`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 26, 2018

APA NAK JADI, UTUSAN RUGI, MEDIA PRIMA RUGI

Terkejut, itulah perasaan saya ketika membaca berita Media Prima Bhd mencatatkan kerugian bersih RM669.66 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berbanding kerugian bersih sebanyak RM69.78 juta pada 2016.
Apa taknya, peningkatan kerugian bersih hampir RM600 juta dalam masa setahun atau lebih 800 peratus untuk kumpulan media yang antara lain memiliki TV3, syarikat akhbar New Straits Times Press (M) Berhad yang menerbitkan akhbar New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH) itu.
Menurut Media Prima, perolehan mengalami penyusutan tujuh peratus kesan daripada iklan dan jualan akhbar yang rendah selain faktor pertukaran kepada media digital yang memberikan kesan ketara.
Dan, kita semua tahu bahawa Umno memiliki pengaruh terhadap kumpulan media tersebut.
Selain Media Prima, kita juga tahu Umno turut memiliki pegangan yang besar dalam Utusan Melayu (M) Berhad yang turut mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM200 juta sejak tahun 2012.
Pegangan Umno dalam Utusan
Dala laporan tahunan Utusan, ia memetik Utusan rugi lebih RM16 juta pada tahun 2012, diikuti rugi lebih RM20 juta tahun 2013, terus rugi RM83.65 juta pada 2014, rugi lagi lebih RM16 juta pada 2015 dan meneruskan trend kerugian tahun 2016 dengan RM66.7 juta.
Melihatkan senario di atas, kita dapat menyimpulkan bahawa media yang dimiliki serta dikawal oleh Umno tidak lagi mendapat sambutan oleh para pembaca di negara ini termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Umno sebelum ini dikatakan hanya bergantung harap kepada Buletin Utama yang disiarkan oleh TV3, akhbar Utusan Malaysia, BH dan Harian Metro sebagai contoh, untuk menjalankan kempen propaganda menampakkan mereka ‘bagus’ dan pembangkang, sebaliknya.
Tiga aspek yang boleh diperhati dan diperhalusikan mengikut senario tersebut ialah pertama, kemampuan Umno untuk menguasai minda dan pendapat umum rakyat di negara ini terutama yang tinggal di luar banyak semakin berkurangan.
Mungkin, saya kata mungkin, orang-orang kampung sendiri sudah muak untuk menonton Buletin Utama yang saban hari mencerca pemimpin pembangkang terutama Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai pengaruh besar di kalangan orang Melayu.
Mungkin juga, orang-orang di kampung sudah tidak lagi menyelak akhbar Utusan Malaysia atau BH sebagai tatapan mereka ketika bersarapan kerana sudah bosan dengan berita-berita berat sebelah dan ‘menegakkan benang yang basah’ semata-mata.
Kekuatan, masa depan syarikat
Aspek kedua yang boleh diperhatikan ialah kekuatan syarikat-syarikat media milik Umno ini untuk bertahan dalam industri tempatan yang semakin cenderung kepada media yang lebih bebas, tidak bertuankan parti politik dan siaran berita tepat masa.
Jika terus mengalami kerugian saban tahun, mana mungkin syarikat-syarikat ini mampu berkembang dalam apa jua segi termasuk membangunkan produk media yang terkini jika terus berdepan tekanan untuk melangsaikan kos operasi bulanan.
Sedikit demi sedikit aset yang dikumpul selama ini terpaksa dijual bagi menghasilkan dana yang mencukupi bagi melangsaikan kos operasi bulanan termasuk gaji para pekerja, bil-bil semasa, faedah hutang dan sebagainya.
Aspek ketiga ialah masa depan periuk nasi kakitangan syarikat media milik Umno yang berisiko untuk kehilangan punca pendapatan mereka apabila syarikat-syarikat berkenaan terus mengalami kerugian berterusan atau senang kata, ‘bungkus’.
Kerjaya wartawan, sebagai contoh, tidak lagi akan menjanjikan pulangan gaji yang menarik setelah berlakunya lambakan akibat lebihan penawaran berbanding permintaan dalam industri yang semakin malap.
Sedarlah dari mimpi
Harga mereka yang berpengalaman dalam industri penyiaran dan persuratkhabaran tidak lagi setinggi dahulu dan masyarakat turut memandang serong kepada kerjaya tersebut yang mungkin disyaki sebagai mata dan telinga parti pemerintah.
Justeru, salah satu cara untuk membantu Media Prima dan Utusan untuk kembali menjana keuntungan ialah Umno perlu melepaskan pegangan dan kawalan bagi membolehkan ia bergerak sejajar dengan kehendak pasaran.
Bukan sahaja Umno, MCA yang kini menjadi parti politik ‘suam-suam kuku’ setelah ditolak oleh masyarakat Cina juga hendaklah melepaskan pegangan mereka dalam Star Media Group, yang memiliki akhbar The Star dan empat stesen radio – RED FM, 988, SuriaFM dan Capital FM.
Umno perlu sedar dari mimpinya bahawa rakyat negara ini sudah ‘masak’ dengan propaganda media milik mereka dan tidak lagi percaya kepada kebanyakan daripada berita-berita politik yang disiarkan.
Umno, jangan lupa bahawa rakyat yang mempunyai kuasa membeli kini mempunyai pilihan untuk menatap media yang jauh lebih bebas dan menyajikan bahan-bahan penulisan yang seimbang kerana sudah ‘bijak’ dalam menilai sajian berita.

AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan kini merupakan timbalan pengerusi biro buruh DAP dalam menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.
– M’kini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.