
Kata mendiang Lee Kuan Yew: “Whoever governs Singapore must have that iron in him.” Betul peringatan itu. Sebenarnya untuk memimpin mana-mana negara pun pemimpin mesti ada keberanian dan ketegasan.
Abdullah Ahmad Badawi juga punya keberanian dan ketegasan. Punya ‘iron in him’ meskipun bersikap lemah lembut. Tetapi ramai yang hanya melihat kelembutan lantas melempar pelbagai tohmahan.
Abdullah berani berdepan ketika cabaran yang dihadapi amat sengit. Lihat sahaja turun naiknya dalam politik. Abdullah bangkit semula daripada kegelapan dan kemurungan, ketika orang yang dianggap kawan menjauhkan diri.
Imbau pemilihan Umno 1987. Abdullah bersama Team B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, menentang Team A yang dipimpin Mahathir Mohamad. Apabila Team A menang, Abdullah dipecat daripada jawatan menteri pertahanan oleh Mahathir, perdana menteri waktu itu. Pada hal Abdullah menang jawatan naib presiden walaupun pasukannya kalah. Keperitan tidak menghalang perjuangan.
Pada pemilihan Umno 1993 Abdullah tewas jawatan naib presiden tetapi terus setia kepada parti. Menempuh pelbagai ranjau dan duri beliau akhirnya mencapai tampuk kepimpinan tertinggi parti sekali gus kerajaan. Itu pada hemat saya daya tahan dan semangat kental.
Sebagai perdana menteri banyak perubahan yang Abdullah bawa tetapi bak kata wartawan, Jahabar Sadiq: “He did well. But not enough for critics and detractors who thought his reach never went beyond his grasp.”
Malah ada pada kalangan kita sendiri yang komplen reform yang Pak Lah bawa tidak cukup. Ini didorong mandat besar yang diberikan kepada beliau pada PRU 2004 — prestasi yang cukup hebat dan tidak pernah dicapai oleh perdana menteri lain.
Jelas tuduhan bahawa Pak Lah tak berani bawa perubahan adalah tidak benar, malah Pak Lah membatalkan cadangan jambatan bengkok dengan Singapura kerana punyai perancangan sendiri. Umum tahu tindakan itu menimbulkan kemarahan Mahathir. Apa pun perubahan yang dibawa dan tidak sempat dilaksanakan tidak disenangi oleh apa yang disifatkan sebagai ‘deep state’ dan juga dalam kalangan Umno sendiri.
Wartawan veteran, Kadir Jasin, menyifatkan Pak Lah sebagai ‘orang baik’. Bagaimanapun, kata Kadir, malangnya dalam politik dan pemerintahan orang baik boleh dimanipulasikan oleh orang yang bercita-cita tinggi dan ada agenda peribadi.
“Maka demikian pemerintahan Almarhum (Abdullah) dilarikan atau hijacked oleh operator Tingkat 4 dan akhirnya dihukum dengan berat oleh pengundi dalam PRU 2008,” kata Kadir.
Sedikit sebanyak ada benarnya pandangan beliau. Pun begitu Kadir tidak menghurai lanjut dan tidak juga menamakan siapa ‘operator Tingkat 4’ yang dimaksudkan, walaupun ramai boleh mengagak.
Manakala PRU 2008 pula umum tahu BN kekal memerintah tetapi hilang majoriti 2/3 di Parlimen, serta tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor di samping Kelantan yang ditadbir PAS sejak 1990.
BN khususnya Umno menyalahkan Pak Lah. Antara yang paling lantang mengkritik ialah Mahathir. Tidak perlu saya mengulangi kata-kata kasar dan kesat yang dilemparkan semasa menyerang Pak Lah. Menyebelahi Mahathir ialah Muhyiddin Yassin dalam gerakan singkir Pak Lah.
Kata Kalimullah Hassan, kawan baik Pak Lah: “Saya masih ingat Pak Lah yang sememangnya suka Muhyiddin beritahu saya perkara ini. Pak Lah kata ‘saya tak sangka Muhyiddin boleh buat semua ini. I am crushed’.”
Bagi Pak Lah apa yang ditunjukkan Muhyiddin ialah ‘disloyalty’. The gentleman that he is Pak Lah tidak menggunakan istilah ‘khianat’ mahupun ‘tikam belakang’. Kekecewaan Pak Lah diluahkan juga dalam biography “Being Abdullah Ahmad Badawi”.
Ditekan oleh Mahathir, Muhyiddin dan juga Umno sendiri, Pak Lah tenang. Timbul ungkapan yang dicipta bekas timbalan presiden Umno, Musa Hitam, demi mempertahankan Pak Lah — elegant silence. Maksudnya Pak Lah cukup berhemat dalam tidak memberi respon.
Bagaimanapun Pak Lah berundur juga pada 2 April 2009. Kata Zaid Ibrahim, yang pernah menjadi menteri dalam pentadibran Abdullah: “Pak Lah was pushed out of power because he wanted to drain the swamp and weaken the deep state. But he was kind and gentle. Had he been more combative things could have turned out differently.”
Benar Pak Lah ditolak, dipaksa lepaskan kuasa, dan bukan combative — tidak mahu berperang. “Saya tidak mahu melihat Umno dan BN berpecah belah”. Itu sebabnya seperti yang dihuraikan semasa berucap selepas mesyuarat khas BN pada 8 Oktober 2008 berhubung peletakan jawatan sebagai presiden Umno dan perdana menteri.
Kata Pak Lah lagi: “Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan apatah lagi kaum atau agama; melainkan perpaduan dan keharmonian.”
Sedih dikatakan saya tidak menyertai ratusan rakyat Malaysia pada pengebumian Pak Lah semalam. Saya panjatkan doa memohon Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi dan menempatkannya dalam kalangan solihin.
Al-Fatihah.
- FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.