`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 10, 2020

Beg tangan jutaan ringgit musnah akibat ‘magic pen’, kata peguam Najib

Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai keadaan beg tangan berjenama itu semasa memeriksa barang itu yang disimpan dalam peti simpanan BNM.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu beg tangan berjenama bernilai jutaan ringgit yang disita polis kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1MDB musnah akibat kecuaian semasa mengendalikan barang berkenaan.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri, Najib Razak berkata mereka mendapat tahu mengenai keadaan beg tangan itu semasa memeriksa barang berkenaan yang disimpan dalam peti simpanan Bank Negara (BNM).
Pemeriksaan dibuat oleh Najib, isterinya Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa pada 22 Feb lepas dalam satu lagi permohonan pemeriksaan di depan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi.
“Tiap satu beg tangan yang dikatakan mahal itu langsung tidak dipedulikan, ia dimusnahkan oleh polis kerana mereka menulis terus di atas beg-beg berkenaan dengan ‘magic pen’ dan bukannya di atas kertas.
“Beg-beg ini bernilai jutaan ringgit dan begitu cara mereka mengendalikannya,” katanya di depan Hakim Muhammad Jamil Hussin.
Beliau berkata demikian semasa berhujah dalam permohonan Najib untuk memeriksa secara fizikal beg tangan berjenama, barang kemas dan barang berharga lain yang disita polis pada 2018.
Katanya, anak guamnya tiada bersama semasa barang itu disita, sebaliknya pengurus bangunan (tempat barang itu disimpan) yang dipanggil untuk berada di sana.
“Dokumentasi eksibit (barang yang disita) juga tidak dibuat dengan teratur…dengan itu permohonan kami untuk membuat pemeriksaan memang amat patut untuk melihat sendiri eksibit itu.”
Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin berkata pihak pendakwaan membantah permohonan Najib untuk memeriksa barang itu atas alasan keselamatan kerana barang yang disita itu bernilai lebih RM680 juta.
Beliau berkata, ia adalah dakwaan serius untuk mengatakan barang itu musnah kerana ia disimpan dalam peti besi BNM yang hanya boleh diakses pihak diberikan kuasa saja.
Hakim Muhammad Jamil kemudiannya membenarkan permohonan Najib selepas memutuskan beliau mempunyai hak untuk memeriksa barang berkenaan bagi membolehkannya menyediakan pembelaan dalam permohonan lucut hak.
“Soal berhubung keselamatan dan kuantiti besar barang itu bukan satu isu. Saya juga membenarkan permohonan (Najib) untuk diiringi 2 peguam cara dalam melaksanakan pemeriksaan di bawah penyeliaan responden (pendakwaan).”
Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta aset yang disita dari premis yang dimiliki Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1MDB mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu.
Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, ia menyatakan antara aset itu adalah 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 barang hiasan jam tangan, 234 pasang kaca mata, 306 beg tangan dan wang tunai dalam pelbagai denominasi bernilai RM114,164,393.44.
Sebahagian besar daripada barang mewah yang disita polis dilaporkan daripada pangsapuri yang dimiliki Obyu Holdings.
Selain itu satu hartanah di Kuala Lumpur turut dirampas pada 1 Nov 2018. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.