`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, April 24, 2023

Pejabat Pos Bukit Rotan tetap setia walaupun berusia hampir 100 tahun

 

Pejabat Pos Bukit Rotan bersemat unsur-unsur klasik persis rumah tradisional orang Melayu, mempunyai nilai sejarah bagi penduduk tempatan.

KUALA SELANGOR: Seawal 8 pagi, Pengurus Cawangan Khairul Azman Nyamin membuka pintu pagar besi lusuh Pejabat Pos Bukit Rotan untuk mula menerima pelanggan.

Pejabat Pos Malaysia yang terletak di jalan utama Kuala Selangor-Sabak Bernam ini masih mengekalkan struktur dan bentuk binaan asal sejak 1926, dan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai yang melewati pekan kecil Bukit Rotan.

Pejabat pos ini menyerlah dengan warna putih dalam saiz comel, bersemat unsur-unsur klasik persis rumah tradisional orang Melayu. Ia menawarkan perkhidmatan pos moden namun dari segi luaran, segalanya tentang pejabat pos ini memencar sejarah dan nostalgia, hinggakan pelanggan sendiri tidak mahu ia diroboh atau diganti dengan binaan moden.

Pengurus Cawangan Khairul Azman Nyamin membuka pintu pagar besi lusuh tanda Pejabat Pos Bukit Rotan sedia menerima pelanggan.

“Tempat ini macam rumah orang dulu-dulu. Mereka tak nak Pos Malaysia ubah apa-apa kerana pejabat pos ini dengan orang kampung ada nostalgia mereka,” kata Khairul kepada FMT.

Kenangan ketika kecil mendorong sesetengah pelanggan untuk terus berkunjung. Seorang warga emas, yang hanya mahu dikenali sebagai Suardi, 70-an, gagahkan diri bermotosikal lebih 30km, walaupun kawasan rumahnya ada cawangan Pos Malaysia.

“Pakcik ada kenangan di sini, dulu masa kecil-kecil selalu main dekat kawasan ini, sekarang bila dah tua datang untuk berurusan pula,” katanya yang tinggal Bukit Gadong, Bestari Jaya.

Pejabat Pos Bukit Rotan juga mengimbau kenangan zaman kecil Letchumi, 32, bersama orang tuanya.

“Dari kecil ayah selalu bawa ke pejabat pos ini untuk hantar surat, bayar bil … kini saya pula datang untuk berurusan,” katanya.

Istimewa macam kawan

Setiap hari lebih kurang 50 pelanggan yang mengunjungi teratak yang menjangkau usia hampir 100 tahun ini. Menurut Khairul, jumlah pelanggan boleh bertambah, bergantung pada waktu puncak, seperti ketika awal bulan.

Struktur tua Pejabat Pos Bukit Rotan juga tidak goyah sepanjang beliau berkhidmat di situ, kecuali kebocoran kecil sekiranya hujan terlalu lebat.

“Itu pun pihak pengurusan segera hantar kontraktor untuk betulkan. Setakat ni tak pernah lagilah ganggu operasi,” katanya.

Berbeza dengan pejabat pos lain, ketua posnya sendiri mengendalikan semua urusan secara solo. Tanggungjawab itu disandang Khairul, sejak tiga tahun lalu.

“Mula-mula bertugas di sini memang agak bosan sebab biasa kerja dengan kawan-kawan. Bila kena kerja seorang diri, mati kutu juga pada awalnya. Sepanjang berkhidmat dengan Pos Malaysia lebih 20 tahun ini pertama kali saya bekerja tanpa teman,” katanya kepada FMT.

“Lama-kelamaan saya dah biasa sebab pelanggan yang datang pun dah macam kawan-kawan.”

Setiap hari lebih kurang 50 pelanggan mengunjungi Pejabat Pos Bukit Rotan, yang mempadukan seni bina klasik dan perkhidmatan moden.

Lebih manis, Khairul berkata penduduk Bukit Rotan memberi layanan istimewa walaupun beliau hanya kakitangan Pos Malaysia.

“Orang kampung sangat hormat dengan kita. Kalau raya pula, tak kiralah raya Deepavali, Tahun Baharu Cina atau Aidilfitri, macam-macam buah tangan mereka bagi. Orang kampung memang ingat kita,” kata Khairul yang menetap di Bukit Badong, Bestari Jaya.

Tambahnya, Pejabat Pos Bukit Rotan tidak menggunakan sistem nombor seperti di cawangan lain, kerana pelanggan yang datang selesa menunggu di ruang disediakan.

“Walaupun tiada sistem nombor, saya pastikan setiap perkhidmatan tak lebih lima minit. Sebab itu pelanggan selesa untuk datang ke sini,” katanya.

Pejabat Pos Bukit Rotan diabadikan dalam setem khas keluaran Pos Malaysia bagi 2010, yang memaparkan 14 pejabat pos di seluruh negara dengan binaan asal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.