`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 25, 2021

Hanya 14,000 penduduk 18 tahun ke atas belum divaksin di N Sembilan, kata MB

 

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata pihaknya turut bercadang membuka PPV secara ‘walk-in’ di semua daerah di Negeri Sembilan. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Hanya kira-kira 14,000 individu daripada keseluruhan 831,107 penduduk Negeri Sembilan berusia 18 tahun ke atas yang sudah mendaftar bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) belum menerima tarikh vaksinasi, setakat semalam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, bagaimanapun yakin mereka akan selesai divaksinasi selewat-lewatnya minggu hadapan bagi membolehkan negeri mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.

“Mereka yang belum divaksin itu diharap sentiasa mengemas kini aplikasi MySejahtera masing-masing. Bekalan dos kedua cukup namun bilangan vaksin dos pertama agak sedikit. Kita jangkakan sebelum 31 Ogos ini kita boleh capai 80% untuk vaksinasi dos kedua,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco.

Aminuddin berkata, pihaknya juga merancang untuk menutup beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) secara berperingkat memandangkan negeri telah mencapai 90.9% atau 740,587 individu menerima suntikan dos pertama manakala 73.4% (597,832) telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bercadang membuka PPV secara jumpa terus (walk-in) di semua daerah khas untuk penduduk negeri ini pada tarikh dan waktu sama secara serentak apabila pemberian dos pertama telah mencapai lebih 96%.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 selain turut diwajibkan menjalani ujian calitan bagi menghadiri persidangan DUN pada 3 Sept ini.

“Perjalanan sidang juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain hanya mengambil masa yang terhad berbanding sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menasihatkan rakyat untuk terus mematuhi SOP ditetapkan dan tidak leka dalam menangani penularan Covid-19 walaupun negeri beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa esok.

Katanya, ini kerana anak-anak yang berumur 17 tahun ke bawah masih belum menerima suntikan vaksin dan terdedah kepada bahaya jangkitan wabak itu selain kewujudan varian mutasi Covid-19 seperti varian Delta yang mempunyai potensi jangkitan hingga 10 kali ganda. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.