`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, June 20, 2016

Rakyat Malaysia Tak Peduli Isu GST, Rasuah, 1MDB, Kemewahan Rosmah....

BismillahirRahmanirRahim

Saya mengikuti keputusan kedua-dua pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar di atas bas dalam perjalanan dari Pandan ke Kemaman. Hujung minggu ini adalah satu-satunya peluang untuk berbuka puasa bersama mak dan ayah.

Keputusan itu sudah jelas dan saya juga percaya semua pihak di Pakatan Harapan telah mencuba sebaik yang mungkin dengan kekangan yang ada. Sememangnya pertandingan politik di Malaysia tidak pernah adil kerana kita berdepan dengan pelbagai rasuah pilihanraya - jadi itu tidak pernah menjadi kejutan kepada kita apabila pengundi-pengundi beralih sokongan setelah dijanjikan dewan, jambatan dan lain-lain.


Begitu juga kehadiran yang rendah semasa pilihanraya kecil juga dijangka.

Begitu juga perpecahan undi pembangkang apabila ada pertembungan 3 penjuru.

Satu-satunya perkara yang betul-betul mengejutkan saya ialah setelah pelbagai kepayahan yang ditanggung rakyat (dari GST, kenaikan kos sara hidup, skandal 1MDB, wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Perdana Menteri, kemewahan isteri Perdana Menteri yang dibayar oleh wang rakyat dan pelbagai isu lagi) pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar memberi isyarat bahawa mereka tidak kisah pun dengan segala perkara ini.

Maksudnya segala keributan dan keresahan yang disuarakan selama ini (baik yang menulis secara terus, baik yang menzahirkan kemarahan itu di media sosial dan lain-lain) hanya satu kepura-puraan?

Maksudnya rakyat tidak kisah sebenarnya dengan kepayahan hidup yang disebabkan oleh GST? Mereka tidak rasa marah dengan skandal wang yang menyebabkan peruntukan rakyat dipotong dan menambahkan beban mereka?

Ada yang membuat komen bahawa isu-isu nasional tidak ada kesan kepada pengundi berbanding isu tempatan.

Saya rasa perkara ini perlu diperjelas dan diperbetulkan: isu tempatan dan isu nasional itu saling berkait.

Kegagalan membina jambatan di Manong adalah kerana peruntukan yang tidak ada dan apabila disenaraikan, jambatan Manong lebih corot senarai keutamaannya berbanding projek-projek lain maka janji tinggal janji selama 5 penggal.

Harga getah yang rendah menjadi beban kepada penoreh getah kerana harga barang lain naik mendadak sedangkan pendapatan mereka turun. Harga barang naik disebabkan GST. GST diperkenalkan kerana kerajaan tidak cukup wang untuk menampung perbelanjaan akibat sumber sedia ada dibazirkan oleh pelbagai projek dan skandal.

Sebab itu saya tidak setuju dengan diagnosis mudah bahawa isu nasional tidak ada kesan berbanding isu tempatan.

Pendapat saya pengundi masih terlalu pekat dengan dua penyakit besar yang menjadi senjata pilihanraya Umno/BN sejak berdekad:

i) Penyakit sentimen perkauman/keagamaan - ramai pengundi pasrah dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi (sedang mereka mengeluh setiap hari) kerana bagi mereka memerangi Cina DAP dan sekutu mereka (KEADILAN dan AMANAH) itu lebih penting dari membantu diri mereka sendiri. Akhirnya serangan perkauman yang bertubi-tubi oleh kedua-dua Umno dan PAS telah meningkatkan sokongan kepada Umno dan mengekalkan baki sokongan pengundi Melayu kepada PAS

ii) Penyakit kebendaan - baik pegundi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua yang lain; faktor projek yang dijanjikan dan wang kebendaan yang diagihkan semasa kempen oleh Umno/Barisan Nasional tetap berkesanmengekalkan sejumlah undi kepada mereka. Pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan bahawa penyakit kebendaan ini tidak mengenal kaum, agama, tempat atau masa

Seperti yang saya janjikan, saya akan kaji dan perhalusi dapatan-dapatan ini di peringkat KEADILAN dan Pakatan Harapan.

Ramai yang menulis menyatakan pandangan bahawa PAS perlu bergabung kembali di dalam Pakatan Harapan. Itu dari awal telah dibincangkan dengan wakil pimpinan PAS - dijemput untuk menyertai Pakatan Harapan malah dirunding sehingga ke peringkat akhir untuk satu lawan satu dalam kedua-dua pilihanraya kecil.

Keputusan sama ada PAS masih mahu terus menjadi blok ketiga itu diluar kawalan Pakatan Harapan kerana itu keputusan PAS.

Secara peribadi, saya merasakan jalannya masih jauh jika rakyat sendiri terus dijangkiti dua penyakit yang ada di atas.

Akan ada juga suara-suara yang mahukan Pakatan Harapan menghukum DAP/orang Cina, tetapi saya berpegang kepada firman Allah dalam surah-surah berikut:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Al-Maidah ayat 8:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Al-Hujurat:13


Ada yang berpendapat sebaiknya tidak lagi ditumpukan kepada membongkar rasuah dan penyelewengan Umno/Barisan Nasional kerana rakyat nampaknya tidak kisah.

Malah ada yang berpendapat sebaiknya membiarkan sahaja kerosakan yang dibawa oleh Umno/Barisan Nasional kerana hanya setelah kerosakan itu benar-benar parah baru ada kesedaran di pihak rakyat.

Sudah tentu ada pelbagai pendapat selepas satu keputusan yang menongkah ramalan sebelum itu.

Saya rasa lebih baik saya hadam semua pendapat dengan baik dan berhemah. Dan gunakan saki baki Ramadhan untuk beribadah.

Terima kasih Saudara-saudari yang setia mengikuti di sini.

Rafizi Ramli

ULASAN GB

Ramai dah membuat ulasan dan sebelum ini pun GB dah ulas. Baca: AMANAH Diterima Rakyat Sebagai Pengganti PAS

Ada satu perkara pokok dalam ulasan Rafizi di atas, bahawa rakyat Malaysia tidak peduli GST, kenaikan kos sara hidup, skandal 1MDB, wang RM2.6 bilion, kehidupan mewah Najib dan Rosmah...

Hal ini pernah disuarakan oleh Presiden AMANAH, Tn Hj Muhammad Sabu sebelum berlansungnya PRK lagi.

Jom kita amati bersama:


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.