Ada 2 institusi negara yang wibawanya perlu sentiasa dipelihara supaya keyakinan rakyat terhadap sistem kehidupan bernegara berada pada tahap tinggi. Hanya dengan keyakinan ini, sistem kehidupan bernegara dapat bergerak secara berkesan untuk memberi manfaat pada rakyat.
Dua institusi itu membabitkan soal keadilan dan demokrasi. Terhadap soal keadilan, ia melibatkan proses undang-undang, penguatkuasaan, siasatan, pendakwaan, perbicaraan, dan hukuman. Maknanya segala proses ini bukan saja dilaksanakan tetapi juga kelihatan dilaksanakan supaya keyakinan rakyat terhadapnya sentiasa dipertahankan.
Begitu juga dengan proses demokrasi. Segala proses yang berkaitan dengannya, daripada soal pembahagian kuasa antara legislatif, eksekutif, dan judikatif hinggalah kepada proses pilihan raya dan nilai-nilai demokrasi itu sendiri. Proses pilihan raya pula melibatkan pendaftaran pengundi, pembahagian kawasan, pendaftaran parti-parti politik, penamaan calon, kempen pilihan raya, pengundian, dan perisytiharan kemenangan.
Tetapi di atas proses itu adalah nilai-nilai demokrasi yang hanya dapat difahami dan diterima melalui pendidikan tata rakyat. Nilai-nilai itu, termasuklah kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berfikir, kebebasan berpersatuan, dan lebih penting lagi ialah saling hormat-menghormati dan meraikan perbezaan pendapat. Dalam demokrasi terdapat apa yang disebut sebagai kesaksamaan warga negara, tiada perbezaan antara kaum, agama, dan ideologi dalam kalangan rakyat, negara sebagai milik rakyat, dan wujudnya konsep mandat rakyat untuk legitimasi pemerintahan.
Sejak kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan digantikan dengan Perikatan Nasional, berlaku perkembangan yang mungkin mengganggu keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan keadilan dan demokrasi. Dari segi keadilan, persoalan timbul sama ada mereka yang melakukan korupsi dapat ditangkap, disiasat, diadili, dan dihukum dengan sewajarnya. Adakah kuasa politik boleh melepaskan pelaku korupsi?
Mengenai demokrasi, isu mandat rakyat menjadi persoalan. Adakah demokrasi ini hanya menjadi alat bagi ahli politik untuk meraih kuasa? Mungkinkah tiada ahli politik yang menghargai atau menghormat nilai-nilai demokrasi? Mungkinkah bagi mereka mandat rakyat itu tidak wujud? Mereka mungkin hanya melihat demokrasi sebagai mekanisme sedia ada dan kontemporari, bukan untuk dipatuhi tetapi bagi memperalatkannya.
“Demokrasi bukan agama kita,” kata seorang pemimpin besar negara pada suatu ketika dulu. Malah ada satu ketika beliau pernah berkata pada penulis tentang kepercayaannya terhadap keutamaan pada “enlightened leadership” (kepimpinan bestari) lebih daripada demokrasi. Beliau berkata demikian sesudah melepaskan jawatan politiknya.
Sememangnya demokrasi bukan agama sesiapa. Ia hanyalah fahaman politik. Tidak ada sesiapa yang diwajibkan untuk beriman dengan demokrasi. Tetapi pada zaman ini hanya sistem demokrasi yang dapat diterima oleh manusia sebagai amalan politik terbaik. Tidak ada sesiapa menyatakan demokrasi itu sempurna tetapi kelihatannya tiada sistem alternatif bagi mencerminkan hasrat rakyat.
Tentunya demokrasi tidak menjamin muncul pemimpin terbaik bagi sesebuah negara. Ada kala ia melahirkan pemimpin, begitu juga sebaliknya. Seperti juga dengan sistem autokrasi. Kalau pemimpin autokrat yang bagus muncul, maka ia merupakan manfaat besar bagi rakyat. Jika tidak, rakyat menanggung bahana. Demokrasi tidak menjamin kemunculan pemimpin bestari. Ia hanya merupakan proses peluahan aspirasi rakyat. Hanya rakyat yang menentukan sama ada mereka mahu pemimpin hebat, dan hanya mereka menilainya.
Apabila melihat gelagat ahli politik dan reaksi warganet, umumnya tidak mendokong demokrasi sebagai idealisme yang perlu disemai, dipupuk, dan dipertahankan. Sebaliknya demokrasi hanya dilihat sebagai suatu mekanisme politik bagi kehidupan bernegara masa kini. Apabila ia dianggap sebagai suatu mekanisme atau struktur, maka demokrasi dilayan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik.
