PETALING JAYA: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu gambaran menimpa suami isteri yang mahu membuka semula restoran tom yam di Kemaman selepas setahun ditutup, namun menanggung kerugian lebih RM50,000 selepas perkakasan premis dicuri.
Nor Saidatul Hafiza Zulkifli, 30, dan suaminya, Wan Muhamad Ikrimah Wan Rozali, 28, tidak membuka perniagaan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP), selain berdepan kesukaran merentas negeri.
Kehilangan itu hanya disedari pasangan terbabit ketika pergi untuk mengemas premis berkenaan pada 2 petang, semalam.
“Hampir setahun restoran itu tidak beroperasi kerana PKP, lagipun kami yang menetap di Balok, Kuantan, Pahang sukar untuk merentas negeri.
“Begitupun, kami berhasrat untuk membuka (restoran) semula pada masa terdekat kerana sudah lengkap dua dos vaksinasi baru-baru ini. Alangkah terkejutnya apabila mendapati premis kami kosong sewaktu tiba untuk membuat persiapan semalam,” katanya menurut laporan Kosmo.
Wanita itu berkata, pemeriksaan mendapati 100 kerusi, 30 meja bernilai RM350 satu set, pendingin hawa, 18 tong gas, sebuah peti sejuk dan pinggan mangkuk hilang membabitkan kerugian lebih RM50,000.
Katanya, sebelum ini semua barangan dan perkakasan itu didapati masih berada dalam restoran ketika mengunjunginya dua minggu lalu.
“Berdasarkan maklum balas penduduk setempat, kecurian itu berkemungkinan berlaku pada Sabtu lalu apabila ternampak semua barang dipunggah masuk ke dalam sebuah lori berwarna merah,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.