
Dalam artikel ini saya mengambil teladan sebagai seorang Muslim dan rakyat biasa yang boleh menegur dengan beradab sesiapa yang menjadi pemimpin Islam di Malaysia ini. Meneladan seorang Muslim menegur Khalifah Umar al-Khattab di masjid, saya juga ingin membuat teguran dan memberi serba sedikit nasihat kepada agamawan-agamawan yang saya anggap terkeluar dari skop kerja sebagai pegawai tertinggi agama dalam sesuatu negeri.
Saya banyak menulis bahawa saya ingin sangat seorang agamawan yang bukan sahaja ahli dalam hal ehwal Islam tetapi juga menyumbang kepada perpaduan serta memimpin negarawan dengan nasihat serta cadangan yang dilandasi oleh fakta serta bahasa yang beradab. Ini harapan saya kerana terlalu banyak kita semua berhadapan dengan isu agama dan kepercayaan yang didukungi oleh pempengaruh media sosial yang kebanyakannya dangkal ilmu dan tak reti bahasa bertamadun, serta juga oportunis politik dan tentera siber yang dibayar khusus untuk mengelirukan kita bagi memburukkan kerajaan sekarang.
Dalam dua isu baru-baru ini, seorang agamawan beri pandangan dengan lantang dan berkobar-kobar dari pentas agama. Bagi saya, seorang akademik, saya meneliti teguran-teguran agamawan ini dan berpendapat terdapat kesalahan yang tidak boleh dimaafkan sama ada dari segi undang-undang, keilmuan dan juga adab Islam, dan tidak sepatutnya dari seorang yang berpangkat tinggi dan mempunyai pengiktirafan ilmu pun yang tertinggi.
Dalam kejadian penjual belon dan perpindahan kuil Hindu, agamawan tersebut tidak mempunyai cerita keseluruhan. Saya sendiri mencari-cari dan membaca berita-berita di media serta juga mendengar pelbagai versi dari YouTube. Saya masih kabur tentang apa yang berlaku.
Perbuatan agamawan tersebut menghukum satu belah pihak adalah tidak berpatutan dan melanggar tatasusila hubungan antara kaum serta tanggungjawab institusi penguatkuasa. Dalam dunia akademia dan kemasyarakatan, kita perlu merujuk kepada keseluruhan cerita sesuatu kejadian. Tanpa pembuka dan pengakhir cerita, kita tidak boleh menghukum sewenang-wenangnya.
Dalam kejadian penjual belon, kita tahu beberapa fakta seperti pergelutan, kecederaan si penjual yang disahkan doktor dan kesalahan penjual yang tidak berlesen. Itu saja. Dengan fakta-fakta ini kita tidak boleh membuat hukuman dan bukan tugas kita pun yang tidak hadir di situ serta tak tahu pun cara penguatkuasaan dibuat untuk kita membidas sebelah pihak.
Begitu juga perkataan seperti ‘membina kuil atas tanah secara haram’ adalah suatu yang menghiris perasaan kaum lain tanpa mengambil kira situasi sejarah dan hubungan baik penguatkuasa dengan pihak kuil sejak 10 tahun ke belakang.
Perbuatan yang dilihat boleh mengapi-apikan perasaan adalah suatu perkara yang tidak patut diluahkan oleh seorang penjawat tinggi seperti agamawan negeri. Kalau ahli politik berbuat demikian, itu satu hal lain. Kebanyakan orang dah tahu perangai buruk dan taktik murahan ahli politik.
Jangan ingat bahawa agamawan tidak boleh dibawa ke pengadilan dunia undang-undang atau dunia sosial dan juga di akhirat nanti. Dalam Islam, tiada unsur kepaderian dan tiada unsur seorang pemimpin sebagai maksum dan juga tiada sesiapa Muslim pun yang dibenarkan untuk menjadi taksub kepada seseorang pemimpin agama atau politik berteraskan agama.
Saya ingin mencadangkan tiga perkara penting bagi perlantikan agamawan negeri selepas ini. Pertama, seseorang agamawan perlu menghadiri kursus pembinaan negara bangsa yang perlu dibuat bagi memesrakan ilmu agama tradisional dan ilmu politik kemodenan. Saya dapati banyak agamawan tidak langsung faham tentang ‘nation building’ iaitu menghormati dan menyenangi kepelbagaian budaya, kepercayaan dan cara hidup komuniti Malaysia.
Cadangan kedua, calon-calon agamawan harus menghadiri peperiksaan bertulis untuk disoal tentang aspek agama dan konsep negara bangsa. Kita akan mengandaikan semua calon agamawan telah pun berkelayakan dengan ilmu agama tradisional tetapi mereka perlu menunjukkan kepetahan dan kepintaran berhubung aspek agama dan negara bangsa.
Setelah lulus ujian bertulis, cadangan ketiga adalah supaya calon-calon agamawan perlu menghadiri temuduga yang juri panel terdiri daripada professor sains sosial dan pentadbir negeri serta wakil persekutuan untuk mempastikan tindakan seperti memberi pandangan serta menghukum isu-isu antara masyarakat kita boleh dibuat dalam konteks yang lebih luas.
Akhir sekali, saya ingin tegakkan bahawa saya amat mengharapkan Malaysia dipimpin oleh agamawan-agamawan yang berilmu dan berwibawa dalam aspek sosial serta sains politik. Dalam dunia digital yang boleh membuat seseorang pempengaruh bodoh dan jahil meraih beratus ribu viewers dan mengeruhkan keadaan sosial kita, negara amat memerlukan cendekiawan dan pegawai agama untuk menjadi perantara di antara kita semua. Agamawan sepatutnya menjadi pendamai dan bukannya batu api yang menjurangkan kita semuanya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.