`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 18, 2021

2 rakyat Malaysia masih berada di Afghanistan

 

Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun berikutan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India yang turut ditauliahkan ke Afghanistan, mengesahkan dua rakyat Malaysia masih berada di Afghanistan.

Suruhanjaya Tinggi itu memaklumkan, kedua-dua mereka bertugas dengan organisasi bantuan antarabangsa di Kabul, ibu negara Afghanistan.

Bagaimanapun, suruhanjaya berkenaan tidak memberikan butiran lanjut mengenai mereka.

Menurut suruhanjaya itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang bekerja dengan institusi kewangan di Kabul, sudah pun menghubungi misi berkenaan dan sudah selamat kembali ke tanah air awal bulan ini.

“Kedua-dua rakyat Malaysia itu sudah pun mengatur urusan untuk terus berada di Afghanistan buat masa ini,” menurut pejabat pesuruhjaya tinggi itu menerusi e-mel kepada Bernama berhubung nasib rakyat Malaysia di negara itu selepas kerajaan Presiden Mohammad Ashraf Ghani ditumbangkan Taliban pada Ahad.

Pihak suruhanjaya tidak menolak kemungkinan masih ada rakyat Malaysia lain di Afghanistan dan menasihati mereka supaya mendaftar serta mencadangkan supaya mereka pulang dan terus berada di Malaysia sehingga keadaan di Afghanistan bertambah baik.

“Pihak Suruhanjaya Tinggi mencadangkan kepada mereka supaya mendaftar menerusi e-mel mwdelhi@kln.gov.my atau menghubungi talian +91 11 2415 9300,” menurut e-mel itu.

Ditanya mengenai perniagaan Malaysia di Afghanistan, suruhanjaya memaklumkan, mereka tidak mempunyai maklumat sebarang syarikat Malaysia beroperasi di negara yang dilanda kancah peperangan itu.

Pada Ahad, Ghani terpaksa meninggalkan negara itu selepas Kabul ditawan Taliban.

Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun berikutan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu.

Menurut laporan media, banyak negara memutuskan untuk membawa pulang diplomat dan warga masing-masing dari Afghanistan serta menutup kedutaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.