`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Monday, April 21, 2025

KBS perkenal 5 SOP penganjuran konsert EDM

 KBS perkenal SOP baharu dalam membanteras penyalahgunaan dadah selain memastikan aktiviti hiburan selamat.

hannah yeoh
Menteri Hannah Yeoh berkata penambahbaikan SOP tindakan baharu yang disyaratkan kepada penganjur konsert EDM, terutama melibatkan fasiliti milik KBS. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perkenal lima tatacara operasi standard (SOP) baharu untuk penganjuran konsert, khususnya bagi muzik tari elektronik (EDM).

Menteri Hannah Yeoh berkata tindakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) itu langkah proaktif dalam membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, selain memastikan aktiviti hiburan berlangsung dalam persekitaran selamat.

SOP berkenaan adalah mewujudkan ‘Hydration Point’ bagi mengatasi dehidrasi, menyediakan pasukan perubatan untuk kes kecemasan, serta treler mesej sama ada poster atau video mengenai bahaya dadah dan tindakan yang perlu dilakukan oleh orang terdekat semasa kecemasan.

Selain itu, hospital berdekatan perlu siap siaga untuk mengendalikan mangsa sekiranya berlaku insiden semasa konsert, dan penempatan unit anjing pengesan bagi kawalan keselamatan.

“Penambahbaikan SOP penganjuran konsert ini merupakan tindakan baharu yang disyaratkan kepada penganjur konsert EDM terutama melibatkan fasiliti milik KBS seperti Perbadanan Stadium Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang,” katanya kepada pemberita pada sidang media Kempen Belia Bebas Dadah di Stadium Bukit Jalil.

Menerusi penambahbaikan SOP berkenaan, Litar Antarabangsa Sepang dan Perbadanan Stadium Malaysia akan berkongsi jadual konsert bulanan dengan polis, KKM, dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Beliau turut menggalakkan semua penganjur konsert dan acara di fasiliti bukan milik KBS mengguna pakai SOP berkenaan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan belia dan pengunjung.

Sebagai langkah bersepadu, Majlis AIDS Malaysia akan mewujudkan ‘Safe Space’ sebagai tempat rujukan maklumat mengenai bahaya dadah dan bahan terlarang untuk pengunjung.

Terdahulu, beliau melancarkan infografik mengenai kesedaran penyalahgunaan dadah dan poster kempen belia bebas dadah yang akan ditayangkan semasa konsert berlangsung. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.