Kebelakangan ini, usaha pihak tertentu untuk berunding dengan pihak musuh kearah menggabungkan UMNO dan PPBM kian rancak dijalankan. Malah lebih malang lagi, siasatan Lembaga Disiplin parti terhadap ketua gerakan ini telah dihentikan oleh kepimpinan utama UMNO. Ini jelas membuktikan bahawa perundingan ini mendapat restu atau dipersetujui oleh beberapa kerat kepimpinan utama UMNO yang sedang berhadapn dengan tuduhan di Mahkamah dan yang bimbang akan didakwa di Mahkamah.
Senario ini amat bahaya untuk survival UMNO dan Muafakat Nasional. UMNO sebagai parti yang terbesar di dalam Muafakat Nasional perlu dipimpin oleh pasukan yang boleh mengalas tanggungjawab menentang regim Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir atau mana-mana pemimpin yang bakal diangkat menggantikan Mahathir.
Pasukan ini tidak boleh mengandungi individu yang berkerjasama, tunduk, takut atau boleh dikompromi oleh pihak musuh memandangkan PRU15 akan menentukan jatuh bangun UMNO dan Muafakat Nasional. UMNO dan Muafakat Nasional perlu dipimpin oleh tokoh berwibawa yang mampu menyatukan parti-parti berbilang kaum bagi menghadapi PRU15.
UMNO dan Muafakat Nasional perlu dipimpin oleh tokoh yang diyakini mampu menjadi Perdana Menteri bagi mengambilalih pentadbiran negara yang kini berhadapan dengan pelbagai kerosakan akibat diperintah Pakatan Harapan. Tokoh ini perlu dilihat mampu memulihkan ekonomi negara, mengembalikan keyakinan pelabur, merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, mempelbagai sumber pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan yang mungkin masih dipimpin oleh Mahathir atau digantikan dengan Anwar atau Azmin, UMNO dan Muafakat Nasional harus mengemukakan calon Perdana Menteri yang lebih berkarisma, mempunyai aura dan dihormati bukan hanya oleh rakyat Malaysia, tetapi masyarakat antarabangsa. Malaysia perlu dikembalikan sebagai Harimau Asia dan ini hanya akan berjaya dikecapi sekiranya UMNO dan Muafakat Nasional dibarisi kepimpinan yang diyakini setidak-tidaknya oleh rakyat dan penyumbang yang mahu membiayai kos gerakkerja pilihanraya Muafakat Nasional.
Amat mendukacitakan, selain dari berunding dengan pihak musuh, segelintir kepimpinan utama UMNO masih gagal membiayai gerakan yang dilakukan oleh UMNO-UMNO Bahagian bagi memenangkan semula UMNO dan Muafakat Nasional. Janji-janji sebelum pemilihan bahawa aset UMNO akan dicairkan untuk membiayai program bahagian telah gagal ditunaikan. Lebih malang, dalam tempoh 18 bulan ini, saham UMNO dalam KUB, Utusan Malaysia, Media Prima telah dijual, namun bantuan untuk gerakkerja Negeri dan bahagian-bahagian masih mengecewakan.
Jika benar sebahagian dari kepimpinan UMNO dan Bekas Pemimpin UMNO lebih selesa mengambil pendekatan “if we can’t defeat them, we join them”, biarlah ahli memutuskan jika mereka bersetuju dengan cara Hishammuddin ini atau mereka lebih selesa dengan slogan “No Retreat, No Surrender”. Daripada mengadakan EGM untuk memutuskan keputusan mana yang mahu diambil oleh ahli parti, saya menyarankan agar Pemilihan UMNO dilakukan segera sebelum percantuman yang dijangka berlaku sebelum Mei, 2020.
Dato’ Lokman Adam
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.