga pengerusi PSM Perak turut bertanding di DUN Ayer Kuning pada PRU 2022 mewakili parti berkenaan dengan meraih 586 undi.
PAS pula menamakan Pengerusi PN Tapah yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Addin Air Kuning, Abdul Muhaimin Malek, 43, sebagai calonnya seperti diumumkan Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man di Dataran Awam Tapah Road malam tadi.
Di sebalik diyakinkan Tuan Ibrahim bahawa calon berkenaan datangnya daripada senarai nama cadangan PAS kawasan hasil tinjauan pendapat penduduk, kemudian dibawa ke peringkat negeri, seterusnya ke Jawatankuasa PAS Pusat, disaring Majlis Syura sebelum dikembalikan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk pemilihan akhir, kesudahannya ia tidak banyak berbeza dengan calon PN ketika PRK Nenggiri dan Mahkota tanpa faktor ‘wow’ yang menyaksikan kedua-duanya, Mohd Rizwadi Ismail dan Haizan Jaafar, kalah.
Terlebih dahulu pada siang semalam, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah melaungkan keyakinan bahawa partinya mampu menewaskan calon BN meskipun berdepan individu berkelulusan tinggi berlatar belakangkan pendidikan agama.
“Kita percaya calon kita boleh menangi calon BN. Dalam pemilihan calon, PAS tetap mengambil kira latar belakang agama sebagai asas utama tapi ada tempat yang rakyat lebih lihat kepada siapa boleh berkhidmat, bukan kelulusan semata-mata,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pengkalan Chepa.
Memberi contoh kemenangan calon PN Abidin Ismail dengan majoriti 4,267 undi dalam PRK Sungai Bakap pada 6 Julai walaupun berdepan calon BN Joohari Ariffin bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang berkelulusan PhD, Amar seakan-akan percaya perkara itu boleh berulang.
“Calon kami di sana kurang dari segi kelulusan tapi rakyat nampak beliau boleh dipercayai untuk bawa suara mereka,” katanya.
Tidak salah untuk Amar membuat perbandingan sedemikian tapi keadaannya mungkin tidak sama, apatah lagi ‘Abang Bidin’ ketika itu mendapat banyak simpati selepas jenuh dipersendakan lawan dalam ceramahnya sebagai berkelulusan sijil piawaian ISO 14001 – satu standard daripada produk dan teknologi perkilangan kepada keselamatan makanan, pertanian dan penjagaan kesihatan.
Lagipun, DUN Sungai Bakap adalah kerusi yang dipertahankan PN selepas calonnya Nor Zamri Latiff menang dengan majoriti 1,563 undi ke atas calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Ros pada PRN 2023.
Andai direnungkan kembali, pengumuman Tuan Ibrahim bahawa Abidin memiliki sijil ISO ketika memperkenalkannya sebagai calon pada 15 Jun mungkin bukan satu kesilapan tidak disengajakan, sebaliknya satu strategi kerana lawan kemudian mengeksploitasinya ke tahap maksimum untuk merendah-rendahkan kemampuannya hingga beliau lebih dikasihani pengundi.
Lebih daripada itu, kemenangannya pada PRK itu sekadar meneruskan ‘gelombang hijau’ daripada PRN pada 12 Ogos 2023 dengan PRK pada 6 Julai 2024 yang berjarak kurang setahun.
PRK Ayer Kuning bagaimanapun tidak menyajikan situasi serupa, sebaliknya akan banyak bergantung kepada kekuatan jentera PN dan PAS untuk menembusi kubu kebal BN dengan jangkaan pelbagai strategi serangan akan digunakan untuk mengubah minda pemilih agar memihak pembangkang kali ini.
Andai undi Melayu boleh diandaikan memberi kelebihan kepada BN berdasarkan gabungan sokongan kepada BN dan PH pada PRU15, maka undi Cina dan India akan menjadi penentu – itu pun sukar menjangkakan mereka akan berubah haluan kepada pembangkang yang modalnya hanya memburuk-burukkan kerajaan daripada menawarkan pelan konkrit sebagai alternatif.
Sambil Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menyatakan mahu rentak kemenangan dalam PRK Nenggiri dan Mahkota diteruskan di Ayer Kuning, Zahid pula menekankan PRK kelima untuk BN ini sangat-sangat penting untuk dimenanginya sebagai penentu kejayaan kerajaan perpaduan.
Untuk itu jentera pilihan raya BN/PH boleh dijangka akan digerakkan habis-habisan dengan sebarang serangan atau isu ditimbulkan lawan akan menerima serangan balas sama hebatnya.
Sanusi nampaknya perlu mengerah lebih tenaga untuk lebih ramai Siputum atau Si Pitung (pada kefahamannya) dapat digemblengkan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.