`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 3, 2024

‘6 Jahanam’ hanya ada 2 pilihan

 

Kekal sokong Anwar Ibrahim dan hilang kerusi Parlimen atau kembalikan kesetiaan kepada Bersatu dan kekal sebagai wakil rakyat. Pindaan perlembagaan Bersatu dalam perhimpunan agung khasnya semalam hanya menawarkan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan rakan-rakan dalam kumpulan digelar “6 Jahanam” salah satu daripada dua opsyen itu. Mungkin satu-satunya opsyen lain ialah mencabar kesan pindaan itu ke atas mereka di mahkamah.

Licik juga permainan parti gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin itu kerana persoalan sama ada pindaan berkenaan boleh dikuatkuasakan ke belakang ketika keenam-enam Ahli Parlimen berkenaan menyatakan sokongan terbuka kepada perdana menteri atau tidak, mampu dielakkan daripada berbangkit.

Jika difahami pindaan semalam, mana-mana ahli Bersatu yang merupakan Ahli Parlimen, yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, disifatkan terhenti keahliannya serta-merta. Susulan itu, setiausaha agung di atas arahan MPT perlu mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan untuk memaklumkan penamatan keahlian mereka secara serta-merta untuk PRK diadakan di kawasan terbabit.

Tindakan menyokong Anwar bagi mendapatkan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen masing-masing – setelah Bersatu bersikap angkuh dan enggan merundingkannya dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof seperti disyaratkan — didahului oleh Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pada 12 Okt tahun lalu dan diikuti Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pada 30 Okt. Seterusnya Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengambil tindakan serupa pada 7 dan 8 Nov, dituruti Syed Abu Hussin (Bukit Gantang) pada 28 Nov.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanafi menjadi anggota keenam Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar pada 24 Jan lalu yang mendorong MPT Bersatu memutuskan untuk meminda perlembagaannya agar tiada lagi yang ditakrif mereka sebagai “mengkhianati” parti di samping mengikhtiarkan supaya “6 Jahanam” dapat kosongkan kerusi Parlimen mereka di sebalik keenam-enamnya tidak mengisytiharkan keluar parti, lantas tidak melanggar Akta Anti Lompat Parti.

Sebelum ini, timbul pelbagai tafsiran berbeza daripada penganalisis, termasuk juga Zulkafperi, bahawa sebarang pindaan perlembagaan tidak boleh mengikat “6 Jahanam” yang pendirian mereka menyokong Anwar dibuat sebelum pindaan itu diluluskan. Pendapat itu turut disokong oleh Naib Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin bahawa sebarang pindaan tidak akan memberikan kesan retrospektif (ke belakang) yang bermakna “6 Jahanam” akan terselamat.

“Apa yang saya difahamkan tidak ada (kesan retrospektif). Sepatutnya tidak ada kesan retrospektif, itu tidak boleh ada. Kalau ada, ia tidak adil dari segi undang-undang,” katanya dalam sidang media di Parlimen Khamis lalu. Sebelum ini, Prof Madya Undang-undang, Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Muhammad Fathi, berkata Bersatu berhak memberi kebebasan atau menetapkan sekatan kepada Ahli Parlimen mereka.

Namun, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris lebih dahulu pada 16 Feb lalu berkata pindaan perlembagaan parti pada perhimpunan agung khas 2 Mac itu bakal menamatkan “riwayat” enam Ahli Parlimen parti itu yang beralih sokongan kepada Anwar sambil melaungkan harapan Bersatu akan kembali bangkit dan terus mara dalam arena politik negara.

Disanggah kata-katanya itu oleh Zulkafperi yang yakin tiada tindakan boleh diambil terhadapnya dan lima yang lain, Razali mengungkapkan: “Dia yakin (tak dikenakan tindakan), dia bukan peguam, cuma doktor. Dia buat Bersatu macam kedai teh tarik…rasa nak keluar, dia keluar walaupun dah baiah. Dia dah berbaiah dan dalam baiah ada juga (tertulis) dia kena bayar RM10 juta. Nanti kita pinda perlembagaan dan kaitkan yang dia baiah itu,” katanya kepada FMT.

