`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, June 21, 2020

Gereja di Sarawak hanya dibuka semula Ahad depan

Pihak gereja berpendapat pembukaan semula untuk upacara ibadat perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati demi menjaga keselamatan dan kesihatan penganutnya. (Gambar Bernama)
KUCHING: Gereja di Sarawak hanya akan dibuka semula pada Ahad depan walaupun dibenarkan berbuat demikian mulai hari ini.
Biskop Gereja Anglikan Kuching, wilayah Sarawak dan Brunei, Reverend Danald Jute berkata keputusan itu diambil kerana pihak gereja berpendapat pembukaan semula untuk upacara ibadat perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati demi menjaga keselamatan dan kesihatan penganutnya.
“Oleh kerana penyakit Covid-19 masih ada, kita tidak mahu mewujudkan suasana semua penganut yang tidak dapat pergi ke gereja selama 15 minggu bergegas masuk (ke gereja),” katanya ketika ditemui Bernama di Saint Thomas Cathedral di sini semalam.
Beliau berkata, persiapan rapi melibatkan semua aspek penting memandangkan Gereja Anglikan merupakan gereja sekramental melibatkan pergerakan semasa upacara sembahyang.
“Kita nak pastikan perkataan bersedia ini bukan sekadar bersedia saja, tetapi kita ada sistem di mana ketua bahagian gereja yang menyelia penganut dan gereja wajib memastikan persediaan itu benar-benar dilakukan.”
Danald berkata, sebagai pemulaan, pihak gereja akan membenarkan hanya 100 penganut hadir pada upacara sembahyang yang akan diadakan pada 28 Jun, walaupun jumlah maksimum dibenarkan seperti dinyatakan dalam peraturan 3.1 garis panduan pembukaan rumah ibadat bukan Islam adalah 250 orang.
Beliau berkata, jumlah itu lebih mudah diuruskan pihak gereja, selain dapat memberi peluang sukarelawan mengamal dan membiasakan diri dengan jumlah kehadiran penganut pada setiap upacara.
“Kita akan nasihatkan penganut sebelum datang ke gereja supaya menyediakan semua keperluan, termasuk pemakaian topeng, selain perlu menghubungi pihak gereja untuk mendaftar kedatangan mereka pada hari tersebut.”
Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya menerima 35 borang pemakluman pembukaan semula rumah ibadat daripada 45 gereja di bawah naungan mereka.
“Isnin ini kita menjangkakan semua gereja kita akan menghantar semua borang pemakluman itu kepada kita dan kita akan panjangkan kepada Unit Hal Ehwal Agama Lain dan pada Khamis (25 Jun).” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.