`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, July 26, 2017

BERBANDING TUN M YANG KONON BONEKA DAP, NAJIB JAUH LEBIH BAHAYA UNTUK DIKEKALKAN KUASANYA

Tidak sampai sepuluh tahun menjadi Perdana Menteri, majoriti rakyat Malaysia secara umumnya sudah mula sedar dan terasa betapa paling tidak bergunanya Najib Razak sebagai Perdana Menteri kepada kehidupan mereka.
Gemar dengan pendekatan populis tapi menyusahkan rakyat dengan penarikan subsidi dan jerutan tanpa henti melalui GST, beliau sebaliknya membayangi semua tindakan itu dengan menyandarkannya kepada konon untuk masa depan negara dan menukar istilah sebutannya agar lebih sedap didengar dan seolah-olah berniat baik.
Menarik subsidi misalnya ditukar kepada rasionalisasi subsidi, manakala GST kononnya diperkenalkan untuk kebaikan dan masa depan negara, bukan menambahkan beban dalam kehidupan.
Hakikat bahawa semua itu menjadikan barangan semakin mahal dan lebih banyak wang diberikan kepada kerajaan tidak pernah dikisahkan.
Malah, di sebalik wajah ceria dan menjual aura arwah bapanya, Tun Razak, Najib melakukan banyak kontradiksi lain seperti suka bermewah, banyak membazir, membiarkan isterinya berbelanja mewah dan kerapkali cerita keluarga lebih menjadi bahan berita berbanding membantu negara.
Ketika rakyat dihimpit dengan pelbagai kenaikan dan kos sara hidup berikutan ketiadaan subsidi dan perlu membayar GST, Najib lebih menjadi bahan cecehan berikutan skandal 1MDB, hubungan dengan Jho Low dan penemuan wang beribu-ribu juta dalam akaun peribadinya.
Tidak cukup dengan itu, untuk menutup hutang dan skandal, beliau kemudian berjinak-jinak dengan China yang menyebabkan banyak tanah, projek dan kontrak diberikan kepada kuasa ekonomi baru dunia itu.
Terpalit dengan skandal dan kuasa Peguam Negara adalah penyelamatnya, berdepan PRU 14 yang tentu paling getir baginya, tidak sukar menjangka apa jadi kepada rakyat dan negara jika Najib terus berkuasa lagi.
Juga tidak sukar menjangka betapa Jho Low mungkin bertambah-tambah lagi tahap “bilionairenya” atau barangkali berapa banyak lagi penguasaan China ke atas pelbagai projek dan aset negara sekiranya Najib terus menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya akan datang ini.
Selain rakyat biasa dan penyokong perubahan, kalangan dalam UMNO juga ramai yang sedar bahawa liabiliti sebenar ialah Najib sendiri. Sukarnya UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasa tidak lain ialah berpunca daripada Najib dan perkara-perkara lain yang terkait dengannya.
Tetapi, untuk menutup semua ketakutan rakyat terhadap Najib itu, yang cuba ditakut-takutkan ialah wajah Tun Mahathir Mohamad yang kini menjadi Pengerusi Pakatan Harapan. Tidak cukup dengan sejarah silam beliau diungkit dan dibongkar semula, pengaruh DAP yang kononnya menguasai Pakatan Harapan turut sama didendangkan.
Tun Mahathir  digambarkan hanya sekadar boneka DAP semata-mata kerana parti itu mempunyai lebih bilangan Ahli Parlimen dan dikatakan akan menguasai gabungan pembangkang tersebut. Seolah-olahnya bila Pakatan Harapan berkuasa nanti, DAP dan Cinalah yang akan menguasai negara ini.
Lihatlah betapa takut dan gentarnya mereka dengan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan sekarang ini. Memang benar sekarang DAP ada 37 bilangan Ahli Parlimen dan Bersatu cuma satu, tetapi kedudukan itu mungkin akan berubah dalam pilihanraya akan datang.
DAP sebagaimana pilihanraya 2013 lalu, hanya akan bertanding 52 kerusi Parlimen saja dalam pilihanraya akan datang. Itupun lawan mereka adalah calon bukan Melayu juga daripada MCA, MIC atau Gerakan. Bermakna, siapa pun menang, kerusi itu tetap milik bukan Melayu.
Bersatu pula akan bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO. Ada 88 kerusi milik UMNO seluruhnya, termasuk di Sabah dan di Semenanjung saja ada 73 jumlahnya. Di Sabah, kerusi milik UMNO itu mungkin akan ditandingi oleh Warisan bersama lain-lain parti di negeri tersebut.
Makanya, untuk 73 kerusi di Semenanjung, ia akan dibahagikan antara Bersatu, PKR dan Amanah. Kerusi-kerusi sedia ada milik PKR akan terus ditandingi oleh mereka.
Dalam hal ini, berikutan MCA, MIC dan Gerakan sudah mati dalam hati masyarakat bukan Melayu, jika pun DAP menang kesemua 52 kerusi Parlimen yang ditandinginya, jumlah kerusi yang dimiliki parti itu tidak mungkin dapat mengatasi jumlah kerusi Melayu yang bakal dimenangi oleh Bersatu, PKR dan Amanah.
Kedudukan itu sesuai dengan komposisi kerusi dan kedudukan rakyat Malaysia sendiri.
Yang penting, tsunami Melayu dan bukan Melayu mesti digerakkan seiring untuk menjadi tsunami rakyat Malaysia agar perubahan menjadi seimbang dan merata.
Siapakah yang mampu menggerakkannya?
Di sinilah gandingan Tun Mahathir dan Anwar bersama DAP yang sebenarnya amat menakutkan Najib, UMNO dan BN.
Alasan mereka menakut-nakutkan tentang pengaruh dan penguasaan DAP atau orang Cina hanyalah kerana ketakutan itu. Bagi mereka yang mahu berfikir, jika Cina yang ditakuti, mengekalkan Najib juga sama seperti mengekalkan penguasaan Cina.
Malah, bahayanya jauh lebih berganda kerana Cina yang akan lebih melebarkan sayapnya adalah seorang yang bernama Jho Low serta negara China itu sendiri.
Adakah Lim Kit Siang pernah terbukti selama ini lebih menyusahkan negara berbanding Jho Low?
Adakah selama 22 tahun berkuasa, Tun Mahathir lebih menakutkan dan merbahaya berbanding Najib yang belum sampai 10 tahun berkuasa?
Jika Tun Mahathir dan Kit Siang selama ini terbukti tidak lebih bahaya berbanding Najib yang ada Jho Low dan kemungkinan hadir sama penguasaan negara China bersamanya, tidakkah bergabung tenaganya Tun Mahathir dengan Kit Siang mungkin memberi lebih kebaikan dan kesejahteraan buat kita semua?
– http://shahbudindotcom.blogspot.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.