`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, February 27, 2016

AYUH MUHYIDDIN, MULAKAN GERAKAN RAKYAT SEKARANG JUGA



Kenyataan media Timbalan Presiden UMNO yang digantung jawatannya, Muhyiddin Yassin setelah MT parti bertindak terhadapnya sekurang-kurangnya menggariskan empat fakta penting:-

- perlunya reformasi institusi yang menyeluruh yang bertujuan menghadkan kuasa Perdana Menteri serta menjadikan beberapa institusi seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, PDRM dan BNM mampu berfungsi dengan bebas tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa.

- Najib Razak sedang menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik serta keruntuhan institusi demokrasi sedang menjadi tatapan dengan penggantian kemunculan seorang diktator baru.

- telah ditunjukkan bukti oleh bekas Peguam Negara, Gani Patail mengenai kemasukan wang sebanyak RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadi Najib dan ia sah merupakan satu perbuatan jenayah.

- keperluan mengenepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk satu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintergriti.

Kenyataan penuh Muhyiddin Yassin boleh dibaca di sini - https://goo.gl/ghPbjP.

Apa yang perlu  Muhyiddin lakukan selepas ini? Masih sesuaikah hanya dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan saja?

Sementara Muhyiddin sudah mula mengajak rakyat agar bangun menentang kezaliman dan kemungkaran, menuntut perubahan institusi, menggambarkan munculnya seorang diktator baru dalam negara serta mengesahkan perbuatan jenayah melibatkan seorang Perdana Menteri turut berlaku, tiada pilihan lain yang harus dilakukannya selain terus bergerak ke hadapan.

Bersama pelbagai kelompok lain yang juga mempunyai kebimbangan yang sama seperti parti-parti politik pembangkang, NGO serta disertai oleh Tun Mahathir Mohamad, Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir dan lain-lainnya, Muhyiddin sudah sewajarnya menggerakkan program jelajahnya ke seluruh negara mulai sekarang untuk terus menekan dan mengasak Najib secara konsisten dan tanpa henti.

Gerakkanlah kekuatan "berani kerana benar"  yang selalu dilaung-laungkannya sehingga akhirnya bukan saja Najib dapat disingkirkan, bahkan yang lebih penting ialah impian mewujudkan sebuah negara baru dengan refomasi menyeluruh yang dicita-citakan itu.

Apatah lagi Rafizi Ramli sudah pun menghulurkan salam persahabatan kepadanya berikutan keinginan melakukan reformasi institusi itu. Dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim juga turut menyebut perkara yang sama.

Jika sekadar mengeluarkan kenyataan demi kenyataan saja, tetapi jasad tetap terkepung di bilik berhawa dingin yang selesa, percayalah bahawa Najib akan terus tersenyum meskipun dilabel sebagai diktator baru atau dicop dengan perlakuan jenayah sekali pun.

Muhyiddin, mulakanlah sekarang dan berhentilah sekadar berpencak di pentas media saja!! (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.