`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, August 30, 2020

Kemajuan dan agama



Kemajuan tidak hanya bergantung pada sejauh mana umat Islam mematuhi hukum-hukum agama.
Umpamanya, keadilan dalam sistem pemerintahan tidak dapat dijamin oleh pembentukan undang-undang yang adil. Ia juga memerlukan suatu proses pembangunan dan pemeliharaan segala segi ilmu, amalan, dan muamalat yang membentukkan Islam sebagai suatu cara hidup.
Ini bererti seorang Islam yang menguasai ilmu dan mempunyai akhlak dan akal yang adil dan jujur, tidak akan melakukan sesuatu yang salah bukan sahaja kerana ia melanggar undang-undang negara dan hukum-hukum Islam, tetapi juga kerana ia melanggar asas akhlaknya.
Mereka menjauhkan diri daripada tindakan dan pemikiran yang tidak adil dan tidak jujur bukan hanya kerana melanggar hukum tetapi juga kerana mereka sendiri mempunyai sikap dan akhlak yang anti-ketidakadilan dan ketidakjujuran.
Dalam cara hidup mereka tidak ada tempat untuk perbuatan yang kurang adil atau kurang jujur, yang bertentangan dengan perangai mereka.
Orang yang adil dan jujur akan mewujudkan suatu proses pembangunan sosial yang baik untuk masyarakat.
Yang dimaksudkan dengan pembangunan sosial adalah keupayaan umat Islam bekerjasama dalam membina institusi-institusi yang maju, seperti yang dilakukan oleh para pemimpin dan sarjana Islam pada zaman dahulu. Institusi adalah pola yang tertubuh untuk memenuhi pelbagai keperluan manusia.
Keperluan seperti desakan jantina dan perkembangan zuriat dipenuhi oleh institusi keluarga. Keperluan mencari makanan, pakaian dan barang kebendaan dipenuhi oleh institusi ekonomi.
Keperluan manusia untuk belajar, untuk mempertingkatkan kecekapannya dalam pelbagai bidang dipenuhi oleh institusi pendidikan.
Mewujudkan institusi-institusi yang cekap dan berkesan, dan yang berkhidmat untuk masyarakat dan negara tidak merupakan sesuatu yang rumit.
Lagi pula, masalah yang rumit dapat diselesaikan oleh para pakar yang mudah didatangkan. Yang tidak mudah adalah mewujudkan suasana politik dan pentadbiran yang memungkinkan perkembangan institusi-institusi utama. Ini memerlukan kemahuan dan keazaman politik yang kukuh.
Umat Islam mengalami pelbagai masalah besar yang hanya dapat diatasi jika kita menghidupkan kembali cara hidup yang adil dan baik dalam erti, ilmu, amalan, sikap menghargai alam ini, dan sifat-sifat luhur, dan menerapkannya kepada kehidupan sehari kita.
Cara hidup ini seharusnya mempengaruhi pemimpin kita supaya masalah masyarakat dapat diatasi.
Tetapi apakah masalah masyarakat kita? Secara ringkas, saya gariskan seperti berikut:
  • Kekurangan pemikir/cendekiawan dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu;
  • Kekurangan golongan usahawan yang maju supaya membekalkan masyarakat dengan dana untuk kegiatan-kegiatan intelektual dan budaya;
  • Kelemahan dalam bidang pendidikan am;
  • Cendekiawan tidak berperanan penting dalam pembangunan sosial.
Melahir dan memupuk golongan cendekiawan dan usahawan mengambil masa lebih daripada satu generasi. Satu masalah yang penting sekali yang harus diperhatikan ialah masalah pendidikan.
Saya merujuk kepada pendidikan keislaman yang di madrasah dan juga di luar madrasah, seperti di masjid, ceramah, majlis ta’lim dan di rumah.
Tujuan pendidikan seharusnya untuk membawa perubahan dalam budaya kita ke arah menjadi cara hidup yang adil dan berakhlak.
Jadi, perjuangan kita adalah dalam segala bidang ilmiah dan sastera dan harus menegaskan sikap yang menghargai dunia dan sifat-sifat luhur.
Tanpa ini, masyarakat kita akan wujud di aras kepercayaan semata-semata, iaitu, kepercayaan yang kurang tegas sehingga tidak mewujudkan muamalat dalam bidang yang penting dan yang menentukan kemajuan sesebuah masyarakat itu. Ini merupakan penghinaan paling besar kepada Islam.
Dalam tradisi Islam, cara hidup disebut juga syariah atau tariqah iaitu suatu perjalanan ke arah mengingat asal kita. Cara hidup itu terdiri daripada kepercayaan dan amalan.