Muhyiddin, ketika berucap di Perhimpunan Agung Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang semalam, berkata pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu akan menghendaki enam Ahli Parlimen mereka yang menyokong perdana menteri mengosongkan kerusi masing-masing. Perlembagaan sebelum ini hanya membolehkan kepimpinan parti menggantung enam Ahli Parlimen tersebut tanpa memberi kesan kepada kerusi Parlimen mereka.

“Keahlian mereka akan terhenti dengan serta-merta jika mereka menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan ataupun pendirian kita. Kita terpaksa buat pindaan ini kerana terdapat enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengkhianat, khianat pada perjuangan parti kita, menyokong musuh parti kita tanpa mereka keluar dari Bersatu. Patut mereka keluarlah tetapi tak nak keluar!

“Perlembagaan Persekutuan kata automatik kerusi mesti dikosong (jika mereka hilang keahlian). Prosedur seterusnya, dibawa kepada RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), dan bila ia boleh dilaksanakan, maka setiausaha agung akan menghantar surat kepada mereka.

“Nak sokong (Bersatu) lagi ke tidak? Mana tahu, dah insaf, minta maaf, dah sedar, itu parti akan pertimbang. Tapi kalau masih sokong PMX, pergi. Kita sudah pun bersedia untuk menghadapi PRK,” tegasnya.

Sambil memberi ingatan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Muhyiddin berkata pimpinan Bersatu juga akan berusaha memastikan keenam-enam kerusi Ahli Parlimen berkenaan dikosongkan dan seterusnya memberi laluan kepada PRK.

“Speaker Parlimen, apabila Bersatu hantar notis (kelak) supaya enam kerusi ini, iaitu Labuan, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Jeli, Gua Musang dan Tanjong Karang ini dikosong, jangan speaker berdolak-dalik,” katanya merujuk kepada satu kenyataan Johari pada 19 Feb lalu bahawa enam Ahli Parlimen Bersatu yang beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada Anwar tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Menjelaskan perkara penting yang Ahli Parlimen berkenaan perlu lakukan adalah menyatakan secara bertulis bahawa mereka masih kekal ahli parti terbabit, Johari berkata “Pada saya selagi mereka kata tidak ‘lompat’, dia tidak meninggalkan partinya, nyatakan secara bertulis yang mereka masih ahli Bersatu, dia sokong PM (perdana menteri). Jadi apa masalahnya?”

Ia mungkin jadi masalah jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu semalam dan mentafsirkan Ahli Parlimen berkenaan terhenti keahlian mereka serta-merta.

“Sekiranya Bersatu pinda perlembagaan mereka sebagaimana DAP telah pinda selepas Akta Lompat Parti berkuat kuasa, maka enam wakil rakyat Bersatu yang telah isytihar sokongan kepada PMX akan dalam bahaya,” kata penganalisis Lim Sian See di Facebook.

“Dua pindaan dibuat DAP adalah sangat spesifik: 1. Mana-mana wakil rakyat atau senator mesti patuh arahan majlis tertinggi parti dan jika tidak patuh, keahlian mereka terhenti secara automatik (bukan dipecat). 2. Majlis tertinggi parti ada kuasa untuk mengeluarkan apa-apa arahan kepada wakil rakyat secara spesifik pada bila-bila masa.

“Setelah pinda perlembagaan, Bersatu cuma perlu keluarkan arahan kepada semua wakil rakyat agar mereka perlu keluarkan kenyataan bahawa mereka tidak sokong PMX sebagai PM. Jika enam wakil rakyat itu enggan berbuat demikian, maka keahlian parti mereka terhenti secara automatik dan enam PRK akan menyusul,” hurainya.

Dalam sebarang keadaan pun, keenam-enamnya sudah menyatakan mereka tidak akan menarik balik sokongan terhadap perdana menteri dan sanggup menyerahkan semula mandat kepada rakyat dalam PRK. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.