`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 4, 2021

Rakyat Malaysia antara 49 negara dibenarkan tinggal di Saudi hingga 90 hari

 

Pelancong dari 49 negara, termasuk Malaysia, layak memohon visa selama setahun dan kebenaran tinggal sehingga 90 hari untuk menunaikan umrah serta mengikuti pelbagai aktiviti melancong di Arab Saudi. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Arab Saudi membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos lalu dengan mempermudahkan prosedur mendapatkan visa selama setahun dan kebenaran tinggal sehingga 90 hari di negara tersebut.

Menurut laporan Saudi Gazette, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong bagi memasuki Saudi termasuk imunisasi penuh dengan vaksin yang diluluskan negara itu.

“Ini sebagai tambahan kepada ujian PCR negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan pendaftaran di portal Muqeem negara itu,” menurut laporan itu.

Selepas hampir setahun setengah sejak pandemik bermula awal tahun lalu, Saudi membangunkan laman web untuk memudahkan mereka yang ingin mendapatkan visa pelancong melalui portal dalam talian.

Pelancong dan pelawat dari 49 negara, termasuk Malaysia, layak memohon e-visa yang akan membolehkan mereka menunaikan umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

Selain Malaysia, warganegara lain yang layak mendapatkan visa pelancongan ialah Amerika Syarikat, Kanada, Andorra, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Belanda, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Monaco, Montenegro, Norway, Poland, Portugal, Romania, Rusia, San Marino, Slovakia, Slovenia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland, San Marino, Sepanyol, Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), Jepun, Kazakhstan, Singapura, Korea Selatan, Oceania, Australia dan New Zealand.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan Arab Saudi mengumumkan bermula 1 Ogos, negara itu membuka pintu semula kepada pelancong dan menarik balik sekatan kemasukan bagi pemegang visa pelancong.

Menurut kementerian itu, pelancong yang tiba perlu mendaftarkan maklumat berkaitan dos vaksinasi di sini, data itu direkodkan dalam aplikasi Tawakkalna dan mesti ditunjukkan semasa memasuki tempat awam.

Sementara itu, Haramain Sharifain, sebuah blog sosial berbahasa Inggeris melaporkan semua pengunjung yang tiba di negara itu mesti menunjukkan bukti lengkap mengenai satu daripada empat vaksin yang dibenarkan Saudi: dua dos vaksin Oxford/AstraZeneca, Pfizer/BioNTech atau Moderna atau satu dos vaksin dihasilkan Johnson and Johnson.

Mereka yang lengkap dua dos vaksin Sinopharm atau Sinovac akan dibenarkan masuk dengan syarat dos tambahan perlu menggunakan satu daripada empat vaksin lain yang diluluskan Saudi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.