Sisters in Islam (SIS) kecewa dengan pos Mohd Asri Zainul Abidin yang seumpama memandang ringan terhadap isu dan kesan poligami dengan perbincangannya untuk mempermudahkan poligami di Perlis.
Ketika wabak pandemik Covid-19 ini berleluasa, ramai golongan yang terkesan, terutamanya golongan ibu tunggal dan kanak-kanak. Jika mufti Perlis dan ketua hakim Syarie Perlis merasakan bahawa poligami merupakan jalan penyelesaian terhadap masalah yang dialami, ia adalah salah sama sekali kerana realitinya adalah indah khabar dari rupa.
Sudah pastinya mufti Perlis dan ketua hakim Syarie Perlis sedia maklum dengan permasalahan yang dihadapi oleh golongan wanita, ibu tunggal dan kanak-kanak.
Oleh itu, sebagai Mufti Perlis dan Ketua Hakim Syarie Perlis, haruslah Mohd Asri dan Ibrahim Deris menjadi lebih prihatin dengan menekankan isu-isu yang lebih penting seperti hal nafkah anak-anak, keganasan rumahtangga, bantuan kewangan untuk golongan wanita dan ibu tunggal, hak penjagaan anak-anak dan lain-lain serta janganlah menutup mata atau memberikan cadangan yang akan memburukkan lagi keadaan hanya kerana poligami dibenarkan dari sisi agama.
Perbincangan mengenai cara-cara untuk memudahkan poligami di Perlis juga menunjukkan pendekatan yang tidak bertanggungjawab memandangkan praktik dan amalan sedia ada pun banyak lagi yang harus diperbetulkan.
Seperti contoh, terdapat kelopongan dari segi undang-undang yang membenarkan suami untuk berpoligami tanpa kelulusan mahkamah. Ini dapat dilihat menerusi perkahwinan di sempadan Thailand yang apabila pasangan pulang ke Malaysia, mereka sekadar dikenakan penalti dan tidak diharuskan untuk mematuhi undang-undang di Malaysia yang mengambil kira kemampuan suami dari segi kewangan dan masa. Menurut aduan yang diterima menerusi talian Telenisa, kami mendapati terdapat pelbagai kes di mana perkahwinan pasangan tidak berdaftar yang menyebabkan pelbagai masalah iaitu masalah ketika perceraian, status taraf anak dan lain-lain.
Menurut tinjauan yang dilakukan oleh SIS pada tahun 2019, kebanyakan isu perkahwinan poligami berkaitan dengan ketidakupayaan suami untuk berlaku adil dalam menjaga lebih dari satu buah keluarga.
Ada suami yang tidak mampu memberikan nafkah yang mencukupi untuk isteri pertama dan anak-anak tetapi masih berpoligami.
Ada juga golongan suami yang mengatakan bahawa dia mempunyai status kewangan yang stabil ketika memohon untuk berpoligami tetapi, apabila diperintah membayar nafkah isteri dan anak-anak, dia merayu kepada pihak mahkamah dengan mengatakan bahawa dia tidak mempunyai kewangan yang stabil dan tidak mempunyai apa-apa aset.
Tinjauan dari SIS juga mendapati bahawa isteri-isteri terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga yang lazimnya tidak mencukupi dalam perkahwinan poligami. Tambahan pula, jika dilihat dari segi psikologi dan emosi anak-anak, mereka juga amat terkesan. Hakikatnya, perkahwinan poligami bukan sahaja melibatkan golongan suami dan isteri-isteri sahaja tetapi melibatkan anak-anak di mana kebajikan mereka wajib diambil kira.
Selain itu, tinjauan SIS juga mendapati bahawa hak penjagaan anak seringkali menjadi isu utama ketika berlakunya perpecahan dalam perkahwinan. Pada tahun 2019, Telenisa, klinik bantuan guaman yang memberikan nasihat guaman mengenai perundangan keluarga Islam secara percuma, menunjukkan bahawa terdapat 92 kes berkenaan dengan hak penjagaan anak. Isu lazim yang dikemukakan oleh klien Telenisa adalah hak lawatan anak-anak yang mencatatkan sebanyak 88 kes. Terdapat kenaikan kes pada tahun 2019 berbanding dengan tahun 2017 dan 2018 berkenaan kes hak lawatan.
Tinjauan kami juga menunjukkan terdapat penurunan kes mengenai hak jagaan anak-anak iaitu, pasangan mana yang mempunyai hak jagaan anak yang sah mengikut mahkamah. Klien wanita yang pernah berada di dalam perkahwinan poligami juga berkata bekas suami mereka lebih menekankan permohonan untuk mendapat hak lawatan anak-anak daripada permohonan mendapat hak jagaan anak-anak apabila sudah mempunyai keluarga baru.
Ketidakadilan yang dialami oleh isteri-isteri dan anak-anak dalam perkahwinan poligami boleh dibendung sekiranya pihak berkuasa mengambil perhatian yang serius dalam melaksanakan syarat-syarat yang sedia ada dalam permohonan berpoligami, mengetatkan lagi syarat-syarat yang masih memudahkan berpoligami dan menutup kelopongan dari segi undang-undang dan prosedur yang membenarkan suami untuk berpoligami tanpa kelulusan mahkamah.
Para tokoh agamawan juga mempunyai kewajiban yang besar dan berat untuk membimbing dan menggalakkan umat supaya lebih bertanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga yang membawa keadilan dan ketenangan kepada semua ahli keluarga dan bukan ke arah kehidupan keluarga yang rapuh dan mudah binasa, lebih-lebih lagi dalam era pandemik Covid-19. - ALIRAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.