Semasa kita berada di dunia ini, iaitu, sebagai salik atau pengembara, kita diminta oleh Al-Quran mengambil perhatian tentang dunia ini sebab setiap sesuatu fakta dalam dunia ini merupakan ayat atau tanda kemuliaan Allah.
Jadi, kita diminta beriman dan mempelajari keduanya ilmu tentang Allah dan juga tentang segala yang telah dicipta Allah demi memperkukuhkan iman kita, supaya kita yakin akan kenyataan dan kebenaran.
Islam sebagai cara hidup tidak terhad kepada kepercayaan (iktikad) dalam erti yang sempit tetapi merangkumi segala cabang ilmu terhadap Allah dan makhluk-Nya.
Oleh kerana itu, para sarjana Islam pada zaman dahulu memelihara pelbagai bidang ilmu dengan penuh semangat.
Para sarjana atau ulama Islam zaman dahulu membahagikan ilmu ke dalam 2 jenis, iaitu, ilmu akli (al-‘ulum al-‘aqliyyah), dan ilmu nakli atau ilmu tradisional (al-‘ulum al-naqliyyah).
Yang pertama merujuk kepada ilmu yang berpunca daripada daya pemikiran dan pemerhatian manusia. Yang kedua merujuk kepada ilmu yang berpunca daripada wahyu.
Ilmu nakli terdiri daripada bidang seperti ilmu tafsir Quran dan qiraat Quran, ilmu hadith, ilmu fiqah dan cabang-cabangnya (fiqh dan ‘usul al-fiqh), ilmu kalam, (‘ilm al-kalam), dan ilmu tasawuf.
Ilmu-ilmu akli termasuk ilmu-ilmu yang berhubungan dengan angka-angka, astronomi (‘ilm al-hay’ati), ilmu logik (‘ilm al-mantiq), perubatan, ilmu metafizik, ilmu kimia, ilmu fizik, geografi, biologi, muzik, dan ilmu masyarakat (‘ilm al-‘umrun).
Agama Islam sebagai cara hidup tidak hanya terdiri daripada ilmu semata-mata tetapi juga amalan, yang berasaskan kepada kepercayaan itu. Amalan itu merupakan unsur yang perlu ada. Kalau tidak ada amalan, tidak ada Islam sebagai cara hidup.
Amalan itu dapat dibahagikan kepada 2, iaitu, ibadah dan perbuatan selainnya dalam mana kita bergiat, bertindak, melakukan sesuatu, atau menjalankan sesuatu.
Dari segi amalan dalam erti kedua, ia disebut muamalat. Ini merupakan takrif muamalat yang luas. Muamalat juga difahami dalam erti yang lebih sempit sebagai perniagaan/perdagangan.
Yang penting bagi kita ialah kenyataan bahawa keduanya kalimah amalan dan muamalat berasal dari akar kata yang sama, iaitu, amal yang merujuk kepada perbuatan, melakukan sesuatu, mengerjakan sesuatu, melaksanakan sesuatu, menjadikan sesuatu yang sebelumnya wujud di peringkat teori semata-mata.
Ternyata di sini yang dimaksudkan dengan amalan adalah melakukan sesuatu atau menjalankan sesuatu yang berasaskan kepada syariat Islam sama ada amalan itu ibadah atau amalan atau perbuatan selainnya seperti muamalat.
Ini membawa kita kepada soalan yang berikut: Apakah unsur-unsur keislaman yang terkandung dalam muamalat? Memang ada banyak. Saya akan sentuh pada beberapa sahaja:
  • Kejujuran: umpamanya kita seharusnya menjauhkan diri daripada perbuatan yang tidak jujur seperti rasuah;
  • Menjauhkan diri dari eksploitasi, iaitu, dari menggunakan seseorang secara tidak adil untuk dapat manfaat bagi kita sendiri dan merugikan pihak itu;
  • Menjauhkan diri dari segala perbuatan yang haram;
  • Menjaga atau melindungi suasana kita dan alam sekitar; da
  • Menganggap muamalat sebagai berkat dari Allah.
Kita seharusnya menganggap peluang untuk bekerja dan berniaga sebagai berkat dari Allah dan bekerja sedaya upaya untuk menjadi ahli (pakar atau pandai) dalam bidang itu dan berjaya.
Muamalat salah satu daripada dimensi amalan yang amat luas. Ini yang dimaksudkan dengan Islam sebagai cara hidup, iaitu keseluruhan kepercayaan dan amalan yang berasaskan kepada Islam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.