`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, June 15, 2020

PKPP: Polis jangka lebih banyak migran cuba masuk ke Johor

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak berkuasa berjaya menangkap hampir 95% tekong darat, tekong laut dan ‘transporter’ migran untuk kawasan pantai timur Johor ke Batam dan Bintan, Indonesia.
JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa menjangka lebih banyak migran akan cuba menyusup masuk ke negeri ini susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang menyaksikan semakin banyak sektor ekonomi mula dibuka, kata Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan beberapa percubaan kemasukan migran yang berjaya digagalkan akhir-akhir ini menerusi pelbagai operasi yang dilakukan.
Katanya, semalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tentera dan polis marin berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 20 migran di kawasan daratan berhampiran ladang di Kota Tinggi.
“Jadi daripada ini, dapat nampak setiap hari, setiap minggu ada cubaan masuk …bagaimanapun, mereka menghadapi kesukaran kerana pihak berkuasa berjaya tangkap hampir 95% tekong darat, tekong laut dan ‘transporter’ untuk kawasan pantai timur Johor ke Batam dan Bintan, Indonesia.
“Pada masa sama, kawalan di perairan Indonesia juga diperketatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini, ketika ditanya tentang kecenderungan migran untuk menyusup masuk ke Malaysia susulan ramai tenaga kerja akan diperlukan oleh sektor ekonomi yang dibuka semula susulan pelaksanaan PKPP.
Pada 7 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos sebagai menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Susulan pengumuman itu, lebih banyak kelonggaran diberikan kerana hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada prosedur operasi standard (SOP). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.