`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 27, 2017

KENYATAAN NAZRI MEMALUKAN PUTRAJAYA

KENYATAAN Menteri Pelancongan Nazri Aziz hari ini berhubung cukai pelancongan hanya dikenakan terhadap pelancong asing pada kadar tetap RM10 sebilik semalam adalah kenyataan yang memalukan Putrajaya.
Ia juga merupakan kenyataan ketiga di mana adanya perubahan besar di dalam perincian dasar tersebut.
Dalam pengumuman pertama pada 9 Jun, dasar ini akan berkuatkuasa mulai 1 Julai 2017, dan hotel akan dikenakan cukai antara RM2.50 dan RM20 sebilik semalam; dasar ini meletakkan sasaran kutipan berjumlah hampir RM700 juta.
Dalam pengumuman kedua pada 22 Jun pula, kerajaan mengumumkan hotel bertaraf tiga bintang ke bawah tidak akan dicukai, tetapi laporan berita menyatakan bahawa kerajaan masih berharap untuk mengutip hampir RM700 juta setahun.
Pada hari ini pula, dasar yang diumum akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos tidak mempunyai sebarang sasaran jumlah kutipan.
Ini bukanlah caranya sesebuah dasar kerajaan patut digubal, terutama dasar seperti cukai pelancongan ini yang pasti akan mendatangkan kesan meluas bukan sahaja kepada industri pelancongan, tetapi juga kerajaan negeri dan pengguna secara amnya.
Namun inilah yang berlaku apabila Putrajaya bertegas meluluskan undang-undang di Parlimen secara tergopoh-gapah. Jika Putrajaya mengadakan perbincangan dan rundingan, dasar ini sudah pasti tidak akan ditolak kerajaan negeri Sabah, Sarawak dan Selangor.
Tambahan lagi, dengan pengumuman terkini ini, apakah jumlah kutipan yang disasar Putrajaya, dan apakah jumlah kos untuk melaksana dan menguatkuasa dasar ini? Adakah pelancong asing boleh mengelak dari membayar cukai ini dengan cara seperti mendapatkan kawan tempatan mereka untuk membuat tempahan bilik? Dan apakah lagi cara yang boleh diguna untuk mengelak daripada membayar cukai ini, serta apakah langkah kerajaan untuk menanganinya?
Banyak soalan, sikit sangat jawapan.
Tapi kurangnya rundingan, perbincangan dan ketelusan kepada pihak berkepentingan dalam penggubalan dasar dan sebelum pengumuman sesuatu dasar bagai sudah menjadi lumrah pentadbiran Umno-BN. Rejim ini sudah begitu lama berkuasa hinggakan – kecuali di dalam penggubalan beberapa dasar seperti pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga baru-baru ini – ia jarang sekali mahu mendapatkan maklumbalas pihak berkepentingan secara menyeluruh dan sistematik.
Sudah pasti Nazri dan Umno-BN berasa letih akibat maklumbalas negatif dari orang ramai terhadap dasar cukai pelancongan ini. Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya untuk Umno-BN “bercuti” dari Putrajaya selepas PRU14, agar pimpinan Umno-BN dapat mempelajari cara yang lebih baik mentadbir negara.
– https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.