`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, June 20, 2020

Kedah antara lokasi dicadang untuk penanaman hemp, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kajian kebolehlaksanaan penanaman hemp untuk tujuan industri dan perubatan akan diteruskan.
PUTRAJAYA: Usaha mengenal pasti kebolehlaksanaan penanaman hemp, sejenis ganja daripada spesis “cannabis sativa”, untuk tujuan industri serta perubatan akan diteruskan dan lokasi yang dikenal pasti untuk penanamannya adalah di Kedah, kata timbalan menteri kesihatan.
Dr Noor Azmi Ghazali bagaimanapun berkata, penanaman itu masih belum boleh dilakukan memandangkan masih terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi kementerian berkaitan, melibatkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA).
“Setakat ini saya difahamkan perkara ini dibawa dan sudah diberi mandat kepada KeTSA dan MOA untuk menjalankan kebolehlaksanaan kajian tentang hemp sebagai ubat atau untuk industri. Kita tahu bahawa kanabis ini terletak di bawah akta dadah yang dikawal KKM.
“Sekarang ini KeTSA perlu buat permohonan untuk dapatkan kebenaran menanam pokok ini. Saya difahamkan, mereka akan buat tanaman ini di Kedah dan persiapan sedang dibuat, namun penanaman masih belum dilakukan.
“Ini kerana masih ada beberapa maklumat yang dalam borang diberikan Kementerian Kesihatan kepada KeTSA masih belum selesai. Jadi inilah peringkat yang kita ada sekarang ini berhubung isu ini,” katanya kepada FMT.
Pada November tahun lalu, Dzulkefly Ahmad sewaktu menjawat tugas sebagai menteri kesihatan berkata, Putrajaya akan membenarkan penanaman hemp bagi tujuan penyelidikan industri. Kebenaran itu dibuat bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dzulkefly berkata, menteri kesihatan mempunyai kuasa mengizinkan penanaman hemp untuk pengeluaran serat dan biji sahaja bagi tujuan bukan komersial.
Manakala itu katanya, penanaman kanabis bagi tujuan perubatan dan sebagainya, masih tidak dibenarkan selagi undang-undang tidak dipinda.
Pengarah kanan Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr Ramli Zainal berkata, terdapat banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu digariskan berikutan kebenaran penanaman hemp, termasuklah isu seperti identiti pengimport dan penanam serta tanah apakah yang sesuai dan berapa lapis serta tinggikah pagar keselamatan yang perlu dibina.
Noor Azmi berkata, sekiranya kajian kebolehlaksanaan hemp sebagai ubat berjaya, ia secara tidak langsung akan memberi ruang baru dan sekiranya terbukti berkesan, KKM perlu meminda Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan penanaman kanabis memberi banyak keuntungan dan manfaat, tetapi diharamkan kerana kandungannya dikaitkan dengan “cannabis sativa”, yang mempunyai bahan yang boleh menyebabkan kerosakan pada tubuh manusia.
Noor Azmi berkata, dunia, termasuk Malaysia, tersilap pandang mengenai pokok ini, yang menurutnya boleh dijadikan pelbagai produk selain ubat-ubatan, seperti baju, plastik, minyak dan biodiesel.
“Orang Melayu bila sebut kanabis, mereka tidak berapa tahu, tetapi bila sebut ganja, mereka tahu. Saya sudah perhatikan perkara ini, kanabis merupakan pokok yang sudah wujud ribuan tahun lamanya.
“Kanabis atau hemp yang digunakan untuk tujuan perubatan ini merupakan satu spesis dengan ‘cannabis sativa’, iaitu marijuana. Perkara membezakan kedua-duanya adalah kandungan tetrahydrocannabinol (THC) dalam marijuana adalah sebanyak 30% dan dalam hemp hanya ada 0.3%,” katanya.
Hemp mempunyai kandungan bahan kimia psikoaktif THC pada kadar sangat rendah kurang 0.3%, berbanding spesis ganja yang sering dirujuk sebagai marijuana yang mengandungi kadar peratusan yang tinggi.
Bagaimanapun Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak membezakan 2 spesis ganja ini dan hanya merujuknya sebagai kanabis. Penanaman 6 pokok kanabis jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang 6 sebatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.