`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, February 23, 2021

Penduduk luar bandar Sarawak guna pesanan teks daftar vaksin

 

ADUN Marudi Penguang Manggil meminta ketua kampung menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mendaftar. (Gambar Rawpixel)

KUCHING: Dengan vaksinasi Covid-19 bakal bermula dalam beberapa hari lagi, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak beralih kepada pesanan teks untuk membantu penduduk yang tinggal di rumah panjang di kawasan luar bandar mendaftar untuk program itu.

Pendaftaran untuk kempen imunisasi kebangsaan itu dapat dilakukan melalui aplikasi MySejahtera atau di pejabat daerah dan klinik kesihatan, tetapi akses internet terhad dan kebimbangan terhadap pendedahan kepada virus menimbulkan isu.

ADUN Marudi Penguang Manggil berharap dapat mengatasi cabaran itu dengan meminta ketua kampung menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mendaftar.

“Buat masa ini, kami tidak mahu ada orang yang memasuki rumah panjang di kawasan luar bandar kerana mereka mungkin terdedah kepada Covid-19, jadi ketua-ketua kampung mengumpul segala maklumat diperlukan dan menyerahkannya kepada pejabat kesihatan daerah melalui WhatsApp,” katanya kepada FMT.

Penguang, yang juga menteri muda kerajaan tempatan berkata, dia merancang untuk mencadangkan kaedah itu kepada jawatankuasa pengurusan bencana negeri tidak lama lagi.

Timbul kebimbangan tentang bagaimana penduduk luar bandar Sarawak dapat mendaftar untuk vaksinasi kerana ramai ketua kampung masih belum menerima borang pendaftaran.

Wayne Lawrence, penduduk Kampung Tellian Daya di Mukah berkata, walaupun kerajaan Sarawak memaklumkan orang ramai boleh mendaftar di pejabat daerah dan klinik, pendaftaran melalui SMS adalah lebih baik.

Katanya, sekurang-kurangnya mereka boleh menerima pesanan teks daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ini boleh menjadi salah satu cara untuk menjangkau kawasan yang mempunyai akses internet yang terhad.

“Mungkin MKN dapat mengirim SMS kepada penduduk kampung di luar bandar dan mereka hanya perlu membalas ‘Ya’ atau ‘ Tidak’, dengan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nama kampung masing-masing,” katanya.

Sementara itu, di Kampung Melugu, Sri Aman, Sulie Abell meluahkan kebimbangannya terhadap kekurangan maklumat mengenai vaksin di kawasan luar bandar, dan berkata, penggunaan SMS boleh membantu.

“Penduduk kampung saya masih takut untuk mendaftar bagi program vaksinasi kerana kurang pengetahuan tentang vaksin itu sendiri dan mereka juga takut ia mungkin memberi kesan sampingan yang akan membahayakan kesihatan,” katanya.

“Walaupun kami boleh mendaftar di pejabat daerah, penduduk kampung takut untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat kerana mereka mungkin terdedah kepada virus,” katanya, sambil menambah, pilihan untuk mendaftar melalui SMS harus disediakan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.