`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, August 7, 2021

Berpesta sampai terduduk, 15 remaja ditahan dalam serbuan

 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata beberapa remaja yang ditahan dalam keadaan khayal ketika ditangkap, dipercayai di bawah pengaruh dadah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menahan 15 remaja termasuk empat remaja perempuan berumur 16 hingga 20 tahun dalam satu pesta persendirian dengan sebilangan daripada mereka berada di bawah pengaruh dadah di sebuah unit kondominium mewah, Seksyen 7, Shah Alam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata polis melakukan serbuan sekitar 1.30 pagi hasil aduan awam bahawa terdapat sejumlah individu berkumpul di lokasi itu.

Katanya, empat daripada mereka yang ditahan adalah remaja yang masih bersekolah.

“Pihak polis telah merampas satu peket disyaki ganja dengan anggaran berat 2.3g di lokasi kejadian. Unit kondominium mewah tersebut disewa oleh salah seorang suspek dengan kadar RM200 semalam dan semua suspek berhubung menggunakan aplikasi WeChat,” katanya dalam kenyataan.

Semasa serbuan, Baharudin berkata ada antara suspek terlibat dalam keadaan khayal kerana disyaki berada di bawah pengaruh dadah, selain keletihan selepas berpesta sejak 9 malam.

Baharudin berkata sebanyak 15 kompaun telah dikeluarkan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard di bawah Perkara 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas kesalahan menghadiri aktiviti berkumpul dengan kehadiran yang ramai sehingga sukar untuk melaksanakan penjarakan fizikal, dengan masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 .

Selain itu, katanya, semua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian saringan awal mendapati lapan remaja lelaki positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), amphetamine, methamphetamine dan benzo manakala tiga suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah berkaitan dadah,” katanya

Sementara itu, katanya, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini telah membenarkan reman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.