KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menubuhkan satu unit baru, iaitu “Project Acceleration and Coordination Unit” (Pacu) yang akan memudahkan proses kelulusan dan mempercepatkan pelaksanaan projek pengilangan.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, proses kelulusan lesen pengilang untuk industri tidak sensitif juga akan disingkatkan kepada 2 hari bekerja sahaja.
Katanya, kementerian yakin skim insentif cukai dan pelaburan yang diperkenalkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dapat meningkatkan pelaburan domestik dan asing, selain menarik syarikat multinasional untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia.
“Skim insentif cukai dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan baru yang berteknologi tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan 40 inisiatif di bawah Penjana bernilai RM35 bilion yang sebahagian besarnya disasarkan bagi jaminan pekerjaan, termasuk yang berada dalam “ekonomi gig”, meningkatkan kemahiran semula dan membantu aliran tunai perniagaan.
Menyambut baik pelaksanaan Penjana, Azmin berkata pakej tersebut adalah bukti iltizam kerajaan untuk merencanakan agenda negara ke arah pemulihan ekonomi yang pantas.
“Penjana adalah pemudah cara untuk memakmurkan rakyat, merancakkan aktiviti perniagaan dan menjana kemampanan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, kementerian yakin dengan adanya pelan pemulihan terbaru ini bersama dengan kelonggaran kawalan pergerakan akan memberikan anjakan bagi memacu dan menyuburkan semula ekonomi negara, sekali gus menjamin pemulihan ekonomi yang menyeluruh.
Katanya pelanjutan tempoh 3 bulan bagi Program Subsidi Upah dengan peruntukan RM5 bilion akan dapat menjamin perlindungan pekerjaan rakyat Malaysia.
“Pengenalan subsidi upah menerusi pakej rangsangan terdahulu diterima baik oleh pekerja dan majikan serta menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.
“Dengan pembukaan hampir kesemua industri dan lebih 12 juta pekerja kembali bekerja semula, pelanjutan program ini diyakini akan terus memberi bantuan kepada pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, katanya pengenalan insentif antara RM600 dan RM1,000 kepada majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada penganggur dan pelatih industri, kerajaan dapat memastikan manfaat yang disediakan akan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
Azmin berkata, kementerian melihat inisiatif pelepasan cukai untuk pembelian perkakasan ICT dapat mendorong sektor swasta untuk kekal produktif dan anjal, walaupun bekerja dari rumah.
“Ini seterusnya akan meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses kerja, dan seterusnya mencapai hasrat kerajaan untuk membudayakan pendigitalan dalam komuniti perniagaan amnya dan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.
Katanya, Penjana turut menawarkan pelbagai kelebihan sebagai pemangkin ekonomi utama negara, termasuk PKS, syarikat peringkat pertengahan (MTC), perusahaan sosial dan syarikat pemula niaga.
“Langkah ini akan menyuntik dinamisme baru dalam sektor PKS yang merupakan pencipta pekerjaan terbanyak dalam ekonomi,” katanya.
Beliau juga melihat peruntukan RM100 juta bagi Teknologi dan Inovasi Sandbox Nasional dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat syarikat pemula niaga di Malaysia.
Katanya, bantuan kewangan khas berjumlah RM500 juta yang disalurkan kepada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat amat bertepatan untuk mengukuhkan penglibatan Bumiputera dan memastikan kemampanan perniagaan dan keusahawanan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.