KOTA KINABALU: Program pembangunan Kampung Pangi di Tenom, termasuk laluan jalan raya ke pekan Tenom akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Ali Ahmad Hamid.
Katanya, bagi peringkat permulaan pelaksanaannya, kajian berkenaan laluan jalan raya akan dibuat terlebih dahulu.
“Memang di peringkat JKR, kita melihat semua dan kalau boleh kampung-kampung ini dihubungkan dengan jalan raya utama yang berturap dan Kampung Pangi tidak terkecuali daripada program JKR.
”Kita telah bercadang untuk mengadakan kajian sebab jarak antara pekan Tenom ke Pangi ini sekitar 10 hingga 12km dan kita difahamkan perhubungan yang ada setakat ini adalah menggunakan kereta api. Itu pun, operasinya dua kali sehari, iaitu sebelah pagi dan petang. Ini sudah pasti menyukarkan penduduk,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, FMT melaporkan penduduk di Kampung Pangi mencari alternatif sendiri untuk ke pekan Tenom dengan mencipta “motosikal troli” atau “troli haram” yang bergerak menggunakan landasan kereta api.
Kira-kira 500 penduduk di kampung itu mendakwa sukar keluar membeli barang keperluan atau menghantar hasil tanaman kerana tiada laluan kenderaan ke kampung itu. Ia turut menjejaskan tiga kampung lain yang terletak berhampiran.
Ali berkata, terdapat dua kemungkinan laluan bagi pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kampung Pangi dan Pekan Tenom dengan anggaran pembinaannya sekitar RM120 juta hingga RM165 juta.
Tambahnya, berdasarkan kajian awal, laluan di sebelah kiri daripada pekan Tenom ke Kampung Pangi berjarak kira-kira 10km tetapi kosnya dilihat agak tinggi kerana keadaan laluan yang berbukit.
Satu lagi kemungkinan adalah laluan dengan jarak kira-kira 12km.
”Laluan di sebelah kiri ini pada dasarnya digazetkan kepada SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) kerana ada hidro di sana dan sebenarnya kawasan ini adalah sensitif, kita pun kalau boleh mahu mengelak dari menggunakannya.
”Bagaimanapun setelah dikenalpasti, kemungkinan laluan yang boleh kita gunakan di sebelah kiri itu, kosnya murah sedikit kerana kawasan ini kurang berbukit, selain sudah ada jalan tersedia, iaitu dari pekan Tenom menuju ke kawasan hidro. Kita perlu juga membuat satu jambatan sejauh 230m dari kawasan hidro ini ke Kampung Pangi,” katanya.
Oleh sebab bentuk muka bumi yang berbukit, pembinaan yang dirancang itu mungkin mengambil masa yang lama untuk disiapkan, menurut Ali.
”Pembinaan mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun dan reka bentuknya juga mungkin ambil masa setahun, jadi paling cepat ia akan selesai dibina adalah empat tahun.
”Saya berharap buat masa ini, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dapat menambah operasi perjalanan kereta api dari pekan Tenom ke Kampung Pangi.
“Mungkin daripada dua kali sehari kepada empat kali sehari, ia pastinya dapat membantu penduduk kampung di situ,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.