Maka bagi mereka, segala teknik, taktik, dan strategik dibolehkan dalam politik. Seperti diplomasi, politik dianggap sebagai peperangan tanpa pertumpahan darah. Bagi mereka mandat rakyat itu suatu konsep yang tidak diambil berat. Perkara penting ialah kuasa apa yang dapat diraih.
Malaysia pula tidak mempunyai tradisi perjuangan demokrasi yang kuat. Semasa pemerintahan kesultanan-kesultanan Melayu sebelum kedatangan British, tidak ada sesiapa sama ada para pujangga atau pahlawan yang mengutarakan pemikiran demokrasi. Sepanjang pentadbirannya, British juga tidak pernah merancang pelaksanaan demokrasi walaupun di tanah jajahan mereka seperti Pulau Pinang, Melaka, dan Singapura.
Hanya selepas membubarkan Malayan Union dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, barulah pihak British mewujudkan majlis perundangan persekutuan dan seterusnya mengadakan pilihan raya umum pada 1955, itupun dalam rangka persiapan untuk memberikan kemerdekaan pada Malaya.
Parti politik pertama yang ditubuhkan di Malaya, iaitu Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1920-an tidak memperjuangkan demokrasi walaupun mereka anti-imperialisme. Apabila mereka menyebut demokratik, tafsirannya berbeza.
Namun begitu, parti politik Melayu pertama yang ditubuhkan pada 1945, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) lebih pada memperjuangkan kemerdekaan dan penubuhan gagasan Melayu Raya daripada menekankan soal sistem demokrasi selepas negara merdeka.
Begitu juga dengan Umno yang ditubuhkan pada 1946, perjuangan utamanya adalah menentang Malayan Union dan mempertahankan kedudukan orang Melayu. Pada awal penubuhannya, tidak timbul soal memperjuangkan kemerdekaan, apatah lagi melaksanakan demokrasi.
Tetapi ada satu parti bernama Malayan Democratic Union (MDU) yang ditubuhkan di Singapura pada 1945. Para pengasas dan aktivisnya terdiri daripada mereka yang berpendidikan Inggeris. Ia bukan saja memperjuangkan kemerdekaan tetapi demokrasi untuk seluruh Malaya, ketika itu termasuk Singapura.
Maka apabila British membuat keputusan untuk memberikan kemerdekaan pada tanah jajahan di seluruh dunia, ia merancang supaya demokrasi dapat dilaksanakan dalam rujukan ciri-ciri penting negara anggota Komanwel.
Maka demokrasi seperti juga konsep moden yang diwariskan pentadbiran Inggeris, termasuk undang-undang mereka wujud di negara-negara Komanwel, bermula sebaik saja selepas mencapai kemerdekaan. Ia termaktub dalam perlembagaan negara Komanwel.
Namun begitu, penerapan demokrasi di negara ini berlaku dalam konteks Perang Dingin. Ketua dunia demokrasi, Amerika Syarikat mahu mengalahkan Kesatuan Soviet. Sementara di Malaya, pentadbir British mahu mengalahkan PKM yang memberontak pada tahun sama yang dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas demokrasi adalah asas kenegaraan Malaya dan kemudiannya Malaysia. Semua parti politik yang ditubuhkan dan didaftarkan mendokong demokrasi. Ia dipertegaskan lagi melalui Rukun Negara yang disifatkan sebagai ideologi Malaysia.
Antara sebab komunis dapat ditumpaskan di Malaysia adalah kerana rakyat memilih demokrasi, dan bukannya autokrasi. Walaupun sepanjang kemerdekaan negara ini terdapat banyak elemen yang bercanggah dengan demokrasi tetapi umumnya, rakyat menghargai kebebasan dan hak untuk beraspirasi terhadap negara melalui konsep mandat rakyat.
Oleh itu bagi mempertahankan jati diri negara, nilai-nilai demokratik wajar dipertahankan dan dikembangkan. Walaupun kerajaan boleh bertukar bersilih ganti, rakyat wajar sedar negara ini milik bersama melalui fahaman demokrasi, dan dalamnya terdapat konsep mandat rakyat.
Jangannlah hendaknya terdapat gelagat ahli politik yang boleh membawa kepada keraguan rakyat terhadap wibawa demokrasi di negara ini. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.