`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 12, 2021

Pelanggan sukar jual emas, benarkan kami beroperasi, desak persatuan peniaga

 

Seorang peniaga emas berkata jual beli emas hanya dapat dibuat secara dalam talian dan pulangan yang diterima tidak mendatangkan keuntungan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Wang tiada, tidak dapat menjual emas disebabkan kedai tidak beroperasi kerana bukan termasuk dalam perkhidmatan penting, itulah antara dilema yang dihadapi rakyat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) berkuat kuasa.

Justeru, Persekutuan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia (FGJAM) memohon agar kerajaan membolehkan kedai emas beroperasi ketika waktu sukar ini agar dapat menjadi jalan terakhir bagi rakyat meringan beban kewangan mereka.

Presidennya, Steven Siow Dek Kuen berkata, dengan membenarkan kedai kemas beroperasi, rakyat dapat menjual aset pada kadar optimum serta dapat menyelesaikan segera keperluan aliran tunai.

Tambahnya, kedai pajak gadai tidak menerima batu permata atau emas 999, dan itu akan menyukarkan rakyat untuk mencari medium yang sesuai untuk menjual aset mereka.

“Kami telah diberitahu oleh ahli kami bahawa secara purata, setiap daripada mereka menerima 15 hingga 20 permintaan dari pelanggan yang mahu menjual barang kemas mereka.

“Apa yang menyedihkan, pelanggan tetap kami ini hanya ingin menjual barang kemas untuk dapat membeli barang runcit,” katanya menerusi surat rasmi yang dituju khas kepada Nor Mohamed Yakcop selaku ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Sementara itu, Pengurus Eksekutif SMS Deen Jewellers Mohamad Shaifudeen Mohamed Sirajudeen berkata, ramai pelanggan akan menghubungi kedainya semula untuk menjual emas mereka, namun hanya dapat dibuat secara dalam talian dan pulangan yang diterima tidak mendatangkan keuntungan.

“Jumlah pembelian merundum kerana pembelian dalam talian hanya sekadar mencapai 2 hingga 3% teratas. Tetapi itu juga terhad kepada barang-barang kecil seperti cincin, loket. Pelanggan biasanya tidak membeli barang besar dalam talian,” katanya kepada FMT.

Berhubung dengan tekanan kewangan yang dialami pengusaha kedai emas, Steven berkata industri tersebut mempunyai hampir 120,000 pekerja dengan nilai upah berjumlah RM720 juta telah dibayar antara Mei dan Julai 2021.

Manakala sewa premis pula berjumlah RM200 juta antara bulan Jun dan Ogos 2021, ditambah pula dengan kehilangan pendapatan industri berjumlah RM8.25 bilion antara bulan Jun dan Julai 2021.

“Walaupun merupakan salah satu pembayar cukai terbesar dan mencipta peluang pekerjaan selama 12 bulan terakhir, kami tidak dibenarkan beroperasi dan sebagai hasilnya, ia menyebabkan kesan kewangan terhadap perniagaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.